#1835: Air Liur Basi

Soalan:

Adakah air liur basi ini tergolong dalam kategori najis ke ustaz? Jika kita solat subuh, kita tidak mandi tetapi kita bersihkan diri berus gigi, basuh muka, mengambil wuduk dan terus solat. Adakah sah solat kita ustaz?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.”

Surah Al-Maidah (6)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum bagi air liur ada dua. Sekiranya air liur tersebut dari mulut maka hukumnya suci. Manakala, jika ia keluar dari perut maka hukumnya adalah najis. Justeru itu, sebaiknya jika terdapat air liur basi, maka basuhlah bagi mengelakkan was-was.

Perbahasan berkenaan air liur basi dan najis boleh juga di link bawah:

#36 Status Air Liur Basi[1]

#849 Menyentuh Najis Membatalkan Wuduk[2]

Oleh itu, kami nyatakan solat saudara sah kerana sebelum solat juga saudara telah membersihkan diri seperti menggosok gigi, berwuduk dan sebagainya.

Kami tegaskan di sini bahawa air liur basi semata-mata tidaklah najis dan membatalkan wuduk. Begitu juga, solat saudara insyaAllah sah dan diterima oleh Allah SWT. Amin.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama, serta kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu, seterusnya menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat.  Ameen.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/status-air-liur-basi/

[2] https://maktabahalbakri.com/849-menyentuh-najis-membatalkan-wuduk/ 

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H