#1838: Menggunakan Tabungan Sedekah

Soalan:

Saya ada asingkan duit persendirian pada waktu subuh atau lepas subuh dengan niat bersedekah. Saya buka tabung tu sebab suami kerja luar kawasan berbulan-bulan. Jadi saya selalu tak dapat ke surau. Harapan saya, bila suami balik, dia boleh pergi surau dan masukkan dalam tabung surau. Cuma terkadang, bila dalam keadaan “sesak”, saya tak berani buka dan pakai duit tabung sedekah itu sebab bimbang “pecah amanah”. Sebab saya rasakan tabung tu adalah amanah Allah. Adakah betul apa yg saya buat?

Jawapan:

Waalaikumusslam  wbt..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pengertian Sedekah

Amalan sedekah adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dalam Islam. Sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.( Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,26/323).

Ibn Manzur pula mendefinisikan sedekah sebagai satu pemberian yang diniatkan kerana Allah SWT kepada golongan fakir yang memerlukan.(Lihat Lisan al-Arab, 10/196)

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai. Dan di setiap satu batang tangkai itu terdapatnya seratus biji benih. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Memberi Keluasan lagi Maha Mengetahui.

(Surah al-Baqarah: 261) 

Antara perkara yang paling besar faedahnya bagi orang-orang yang beriman ialah bersedekah di jalan Allah. Perumpamaan orang-orang yang bersedekah dengan harta mereka di jalan Allah ialah seperti sebiji benih yang menumbuh di tanah yang baik, maka benih itu pun tumbuh dengan kukuh dan mengeluarkan tujuh tangkai, dan setiap tangkai mempunyai seratus biji. Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah Maha Luas Rahmat-Nya, lagi Maha Mengetahui siapa yang berhak menerimanya, serta Maha Mengetahui niat-niat hamba-hamba-Nya.”(Lihat Tafsir al-Muyassar,1/44)

Ini merupakan suatu dalil yang jelas menunjukkan betapa besarnya pahala sedekah yang boleh menghasilkan 700 kali ganda kebaikan kepada pelakunya. Ayat ini umum meliputi sebarang bentuk sedekah sama ada ia datang dalam bentuk harta benda, makanan dan minuman, pakaian, dan seumpamanya.

Bersedekah merupakan amalan yang mulia. Tangan yang di atas lebih mulia. Daripada Hakim bin Hizam R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Maksudnya: Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah dan mulakanlah dengan kaum keluargamu. Sebaik-sebaik sedekah adalah dalam keadaan kaya. Sesiapa yang menjaga kehormatan dirinya maka Allah akan menjaganya dan barangsiapa yang merasa cukup maka Allah akan memberikan kecukupan kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (1427)

Al-Mubarakfuri berkata: Tangan yang di atas adalah tangan yang memberi atau berinfaq. Sedangkan tangan yang dibawah ialah yang meminta. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/289)

Daripada Abi Hurairah R.angu bahawa Rasulullah SAW:

إنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ الصَّدَقَةَ ، وَيَأْخُذُهَا بِيَمِينِهِ ، فَيُرَبِّيهَا لأَحَدِكُمْ كَمَا يُرَبِّي أَحَدُكُمْ مُهْرَهُ ، حَتَّى إِنَّ اللُّقْمَةَ لَتَصِيرُ مِثْلَ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”

Riwayat al-Tirmizi (662)

Alhamdulillah, kami telah kemukakan dua buah buku berkenaan sedekah. Pertama, Keajaiban Sedekah dan yang keduanya, Merekalah Yang paling Pemurah. Kedua-dua buku ini sarat dengan kelebihan sedekah serta natijah yang mereka perolehi di dunia lagi sebelum di akhirat.

Menjawab bagi persoalan di atas, bersedekah merupakan satu amalan yang mulia dan amat dituntut.Namun,perlu difahami bahawa hukum bersedekah adalah sunah iaitu segala tindakan dimana pelakunya mendapat pahala dan yang tidak melakukannya tidak berdosa.Maka,tidak ada kesalahan bagi puan untuk menggunakan wang tabungan tersebut untuk membeli barang keperluan kerana amalan bersedekah merupakan amalan sunah yang dianjurkan untuk melakukannya sekira berkemampuan dan ia tidak lah diwajibkan.Firman Allah SWT :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا 

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah: 286)

Walaupun begitu, kami katakan tindakan puan adalah amat baik dan terpuji. Ini kerana niat sedekah tersebut telah dilaksanakan dengan sebuah tabung yang khas sebagai simpanan untuk disampaikan ke masjid atau surau apabila suami puan pergi ke sana. 

Sesungguhnya, Allah SWT akan menggandakan pahala serta harta puan dan suami atas niat dan kebaikan sedekah yang dilakukan itu. Semoga ianya termasuk dalam amalan soleh dan mendapat mardhatillah.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H