#1839: Menghindari Diri Dari Terkena Sihir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa yang perlu saya buat jika terkena sihir?

Jawapan:

Waalaikumusslam  wbt.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sihir

Kami kemukakan di sini definisi sihir dari sudut bahasa terlebih dahulu seperti berikut:

  • Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, sihir dari sudut bahasa ialah perbuatan atau kejadian yang luar biasa yang dilakukan oleh manusia secara tersembunyi atau ghaib yang melibatkan makhluk halus.
  • Menurut al-Azhari, perkataan al-sihr ialah menukarkan sesuatu daripada hakikat yang sebenar kepada suatu yang lain. Atau mengkhayalkan sesuatu bukan pada hakikat yang sebenar.( Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, halm. 55)
  • Ibn Manzur menyebut di dalam Lisan al-Arab bahawa yang dimaksudkan dengan sihir itu adalah satu amalan yang dengannya bertujuan mendekatkan diri kepada syaitan dengan memohon bantuan daripadanya.
  • Ibn Manzur turut menyebut bahawa orang yang melakukan sihir adalah seakan-akan memperlihatkan kebatilan dalam kebenaran dan menggambarkan sesuatu tidak seperti hakikat yang sebenarnya. Dengan demikian, dia telah menukar sesuatu daripada hakikat yang sebenarnya.( Lihat Lisan al-‘Arab, 4/348)

Manakala pada istilahnya pula, definisi sihir adalah seperti berikut:

  • Ibnu Qudamah berkata: “Sihir ialah ikatan, jampi dan perkataan yang diucapkan atau ditulis atau dibuat sesuatu yang mendatangkan kesan dan akibat buruk terhadap tubuh orang yang disihir atau terhadap hati dan akalnya tanpa menyentuhnya secara langsung.( Lihat al-Mughni, 9/34)
  • Ibn Qudamah turut berkata: Sihir adalah jampi atau mantera yang memberikan pengaruh sama ada zahir atau batin seperti membuat orang lain menjadi sakit atau membunuhnya. Ia bertujuan juga untuk memudaratkan emosi, fikiran atau akal manusia.(Lihat Fathul Haq al-Mubin fi ‘Ilaj al-Syar’ie wa al-Sihr wa al-‘Ain, halm. 171)
  • Ibnu Khaldun berkata: Sihir ialah ilmu untuk menghasilkan kesan negatif ke atas manusia dengan menggunakan anasir-anasir jahat serta kekuatan ghaib sama ada berperantaraan atau tidak bagi tujuan jahat yang tersembunyi.( Lihat Rawatan Sihir Akibat Sihir, halm. 3)
  • Imam al-Qurtubi berkata: Sihir asalnya adalah tangkal atau tali yang berhelah iaitu tukang sihir melakukan sesuatu sehingga ia bertukar menjadi suatu yang bukan hakikatnya. Takrifan tersebut diumpamakan seperti seseorang yang berada di bawah cahaya matahari yang panas terik ketika berjalan akan melihat jauh di hadapannya bayangan air yang bergerak-gerak iaitu fatamorgana.( Lihat Fath al-Mughith fi al-Sihri wa al-Hasad wa Mass Iblis, halm. 57)

Islam menolak amalan sihir dan mengajar orang Islam untuk meminta perlindungan dengan Allah SWT daripada kejahatan sihir, seperti firman-Nya:

وَمِن شَرِّ النَّفَّاثَاتِ فِي الْعُقِ

Maksudnya: “Dan dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan).”

(Surah al-Falaq, 113:4)

Hadis Rasulullah SAW juga jelas menyenaraikan amalan sihir sebagai salah satu dosa besar berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: Wahai Pesuruh Allah? Apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”

Hadis riwayat Imam Bukhari (2766)

Al-Qurtubi menyatakan: Para ulama berbeza mengenai mengenai hukum seorang penyihir muslim dan dhimmi. Menurut pendapat  Imam Malik, seorang Muslim yang menggunakan sihir dengan kata-kata dianggap sebagai kafir. Dia akan dihukum mati dan tidak akan diminta untuk bertaubat kerana  perbuatan tersebut dilakukan secara diam-diam seperti zindik dan penzina. Allah SWT menyebut sihir termasuk dalam perbuatan kufur sebagaimana firman-Nya:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلَا تَكْفُرْ

sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)

(Surah al-Baqarah:102)

Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad Bin Hanbal,Abu Thaur, Ishak dan Imam Syafi’e.( Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 2/47).

Menjawab bagi persoalan di atas, jika sesorang terkena sihir,cara mengubatinya adalah dengan menggunakan Ruqyah Syari’e yang berasaskan ayat-ayat al-Quran dan al-Sunah sebagaimana yang difirman oleh Allah SWT :

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya.”

(Surah al-Isra’: 82)

Daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW jika sakit, beliau membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwizat (ayat-ayat perlindungan) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka saya yang membacakan kepada Baginda dan mengusapkannya dengan tangan Baginda dengan mengharap barakahnya.”

Riwayat al-Bukhari (5016) dan Muslim (5844)

Di sini kami senaraikan beberapa cara untuk menghindari diri daripada terkena sihir:

  1.     Membaca ayat-ayat pelindung seperti :

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya : “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.

Daripada Uthman bin Affan RA, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ، فِي الْأَرْضِ، وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، ثَلَاثَ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ، حَتَّى يُصْبِحَ، وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ، لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala sehingga pagi dan barangsiapa yang membacanya pada waktu sebanyak  tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa kesusahan bala sehingga petang.

Hadith ini diriwayatkan oleh Uthman bin Affan RA dan ia diriwayatkan oleh Imam Abu Daud di dalam Sunannya (5088). Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai hasan 

  1. Sentiasa melazimi zikir pagi dan petang.
  2. Melazimi bacaan surah al-Fatihah dan tiga Qul (al-Ikhlas,al-Falaq dan al-Nas)
  3. Membaca ayat kursi setiap kali selepas solat dan ketika hendak tidur

Akhir kalam, sewajarnya kita mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan dalam usaha melindungi diri dari sebarang gangguan. Sesungguhnya Allah SWT lah sebaik-baik pelindung dan tempat pergantungan. Firman-Nya:

قل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّـهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”.

(Surah al-Taubah: 51)

Ibn Kathir berkata: kita semuanya adalah di bawah kehendak Allah dan ketentuan-Nya. Kepada-Nya kita bertawakal dan Dia lah sebaik-sebaik pelindung. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/214)

Wallahu’alam.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H