#1842: Status Anak Susuan Dengan Adik Beradik Ibu Susuannya

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan berkaitan anak susuan. Saya pernah mendengar bahawa anak susuan perempuan tidak boleh bersalam dengan adik beradik lelaki kepada ibu susuannya iaitu pakcik susuannya. Betulkah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, penyusuan yang memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan akan menyebabkan terjadinya hubungan kekeluargaan. Firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya:Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu”

(Surah al-Nisa’: 23)

Oleh itu, kesan daripada penyusuan akan menyebabkan anak susuan itu haram untuk dikahwini seperti mana anak yang dilahirkannya. Hal ini seperti mana hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda kepada anak Hamzah R.A:

لاَ تَحِلُّ لِي، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِيَ بِنْتُ أَخِي مِنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1447)

Begitu juga riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الرَّضَاعَةُ تُحَرِّمُ مَا تُحَرِّمُ الوِلاَدَةُ

Maksudnya:Persusuan mengharamkan perkara yang diharamkan kerana nasab kelahiran.”

Riwayat al-Bukhari (5099)

Imam al-Nawawi menyebutkan, penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram muabbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/23).

Di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada dijelaskan dengan lebih lanjut mengenai kesan penyusuan terhadap hubungan kekeluargaan. Secara ringkasnya, terdapat dua hukum kepada hubungan kekeluargaan yang terjadi dengan sebab penyusuan, iaitu:

  1.   Perkara yang haram kerana penyusuan

Penyusuan menjalinkan hubungan kekeluargaan antara anak susuan (jika dia adalah seorang lelaki) dan keluarga ibu susuan. Hubungan ini memberi kesan dalam mewujudkan golongan yang haram dikahwini, sebagaimana hubungan keturunan, iaitu:

  •  Ibu dan ke atas.
  • Anak perempuan dan ke bawah.
  • Saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Ibu saudara sebelah bapa dan ibu saudara sebelah ibu, sekalipun jauh hubungan persaudaraannya.
  • Anak perempuan kepada saudara lelaki seibu sebapa, seibu atau sebapa.
  • Anak perempuan kepada saudara perempuan seibu sebapa, seibu atau sebapa.

Sehubungan itu, apabila wujud hubungan kekeluargaan disebabkan penyusuan, maka golongan yang sama daripada susur jalur ibu susuan juga haram dikahwini. Sebagaimana yang diketahui, hubungan keturunan menyebabkan haram persemendaan, iaitu:

  •  Suami haram berkahwin dengan ibu mentua dan anak tirinya.
  • Seorang lelaki haram berkahwin dengan ibu tirinya dan juga menantunya.

Justeru, jika hubungan kekeluargaan adalah dengan sebab susuan, maka hukumnya haram persemendaan, sama dengan hubungan keturunan. Oleh itu, suami haram berkahwin dengan ibu susuan kepada isterinya dan anak susuan kepada isterinya. Seorang lelaki juga haram berkahwin dengan isteri kepada bapa susuannya dan isteri kepada anak susuannya, iaitu menantu susuan. Pengharaman perkahwinan tersebut adalah disebabkan persemendaan.

  1.   Perkara yang halal kerana penyusuan

Semua perkara yang halal di kalangan keluarga kerana keturunan halal juga kepada keluarga kerana susuan. Dengan itu, seseorang lelaki adalah halal apabila:

  • Melihat saudara perempuan susuannya, sebagaimana saudaranya sendiri.
  • Tinggal bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan.
  • Bermusafir dengannya melebihi tiga hari

Meskipun begitu, hukum ini tidaklah bermakna seseorang lelaki harus melihat saudara perempuan susuannya dengan berahi. Begitu juga sebaliknya kepada perempuan. Ini kerana pandangan dengan berahi adalah haram walaupun ahli keluarga sendiri. Oleh itu, ulama fiqh kebelakangan ini menyatakan bahawa seorang perempuan makruh menyusukan kanak-kanak yang bukan anaknya sendiri tanpa sebarang keperluan yang mendesak. Begitu juga, makruh bagi seorang lelaki dan perempuan susuan bergaul bebas sesama mereka. Keadaan ini adalah kerana ia berkemungkinan boleh mendorong seseorang kepada pelbagai keburukan dan perkara haram akibat lemah pegangan agama dan tidak wujud rasa kasih sayang secara semula jadi di kalangan keluarga susuan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/210-212).

Berbalik kepada soalan di atas, anak susuan turut dianggap sebagai anak saudara susuan kepada adik-beradik ibu susuannya. Maka, apa-apa hukum yang berkait dengan hubungan antara anak saudara dengan ibu atau bapa saudara turut terpakai kepada anak saudara susuan dengan ibu atau bapa saudara susuan. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

اسْتَأْذَنَ عَلَيَّ أَفْلَحُ، فَلَمْ آذَنْ لَهُ، فَقَالَ: أَتَحْتَجِبِينَ مِنِّي وَأَنَا عَمُّكِ، فَقُلْتُ: وَكَيْفَ ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرْضَعَتْكِ امْرَأَةُ أَخِي بِلَبَنِ أَخِي، فَقَالَتْ: سَأَلْتُ عَنْ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: صَدَقَ أَفْلَحُ ائْذَنِي لَهُ

Maksudnya:Aflah meminta izin kepadaku (untuk masuk), namun aku tidak mengizinkannya. Beliau berkata: ‘Adakah kamu hendak menghijab diri daripadaku, padahal aku adalah pakcikmu?’ Aku berkata: ‘Bagaimana itu boleh terjadi?’ Beliau berkata: ‘Kamu telah disusui oleh isteri saudara lelakiku, dengan air susu saudaraku.’ Aisyah berkata: ‘Aku bertanya hal itu kepada Rasulullah SAW.’ Maka Baginda bersabda: ‘Aflah benar, izinkanlah beliau.’

Riwayat al-Bukhari (2644)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan perbincangan di atas, jelaslah bahawa hubungan anak susuan dengan adik beradik ibu susuannya adalah seperti mana hubungan anak saudara dengan bapa atau ibu saudara. Justeru, terpakai hukum hakam mahram seperti boleh bersalaman, diharuskan tinggal bersendirian dengannya, diharamkan berkahwin dengannya dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H