Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum membeli kotak misteri dalam permainan elektronik menggunakan mata wang maya dan bukan mata wang sebenar? Pemain tidak dapat menentukan secara tepat apakah kelebihan yang mereka akan dapat menerusi pembelian itu.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum asal bermain permainan elektronik adalah diharuskan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya secara. Bahkan kita juga tidak dilarang untuk berhibur dengan apa saja hiburan yang tidak bertentangan dengan syara’.
Diriwayatkan oleh Hanzalah R.A, Sabda Nabi SAW:
يَا حَنْظَلَةُ سَاعَةً وَسَاعَةً وَلَوْ كَانَتْ تَكُونُ قُلُوبُكُمْ كَمَا تَكُونُ عِنْدَ الذِّكْرِ لَصَافَحَتْكُمُ الْمَلاَئِكَةُ حَتَّى تُسَلِّمَ عَلَيْكُمْ فِي الطُّرُقِ
Maksudnya: “Wahai Hanzalah! Ada masa untuk urusan keduniaan, ada masa untuk beribadah. Dan jika hati kamu sentiasa sama seperti kamu sedang mengingati Allah SWT, para malaikat akan bersalam denganmu dan memberi salam kepadamu di pertengahan jalan.”
Sahih Muslim (2750)
Imam Nawawi meletakkan satu bab yang khusus bagi mensyarahkan hadith ini dengan tajuk: ‘Bab Kelebihan Sentiasa Mengingati dan Berfikir tentang Perkara-perkara Akhirat, dan Keharusan Meninggalkannya Pada Sebahagian Waktu serta Menyibukkan Diri dengan Urusan Dunia’.
Beliau menjelaskan bahawa Hanzalah R.A risau jika dia tidak duduk di dalam majlis Rasulullah SAW, maka dia akan sibukkan dirinya dengan isteri dan anak-anak serta kehidupan dunia, lalu menjadi munafiq. Hal yang demikian kerana asal munafiq itu adalah menzahirkan yang baik dan menyembunyikan yang buruk. Maka Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ada masa diperuntukkan untuk ibadah, ada masa juga perlu diperuntukkan untuk kehidupan dunia dan berhibur bersama keluarga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/67)
Terdapat juga athar diriwayatkan daripada Ibn Shihab katanya:
رَوِّحُوا الْقُلُوبَ سَاعَةً وَسَاعَةً
Maksudnya: “Rehatkan hati-hati kamu, ada masa untuk urusan dunia, ada masa untuk urusan akhirat.” (Lihat Jami‘ Bayan al-Ilm wa Fadhlih, 1/434; Al-Maqasid al-Hasanah fima Isytahara ‘ala al-Alsinah, hlm. 372)
Pembelian Kotak Misteri dalam Permainan Elektronik
Sesetengah permainan elektronik masa kini membolehkan pemain membuat pembelian dengan sejumlah mata wang maya yang diperoleh setelah melakukan task (tugasan) atau mission (misi) yang ditetapkan. Antara jenis barang yang kebiasaannya dijual di dalam shop (kedai barangan) termasuklah kotak misteri, yang mana ia merupakan suatu barang yang tidak diketahui kandungannya secara spesifik.
Sekalipun pembelian di dalam permainan elektronik hanya dibuat menggunakan wang maya, ia masih mengambil hukum yang sama dengan pembelian menggunakan wang sebenar.
Secara asasnya, penentuan sama ada jual beli tersebut dibolehkan ataupun tidak menurut syara’, adalah bergantung kepada rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Rukun asa bagi jual beli adalah:
- Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Sebagai contoh pihak yang melakukan akad dalam urusniaga, pasti adanya penjual dan juga pembeli.
- Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Contohnya barang oingin dijual, dan sesuatu yang dijadikan sebagai tukaran seperti wang ringgit.
- Sighah (lafaz akad): Ijab seperti mengatakan “aku jual”, dan juga qabul seperti mengatakan “aku beli”.
(Lihat al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 3/15)
Pembelian Kotak Misteri dengan Wang Maya
Kotak misteri ini tidak diketahui apakah yang akan diperolehi pembeli daripada barangan yang terdapat di dalamnya. Sekiranya pembeli bernasib baik, dia akan memperolehi barang yang tinggi nilainya berbanding nilai wang yang dibayar. Jika sebaliknya, maka pembeli akan menghadapi kerugian kerana barang yang diperolehi lebih rendah nilainya berbanding nilai wang yang dibayar.
- dan wang maya merupakan rukun kedua bagi jual beli, iaitu Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan). Ulama’ telah meletakkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi bagi Mestilah suci dan bukan najis.
- Mestilah sesuatu yang dapat diperoleh manfaat darinya.
- Mestilah perkara tersebut boleh diberikan kepada pembeli.
- Mestilah diketahui perkara yang diakadkan itu.
(Lihat al-Fiqh fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/148)
Jual beli barangan yang tidak diketahui disebutkan sebagai Bai‘ al-Gharar (jual beli yang ada unsur ketidakpastian). Perkara ini diharamkan dalam islam berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”
Riwayat Muslim (1513)
Jika barang yang dijual itu dapat dilihat serta diketahui kriterianya oleh penjual dan pembeli, maka jual beli itu sah. (Lihat al-Mu ‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/29)
Jual beli dengan cara melempar batu kerikil itu pula berbentuk perjudian. Imam al-Nawawi menyebutkan, terdapat 3 cara jual beli dengan cara melempar batu kerikil ini. Ketiga-tiga cara ini mengandungi unsur memperjudikan Nasib kerana pembeli membuat pembelian bergantung kepada barang yang dibaling padanya batu kerikil, dan bukannya atas pilihannya sendiri.
Maka jelaslah keharaman membeli kotak misteri ini kerana terdapat unsur gharar dan juga memperjudikan nasib.
Kesimpulan
Jual beli yang tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ adalah tidak sah. Permainan elektronik yang menawarkan jual beli yang mempunyai unsur riba’, gharar, atau perjudian seharusnya dijauhi.
Berhibur dengan apa jenis permainan tidaklah dilarang selama mana ia tidak melalaikan kita, menjauhkan kita daripada Allah SWT, dan menjerumuskan kita kepada perkara yang diharamkan-Nya. Diriwayatkan daripada Al-Hasan bin ‘Ali bin Abi Talib R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ
Maksudnya: “Di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat padanya.”
Riwayat Ahmad (1737) dan Tirmizi (2317)
Sebaiknya, kita menggantikan hiburan yang melalaikan dengan perkara yang lebih berfaedah. Nescaya, Allah SWT akan menggantikan keseronokan hiburan yang kita tinggalkan dengan sesuatu yang lebih baik dan bermanfaat dengan izinnya.
Diriwayatkan bahawa Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’ bertemu dengan seorang sahabat lalu bertanya kepadanya: “Kamu ada mendengar apa-apa (hadith) daripada Rasulullah SAW?”, jawabnya: “Ada, aku mendengar Baginda bersabda:
إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا لِلَّهِ إِلَّا بَدَّلَكَ اللَّهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tidak meninggalkan sesuatu kerana Allah melainkan Allah akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik bagi kamu daripadanya.”
Riwayat Ahmad (23074). Al-Albani mengatakan sanadnya sahih di dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2/734)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H