#1845: Adakah Sah Puasa sekiranya Tidak Mandi Wajib?

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt., ustaz. Contoh, seseorang itu telah bermimpi di siang hari sehingga keluar mani. Namun, dia tidak mandi wajib. Adakah puasanya sah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, sekiranya seseorang itu keluar air maninya disebabkan oleh mimpi basah yang dialaminya pada siang Ramadhan, maka perkara itu tidak membatalkan puasanya kerana air mani itu keluar di luar daripada kawalannya dan dia tidak mampu untuk mencegahnya. Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Ibn Qudamah menyatakan, kalaulah seseorang itu bermimpi basah — sehingga keluar air maninya — maka puasanya tidak terbatal kerana perkara tersebut adalah diluar daripada pilihannya. Ia menyerupai sebagaimana jika termasuk ke dalam halkum seseorang itu sesuatu, sedangkan dia tengah tidur. (Lihat al-Mughni, 2/128.)

terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.Anhu, bahawa Nabi SAW bersabda:

ثلاثٌ لا يُفطِّرنَ الصّائمَ: الحجامةُ، والقَيءُ، والاحتلامُ

Maksudnya: “Tiga perkara tidak membatalkan puasa iaitu sesiapa sesiapa yang berbekam, yang muntah,(dengan tidak sengaja), dan sesiapa yang bermimpi.

Riwayat Tarmizi (719), Syeikh al-Albani menilai hadis ini sahih pada makna dalam Misykah al-Masabih, hlm.1957.

Untuk mengatahui dengan lebih lanjut perbahasan isu ini boleh la rujuk artikel yang telah kami bahaskan yang bernombor #871 Keluar Mani Akibat Bermimpi Siang Ramadhan.

Merujuk kepada persoalan di atas puasa tersebut masih lagi sah kerana suci daripada janabah bukanlah termasuk dalam syarat sah puasa. Namun wajib bagi seseorang itu mandi  sekiranya dia ingin melakukan perkara-perkara yang mewajibkan suci daripada hadas sebelum melakukannya.

Diriwayatkan oleh Aisyah dan Ummu Salamah bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ، ثُمَّ يَغْتَسِلُ، وَيَصُومُ

Maksudnya:Rasulullah SAW mendapati fajar telah pun terbit, sedangkan ketika itu Baginda masih lagi dalam keadaan berjunub setelah bergaul dengan isterinya. Kemudian Baginda mandi dan berpuasa.”

Riwayat al-Bukhari (1925-1927)

Hadis ini menunjukkan kepada kita tentang kawajipan berpuasa bagi sesorang yang menanggung hadas besar yang belum mandi wajib. Walau bagaimanapun, hendaklah menyegerakan mandi wajib supaya tidak terlewat mendirikan solat atau luputnya waktu solat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahua‘lam.

 

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H