Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, apakah hukum sembelihan jika penyembelih mengangkat pisau ketika sembelih?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sembelih menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah memotong leher binatang hingga putus merihnya. Menurut istilah fiqh pula, sembelih bermaksud menyembelih binatang pada bahagian tengkuknya atau bahagian atas dada jika mampu untuk melakukan demikian, atau dengan cara mencederakannya sehingga boleh mematikannya jika tidak mampu untuk sembelih. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/41; Mughni al-Muhtaj, 6/94)
Firman Allah SWT:
حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ وَالْمُنْخَنِقَةُ وَالْمَوْقُوذَةُ وَالْمُتَرَدِّيَةُ وَالنَّطِيحَةُ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ
Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).”
(Surah al-Ma’idah: 3)
Imam Ibn Kathir meriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talhah daripada Ibn ‘Abbas R.Anhum, katanya bahawa yang dimaksudkan dengan firman Allah SWT (إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ), pengharaman di dalam ayat di atas dikecualikan buat semua binatang yang tercekik, dipukul, jatuh dari tempat tinggi, ditanduk, diterkam binatang buas, sekiranya seseorang muslim sempat menyembelinya ketika masih bernyawa. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/19)
Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa kesemua perkara yang disebut di dalam ayat tersebut adalah haram untuk dimakan kecuali apa yang disembelih oleh kalian (muslim) sendiri. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 6/50)
Angkat Pisau Ketika Sembelih
Kembali kepada persoalan yang dilontarkan, tidak menyempurnakan sembelihan kerana mengangkat pisau, sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja adalah menyerupai dengan situasi binatang-binatang yang terluka dan cedera seperti ayat di atas.
Sembelihan yang sempurna mestilah dengan terputusnya al-Wadajan (Dua urat) iaitu urat halqum (saluran pernafasan) dan urat merih (saluran makanan).
Sekiranya binatang sembelihan tersebut masih dalam keadaan (الحياة المستقرّة) bernyawa dan kuat untuk bergerak, maka seorang muslim perlu segera meneruskan semula sembelihan dengan nama Allah SWT.
Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan salah satu syarat yang disebutkan oleh ulama’ Mazhab Maliki untuk seorang penyembelih adalah tidak mengangkat tangannya (yang memegang pisau) sebelum sempurnanya sembelihan.
Adapun ulama’ mazhab lain tidak mensyaratkan perkara tersebut. Al-Khatib al-Shirbini berkata bahawa tidak disyaratkan memotong dengan sekali tujahan sahaja (tanpa angkat pisau), bahkan dibolehkan berkali-kali selagimana binatang smbelihan itu berada dalam keadaan (الحياة المستقرّة). (Lihat Tuhfah al-Habib ‘Ala Syarh al-Khatib, 4/295)
Al-Muhaqqiq al-Imam ‘Abd al-Hamid al-Syirwani rahimahullah berkata: “Jika dia mengangkat pisau, dan terus mengulang sembelih dengan segera, atau pisau terjatuh dari tangannya maka dia cepat-cepat angkat dan sempurnakan sembelihan, maka ianya halal sepertimana yang difatwakan oleh Ibn Hajar. Mengulang sembelih dengan segera itu, seperti memusing pisau untuk memotong baki halkum dan merih, atau meninggalkannya kerana ketumpulannya dan mengambil pisau lain, semua ini tidak memudaratkan status halal sembelihan.” (Lihat Hasyiah al-Syirwani ‘ala al-Tuhfah, 9/323)
Al-‘Allamah al-Muhaqqiq al-Imam Muhammad Sulaiman al-Kurdi pula berkata, jikalau seseorang memotong lebih dari sekali seperti jikalau terangkat pisau lalu dikembalikan pisau itu segera, atau dibuangnya pisau itu kerana tumpul dan mengambil pisau yang lain, atau terjatuh pisau daripadanya lalu diambilnya segera, atau dia memusing mata pisau dan dipotongnya apa yang tinggal dengan segera, nescaya halal sembelihan itu.” (Lihat Tanwir al-Qulub, hlm. 348)
Kesimpulan
Kami katakan, tidak menjejaskan sembelihan tersebut jika penyembelih mengangkat pisau dengan sengaja atau tidak sengaja selagi mana binatang sembelihan masih bernyawa dan kuat untuk melakukan pergerakan. Sembelihan tersebut sah dan daging binatang tersebut boleh di makan.
Akan tetapi, yang paling afdhal bagi kita adalah mempermudahkan urusan sembelihan agar dapat mengurangkan rasa perit bagi haiwan tersebut.
Ini bersesuaian dengan hadith yang diriwayatkan daripada Syaddad bin ‘Aus R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنّ اللهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، ولْيُحِدَّ أحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisaunya, agar tenang binatang sembelihannya.”
Riwayat Muslim (1955), Abu Dawud (2815), Ibn Majah (2585), al-Tirmizi (1409), dan al-Nasa’ie (4417)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H