Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak bertanya saya ada bela kucing. Hari raya hari itu, kucing saya terlepas dari sangkar. Macam biasa saya pergi vaksin. Selepas beberapa hari saya dapati kucing saya mengandung. Atas nasihat doktor katanya kalau diteruskan kemungkinan anaknya akan cacat.
Soalan saya adakah boleh saya nak gugurkan kandungannya? Saya takut risau berdosa kerana membunuh binatang.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, hukum asal memelihara atau membela kucing adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang masyhur :
الأَصْلُ فِي الأشْيَاءِ الإبَاحَة
Maksudnya : Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus.
Oleh yang demikian, sesiapa yang meneliti akan maksud keharusan hukum, maka dia akan jelas bahawa syarak tidaklah menuntutnya untuk melakukan atau melarangnya dari melakukan, namun syarak memberinya pilihan sama ada untuk buat ataupun meninggalkannya.
Justeru, dalam isu membela kucing ini tidak terdapat nas daripada syarak yang menyuruh seseorang itu membelanya, begitu juga tidak terdapat larangan syarak ke atas perbuatan tersebut. Maka ia kembali kepada hukum asal iaitu keharusan.
Allah SWT telah menetapkan prinsip ihsan dalam setiap perkara. Sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ ”
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ‘al-Ihsan’ ke atas setiap perkata, maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan sebaik-baiknya, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan sebaik-baiknya. Hendaklah kalian tajamkan pisau supaya binatang disembelih mati dengan lebih cepat dan mudah.”
Sahih Muslim (1955)
Bahkan telah sabit daripada hadith Baginda SAW, bahawa seorang wanita di azab di neraka lantaran tidak memiliki sikap belas ihsan terhadap seekor kucing:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، وَلَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: “Seorang wanita masuk ke dalam neraka kerana seekor kucing yang ditambatnya tanpa diberikan makan, dan dia tidak melepaskan kucing tersebut untuk makan sendiri binatang yang berkeliaran di atas muka bumi.”
Riwayat al-Bukhari (3318) dan Muslim (2619)
Nyawa setiap binatang juga perlu dipelihara dan tidak boleh dibunuh sesuka hati secara sewenang-wenangnya. Nabi SAW bersabda:
مَنْ قَتَلَ عُصْفُورًا عَبَثًا عَجَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ يَا رَبِّ إِنَّ فُلاَنًا قَتَلَنِي عَبَثًا وَلَمْ يَقْتُلْنِي لِمَنْفَعَةٍ
Maksudnya: Barangsiapa yang membunuh burung kecil tanpa sebab, ia akan mengadu kepada Allah SWT pada hari kiamat dan berkata: Wahai Tuhan, sesungguhnya si fulan telah membunuhku dnegan sia-sia tanpa sebab dan tidak membunuhku kerana sebarang manfaat.
Sunan an-Nasa’ie (4446)
Berbalik kepada persoalan di atas, saya berpendapat hukum memandulkan kucing yang dipelihara tambahan pula ‘illah dan sebabnya boleh membawa kecacatan kepada anak kucing berdasarkan perakuan doktor haiwan yang thiqah maka saya berpendapat hukumnya harus.
Sementelahan lagi, anak kucing tersebut dianggap baru pada peringkat kehamilan ibunya. Justeru, ia masih teramat kecil dan mungkin belum terbentuk sebagai janin yang telah bernyawa.
Semoga dengan alasan yang dikemukakan ini menjadikan kita faham bagaimana kita berinteraksi dengan haiwan seperti kucing. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H