#1851: Melayan Tetamu atau Memenuhi Janji, Mana Lebih Utama?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah berjanji dengan saudara saya untuk pergi ke suatu tempat. Tiba-tiba rumah saya dikunjungi tetamu secara berturut-turut sehinggalah terlepas waktu yang kami janjikan. Persoalan saya, mana yang lebih utama untuk saya dahulukan, melayan dan memuliakan tetamu atau memenuhi janji?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Tuntutan Memuliakan Tetamu

Memuliakan tetamu dan memuliakan mereka adalah satu akhlak yang terpuji dan dituntut dalam islam. Allah SWT telah merakamkan kisah Nabi Ibrahim A.S sebagai contoh kemuliaan hati tuan rumah melayan tetamu yang datang menziarahi rumah.

Firman Allah SWT:

هَلْ أَتَىٰكَ حَدِيثُ ضَيْفِ إِبْرَٰهِيمَ ٱلْمُكْرَمِينَ

Maksudnya : “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?”

إِذْ دَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَقَالُوا۟ سَلَـٰمًا ۖ قَالَ سَلَـٰمٌ قَوْمٌ مُّنكَرُونَ

Maksudnya: “Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: ‘Salam sejahtera kepadamu!’, Ia menjawab: ‘Salam sejahtera kepada kamu!’ (Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal.”

فَرَاغَ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ فَجَآءَ بِعِجْلٍ سَمِينٍ

Maksudnya: “Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).”

فَقَرَّبَهُۥٓ إِلَيْهِمْ قَالَ أَلَا تَأْكُلُونَ

Maksudnya: “Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: ‘Silalah makan’.”

(Surah al-Zariyat : 24-27)

Ini adalah akhlak terpuji Nabi Allah Ibrahim A.S yang melayani tetamu dengan baik meskipun Baginda tidak mengenali mereka.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ومَن كانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ واليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ

Maksudnya: “Dan siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka muliakanlah tetamu.”

Riwayat al-Bukhari (6475) dan Muslim (74)

Al-Munawi berkata bahawa tetamu hendaklah dimuliakan tanpa mengambil kira sama ada mereka kaya atau miskin. Mereka hendaklah disambut dengan wajah yang ceria, diberi hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi mereka semula dan bertandang ke rumah tetamu tersebut. (Lihat Faidh Al-Qadir, 6/209)

Tuntutan Menepati Janji

Syara‘ menuntut umat islam untuk menepati janji dan tidak melanggarnya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mukmin seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mukmin itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mu’minin: 8)

Di dalam surah lain Allah SWT berfirman:

وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”

(Surah al-Isra’: 34)

Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa janji adalah kehormatan dan persetujuan, dan kontrak adalah kewajiban dan keterikatan. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan munafiq, meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka wajib untuk menepati janji berdasarkan syara‘. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, dia telah melakukan maksiat dan dosa. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/73)

Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap janji-janji yang dibuat antara manusia dan kontrak-kontrak yang disepakati antara mereka akan dipersoalkan tentangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/68)

Terdapat ancaman daripada Nabi SAW terhadap mereka yang memungkiri janji dengan menyifatkan mereka ini sebagai munafiq. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المـنَافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Melayan Tetamu atau Memenuhi Janji

Kembali kepada persoalan di atas, berdasarkan kepada kefahaman kami terhadap situasi yang diceritakan saudara yang bertanya, dia telah membuat perjanjian dengan saudaranya terlebih dahulu sebelum rumahnya dikunjungi tetamu.

Melayan tetamu dan memenuhi janji sememangnya mempunyai tuntutan di dalam agama, akan tetapi lebih utama untuk kita utamakan mana yang lebih dahulu kita sepakati.

Jika kita telah berjanji dengan saudara kita untuk melakukan sesuatu perkara bersamanya terlebih dahulu, maka janji inilah yang lebih utama. Apabila tetamu ingin datang bertandang di rumah, dia perlu memberi tahu tetamu itu bahawa dia melakukan janji dan dia perlu menunaikannya.

Ini bertepatan dengan kaedah usuliyyah yang berbunyi:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Apa-apa perkara yang tidak sempurna sesuatu kewajipan itu melainkan dengannya, maka ia juga dikira wajib.”

Menunaikan janji adalah suatu kewajipan yang dituntut dan akan dipersoalkan setiap pelakunya, sama ada mereka menunaikan janji ataupun tidak. Dan janji seseorang itu tidak akan tertunaai melainkan dengan cara dia memberitahu kepada tetamu tersebut tentang janji yang telah dibuat.

Jika kita bersetuju untuk menerima tetamu ke rumah terlebih dahulu sebelum membuat perjanjian, maka menyantuni tetamu dan memuliakan mereka adalah lebih utama. Hal ini kerana persetujuan antara dua pihak itu juga salah satu bentuk perjanjian, maka ia perlu didahulukan.

Sekiranya dia membuat perjanjian selepas bersetuju menerima tetamu, dalam keadaan dia tahu kesan daripadanya adalah dia akan memungkiri salah satu daripada dua janji tersebut, maka ia adalah perbuatan yang salah dan tidak wajar.

Perbuatan ini seakan-akan sengaja mencampakkan diri ke dalam larangan syara‘ yang telah jelas di sebutkan seperti di atas. Allah SWT berfirman:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Kami katakan juga, alangkah baiknya kita dapat menghimpunkan kedua-dua perkara ini dengan cara melayan tetamu dalam waktu yang singkat serta menunaikan janji yang kita adakan sebelum ini. Begitu juga, dengan kemudahan moden, kadang-kadang kita boleh membawa tetamu kita ke tempat yang kita janji seperti di restoran atau kedai di mana kita melayan tetamu dan pada saat yang sama kita dapat menunaikan janji dengan sahabat kita. 

Saya lebih cenderung jika kita dapat laksanakan kedua-duanya berdasarkan nas di atas kerana menghimpunkan 2 kebaikan dengan pelaksanaannya jauh lebih baik dari kita melaksanakan satu sahaja tuntutan. Di sini jelas kepentingan memelihara dan menjaga waktu adalah amat-amat dituntut agar kita dapat melaksanakan dengan jayanya sama ada perancangan, temujanji atau memuliakan tetamu. 

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H