Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Seseorang (fulan) menyimpan hasrat untuk mengerjakan ibadah umrah di bulan Ramadan bagi mendapatkan ganjaran pahala seolah-olah melakukan haji bersama Rasulullah SAW.
Namun begitu hajat (bukan nazar) si fulan tidak kesampaian disebabkan telah meninggal dunia. Waris si fulan telah mengupah badal umrah (untuk fulan) ketika di bulan Ramadhan. Adakah ganjaran pahala seolah olah mengerjakan haji bersama Rasulullah SAW sampai kepada arwah si fulan? Mohon pencerahan. Jazakallahukhair.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat..
Kami mulakan dengan hadith daripada Ibnu Abbas RA, katanya, “Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita daripada kalangan Anhar. “Apakah yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Dia berkata, “Kami hanya punya dua ekor unta, satunya dibawa oleh bapa dan anaknya, dan yang satu lagi kami gunakan untuk menyiram kebun.” Maka Nabi SAW berkata:
فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً) وفي رواية لمسلم : حجة معي)
Maksudnya: “Jika datang bulan Ramadhan, lakukanlah umrah, kerana pahala umrah itu sama dengan pahala mengerjakan haji.” Dalam riwayat muslim, “Sama dengan pahala menunaikan haji bersamaku.”
Riwayat Imam al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)
Kesamaan yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah antara pahala umrah di bulan Ramadan dan pahala haji adalah daripada ukuran pahala, bukan daripada jenis dan kualiti, kerana haji tidak diragukan lagi, lebih mulia daripada umrah daripada sisi jenis amal.
Siapa yang umrah di bulan Ramadan, maka dia akan meraih senilai pahala ibadah haji, hanya saja perbuatan ibadah haji memiliki keutamaan, keistimewaan dan kedudukan yang tidak terdapat dalam umrah, berupa doa di Arafah, melontar jumrah, menyembelih kurban dan lainnya. Keduanya, meskipun sama kadar pahalanya daripada kualitinya, maksudnya, jumlahnya, akan tetapi tidak sama daripada sisi kualitinya.
Dalam menjawab persoalan di atas, saya katakan bahawa rahmat Allah SWT itu maha luas dan ganjaran pahala juga berlaku kerana umum hadith yang disebut padanya umrah di bulan Ramadhan menyamai haji.
Semoga badal umrah yang dilakukan di bulan Ramadhan akan memperolehi pahala haji. Amin. Mengambil kesempatan di musim haji ini, marilah sama-sama kita doakan:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H