#1855: Jin Atau Syaitan Boleh Membaca Fikiran Manusia?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah jin atau syaitan mengetahui apa yang terlintas di fikiran seseorang manusia?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Ibn Manzur menyatakan, dinamakan al-Jin kerana terlindung dan terhalang mereka itu daripada pandangan. Ini seperti al-Janin dilindung (daripada pandangan) ia daripada perut ibunya.

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyebut bahawa lafaz “وَأَجَنَّهُ” bermaksud “Apabila dilindungi sesuatu”. Dan bagi setiap sesuatu yang dihijab daripada kamu maka sesungguhnya (جُنَّ) iaitu dilindung (tidak boleh dilihat) daripada kamu. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/89)

Jin adalah sebahagian daripada makhluk Allah. Ia diciptakan sebelum daripada penciptaan Nabi Adam AS. Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٦﴾ وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.”

Surah al-Hijr (26-27)

Ibn Kathir berkata: (وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ) “Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu,” Yakni sebelum manusia (Adam). (مِن نَّارِ السَّمُومِ) dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma. Ibnu Abbas meriwayatkan: Iaitu api panas yang mematikan. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 5/10)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis Jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam AS. Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/20)

Menjawab persoalan di atas, saya berpendapat amat wajar kita asaskan kepada kisah perintah Nabi Sulaiman AS kepada para jin dengan pekerjaan yang khusus. 

Firman Allah SWT:

وَلِسُلَيْمَانَ الرِّيحَ غُدُوُّهَا شَهْرٌ وَرَوَاحُهَا شَهْرٌ ۖ وَأَسَلْنَا لَهُ عَيْنَ الْقِطْرِ ۖ وَمِنَ الْجِنِّ مَن يَعْمَلُ بَيْنَ يَدَيْهِ بِإِذْنِ رَبِّهِ ۖ وَمَن يَزِغْ مِنْهُمْ عَنْ أَمْرِنَا نُذِقْهُ مِنْ عَذَابِ السَّعِيرِ ‎﴿١٢﴾‏ يَعْمَلُونَ لَهُ مَا يَشَاءُ مِن مَّحَارِيبَ وَتَمَاثِيلَ وَجِفَانٍ كَالْجَوَابِ وَقُدُورٍ رَّاسِيَاتٍ ۚ اعْمَلُوا آلَ دَاوُودَ شُكْرًا ۚ وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ ‎﴿١٣﴾ فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَىٰ مَوْتِهِ إِلَّا دَابَّةُ الْأَرْضِ تَأْكُلُ مِنسَأَتَهُ ۖ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ

Maksudnya: “Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa dari jin itu yang menyeleweng dari perintah Kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka. Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar yang tetap di atas tukunya. (Setelah itu Kami perintahkan): “Beramalah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur. Setelah Kami tetapkan berlakunya kematian Nabi Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka tentang kematiannya melainkan semut putih (anai-anai) yang telah memakan tongkatnya. Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.

Surah Saba’ (12-14)

Menariknya, Allah SWT menyebut pada akhir ayat yang ke-14 “فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَن لَّوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِينِ” yang memberi maksud “Maka apabila ia tumbang, ternyatalah kepada golongan jin itu, bahawa kalaulah mereka sedia, mengetahui perkara yang ghaib nescaya mereka tidak tinggal sedemikian lamanya di dalam azab (kerja berat) yang menghina.” 

Di mana nas ini menunjukkan jin tidak mengetahui perkara ghaib termasuklah kematian Nabi Sulaiman AS yang disedari oleh jin pada tempoh yang amat lama. Kami berpendapat jin tidak mengetahui apa yang terlintas dalam fikiran manusia. 

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H