#1856: Memohon Kematian Jika Sudah Tidak Boleh Menyumbang Kepada Dunia

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya nak tanya, bolehkah dalam doa kita minta ”Seandainya kita tak dapat menyumbang apa-apa lagi di dunia ini, kita redha untuk Allah cabut nyawa”?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Menjawab persoalan yang dikemukakan, kami katakan dunia merupakan pentas ujian dan dunia tiada kerehatan baginya. Ini bermakna kita sebagai khalifah Allah SWT dan pemegang amanah Allah SWT sentiasa mempunyai tugasan selagi hayat dikandung badan. Allah SWT ciptakan kita agar kita beribadat kepada-Nya. 

Justeru soalan yang ditanyakan oleh saudara adalah maksud kepada sumbangan yang mungkin dapat saudara berikan kepada khalayak ummah, agama kita dan juga negara kita sebagai contoh. Tetapi sebenarnya, ia melangkaui lebih daripada itu.

Berkenaan dengan memohon kematian atau bercita-cita mati, jika dengan sebab ujian atau mudarat yang dihadapi maka ia tidak dibenarkan dalam Islam. Ada pendapat mengatakan makruh bagi seseorang berdoa kepada Allah agar dimatikan kerana tidak tahan menanggung sakit yang dihadapinya. Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ لِضُرٍّ نَزَلَ بِهِ

Maksudnya: “Janganlah seorang daripada kamu menginginkan dan bercita-cita untuk mati disebabkan kemudaratan yang menimpanya.

Riwayat Muslim (6990)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَتَمَنَّى أَحَدُكُمُ الْمَوْتَ وَلاَ يَدْعُ بِهِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَأْتِيَهُ إِنَّهُ إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ وَإِنَّهُ لاَ يَزِيدُ الْمُؤْمِنَ عُمْرُهُ إِلاَّ خَيْرًا

Maksudnya: Janganlah salah seorang di antara kamu mengharapkan kematian. Janganlah meminta kematian sebelum datang waktunya. Apabila salah seorang di antara kamu meninggal, maka terputuslah amalnya. Sesungguhnya tidak bertambah umur seorang mukmin kecuali kebaikan”.

Riwayat Muslim (6995)

Manakala dalam lafaz mengikut al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَتَمَنَّى أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ إِمَّا مُحْسِنًا فَلَعَلَّهُ يَزْدَادُ وَإِمَّا مُسِيئًا فَلَعَلَّهُ يَسْتَعْتِبُ

Maksudnya: “Janganlah salah seorang daripada kamu mengharapkan kematian kerana jika dia seorang yang berbuat baik, maka barangkali kebaikannya akan bertambah. Jika dia adalah seorang yang  suka berbuat kejahatan pula, barangkali dia akan berubah.”

Riwayat al-Bukhari (7235)

Al-Hafiz Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadis di atas, menukilkan daripada Imam al-Nawawi yang berkata: “Pada hadis ini terlihat jelas bahawa dimakruhkan mengharap kematian lantaran mudarat yang menimpanya atau penderitaan kerana perbuatan musuhnya, dan yang sejenisnya dari sukarnya kehidupan dunia. (Lihat Fath al-Bari, 20/279)

Tetapi di sana ada beberapa pengecualian untuk berdoa supaya diambil nyawa. Iaitu jika seseorang bimbangkan kerugian atau fitnah pada kelangsungan agamanya, maka tidak makruh mengharapkan kematian. Inilah yang difahami daripada hadis di atas. Begitu pula beberapa salaf telah melakukannya. (Lihat Fath al-Bari, 20/279)

  • Ini sebagaimana doa Saidina Umar al-Khattab R.A:

اللَّهُمَّ كَبِرَتْ سِنِّي وَضَعُفَتْ قُوَّتِي وَانْتَشَرَتْ رَعِيَّتِي فَاقْبِضْنِي إِلَيْكَ غَيْرَ مُضَيِّعٍ وَلاَ مُفَرِّطٍ

Maksudnya: ”Ya Allah! Umurku telah tua, kekuatanku telah lemah, rakyatku semakin ramai, maka cabutlah nyawaku tanpa kesengsaraan”

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2405)

  • Begitu juga sepertimana yang berlaku kepada Saidatina Maryam tatkala dia tahu akan diuji dengan kelahiran anak tanpa bapa. Hal ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

فَأَجَاءَهَا الْمَخَاضُ إِلَىٰ جِذْعِ النَّخْلَةِ قَالَتْ يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا

Maksudnya: (Ketika ia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); ia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!

(Surah Maryam: 23)

Ibnu Kathir berkata: Di dalamnya mengandungi dalil tentang dibolehkan mengharapkan kematian di saat terjadinya fitnah. Hal ini kerana Maryam mengetahui bahawa dia akan diuji dengan anak yang dilahirkannya ini berupa hilangnya dukungan manusia dan sikap mereka yang tidak akan membenarkan cerita yang disampaikannya. Setelah dahulunya dia adalah seorang ahli ibadah, kini menurut pandangan mereka, dia adalah seorang pelacur dan penzina. Maka dia pun mengucapkan: (يَا لَيْتَنِي مِتُّ قَبْلَ هَـٰذَا) “alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini,” sebelum kejadian ini. (وَكُنتُ نَسْيًا مَّنسِيًّا) “dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang!,” iaitu aku tidak diciptakan dan tidak menjadi sesuatu apa pun. Itulah pendapat Ibnu Abbas. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/323)

Justeru, saya katakan jadikanlah dunia ini sebagai ladang akhirat untuk kita raih sebanyak-banyak pahala seperti banyakkan zikrullah, membaca al-Quran, bersedekah, menjaga akhlak, berbakti kepada kedua ibu bapa, sentiasa menuju ke masjid atau surau, menghadiri majlis ilmu, qiamullail dan lain-lain lagi. Mohonlah kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H