#1857: Lafaz “Saya Lepaskan Awak,” Dikira Cerai?

Soalan:

Jika sepasang suami isteri bergaduh dan suami mengeluarkan ayat, “Saya lepaskan awak jelah, saya lepas awak dekat pejabat agama” kemudian apabila suami berbual dengan rakannya suami memberitahu, “Saya dah lepaskan dia” kerana beranggapan telah tercerai semasa bergaduh. Adakah perlu untuk membuat pengesahan di mahkamah? Adakah mereka masih suami isteri?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

Surah al-Baqarah (229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

Berbalik kepada soalan di atas, lafaz yang digunakan oleh suami puan adalah lafaz kinayah yang mana lafaz tersebut perlu kepada niat. Di dalam mazhab Syafie, Lafaz kinayah ialah lafaz yang mengandungi makna talak dan selainnya. Contohnya seperti kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/456)

Oleh itu, jika yang dimaksudkan dengan suami puan “saya melepaskan awak” dengan niat “saya ceraikan awak”, maka ketika itu jatuh talak. Namun, jika sekiranya dia tidak berniat untuk menceraikan, maka tidak jatuh. Akan tetapi, dalam isu ini kami berpandangan sebaiknya puan rujuk di Mahkamah Syariah untuk mendapatkan informasi lebih lanjut berkenaan status suami isteri bagi Permohonan Pengesahan Lafaz Cerai kerana urusan talak ini adalah urusan yang serius berkait dengan tujuan Syariah iaitu penjagaan nasab, keluarga dan keturunan. Dari situ, Hakim akan memutuskan status puan dan suami, sama ada terjatuhnya talak atau pun tidak. Ini berdasarkan kaedah:

أَنَّ حُكْمَ الْحَاكِمِ يَرْفَعُ الْخِلَافَ

Maksudnya: “Bahawa sesungguhnya keputusan hakim (pemerintah) mengangkat khilaf.” 

Isu berkenaan talak ini juga, telah kami bincang di link di bawah:

#248 Talak Kinayah[1]

#1247: Jenis Lafaz Talak Kinayah[2]

#1630: Lafaz Talak ‘’Lebih Baik Kita Berpisah’’[3]

Akhir kalam, semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman yang tepat kepada kita dalam melaksanakan setiap titah perintah-Nya. Amin.

Kami menutup dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

[1] https://maktabahalbakri.com/248-talak-kinayah/

[2] https://maktabahalbakri.com/1247-jenis-lafaz-talak-kinayah/

[3] https://maktabahalbakri.com/1629-lafaz-talak-lebih-baik-kita-berpisah/

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H