#1858: Musafir Tanpa Bermalam Melakukan Jamak Solat

Soalan:

Assalammualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya menghantar anak ke Melaka dari Selangor, perjalanan melebihi 2 marhalah dan saya tidak bermalam di sana. Adakah saya masih boleh jamak solat kerana ada pendapat mengatakan tidak bermalam maka tidak boleh jamak? Tetapi mengikut sesetengah ustaz perjalanan melebihi 2 marhalah dan keluar dari mukim, selagi tak sampai rumah dibolehkan untuk jamak. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.”

Riwayat al-Bukhari (1107)

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ بِنْ جُبَيْرٍ فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW menjama’kan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjama’kan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.”

Riwayat Muslim (705)

Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah permusafiran. Akan tetapi, Mazhab Hanafi mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/329)

Ulama’ tidak meninggalkan ‘illah atau sebab ini secara itlaq (إِطْلَاق), akan tetapi meletakkan beberapa syarat tertentu yang membolehkan seseorang itu melakukan solat musafir (jamak dan qasar).

  • Perjalanan yang jaraknya hingga 81 km dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut.

Imam al-Bukhari menyebutkan di dalam bab ‘jarak yang boleh di qasarkan solat’, bahawa Nabi SAW menamakan perjalanan satu hari satu malam itu sebagai musafir. Ibn Umar serta Ibn ‘Abbas R.Anhum mengqasarkan solat dan berbuka ketika bermusafir sejauh 4 burdah, iaitu menyamai 16 farsakh. Anggaran jarak ini menyamai 81km.

  • Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak dibawanya.
  • Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/190; Sahih al-Bukhari, 2/43)

Melihat kepada perbahasan di atas, bermalam tidaklah termasuk di antara syarat-syarat yang membolehkan permusafiran. Jika ia tidak menjadi syarat, maka tidak menjadi masalah jika seseorang melalui perjalanan melebihi 2 marhalah tanpa bermalam untuk menjamakkan antara dua solat.

Jelas di sini bahawa syara‘ tidak meletakkan waktu minimum untuk seorang musafir melakukan rukhsah jamak solat. Sebaliknya, syara‘ telah menetapkan waktu maksimum iaitu 3 hari, tidak termasuk hari perjalanan  pergi dan hari perjalanan pulang. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada al-‘Ala’ bin al-Hadhrami R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ

Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”

Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)

Imam al-Syirazi mengatakan bahawa jika seorang musafir itu berniat untuk menetap selama empat hari, selain hari perjalanan  pergi dan hari perjalanan pulang, maka dia seperti orang yang bermukim (kerana niat itu), dan terangkatlah rukhsah musafirnya (jamak dan qasar). Adapun berniat menetap tiga hari tidak menjadikan musafir itu seorang mukim. (Lihat al-Majmu‘, 4/359)

 

Kesimpulan

Kami katakan, tidak menjadi masalah jika seseorang yang bermusafir tanpa bermalam untuk melakukan jamak antara dua solat fardhu kerana ia tidak termasuk dalam syarat yang telah ditetapkan ulama’.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H