#1866: Korban Dengan Pembayaran Ansuran

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Mohon pencerahan, adakah dibenarkan kita korban dengan bayaran ansuran? Sedangkan kita perlu buat hanya apabila kita mampu sahaja. Tambah lagi jumlah ansuran lebih mahal dari harga asal.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

Surah al-Kauthar (2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Ibadah korban termasuk dalam syiar-syiar agama Allah yang sewajarnya dibesarkan dan diagungkan. Firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّـهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ  فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّۖ  كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian daripada syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

Surah al-Hajj (36)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa mereka yang melakukan sembelihan korban dan memilih binatang besar lagi gemuk sudah pasti termasuk dalam golongan yang membesarkan syiar Allah SWT. Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “Ia sebagai tanda dan lambang kebesaran agama Allah dengan melaksanakan ibadat korban tersebut.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 17/296)

Berkenaan hukum melakukan ibadah korban, terdapat beberapa pandangan ulama’ dalam isu ini. Imam al-Nawawi berkata: Para ulama’ berbeza pendapat tentang kewajiban korban ke atas orang yang berkemampuan. Sebahagian besar ulama’ berpendapat bahawa korban itu sunat bagi orang yang mampu. Jika tidak melakukannya tanpa sebarang keuzuran, maka dia tidak berdosa dan tidak harus menggantikannya. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa korban itu wajib ke atas orang yang mampu. (Lihat al-Minhaj, 13/110)

Antara ulama’ yang berpendapat wajibnya ibadah korban kepada yang mampu ialah Imam Abu Hanifah, al-Qadhi Abu Yusuf dalam salah satu pendapatnya, Rabi’ah, al-Laith bin Sa’ad, al-Auza’i, al-Thauri dan Imam Malik dalam salah satu pendapatnya. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/77)

Mereka berdalilkan – antaranya – dengan sabda Nabi SAW:

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ، فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang memiliki kelapangan (rezeki) dan tidak melakukan ibadah korban, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami.”

Riwayat Ibn Majah (3123) dan Ahmad (14/24)

Namun majoriti ulama’ berpendapat bahawa hukum menyembelih korban adalah sunat muakkad. Pendapat ini merupakan pendapat ulama’ Syafi’iyyah, Hanabilah, pendapat yang paling kuat daripada Imam Malik dan salah satu pendapat daripada Abu Yusuf. Ini juga merupakan pendapat Saidina Abu Bakar, Saidina ‘Umar, Bilal, Abu Mas’ud al-Badri, Suwaid bin Ghafalah, Sa’id bin al-Musayyib, ‘Atho’, ‘Alqamah, al-Aswad, Ishaq, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 5/77)

Mereka berdalilkan – antaranya – dengan sabda Nabi SAW:

إِذَا رَأَيْتُمْ هِلاَلَ ذِى الْحِجَّةِ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّىَ فَلْيُمْسِكْ عَنْ شَعْرِهِ وَأَظْفَارِهِ

Maksudnya: “Jika masuk bulan Zulhijjah dan salah seorang daripada kamu ingin menyembelih korban, maka hendaklah dia tidak memotong sedikit pun daripada rambut dan kukunya.”

Riwayat Muslim (1977), Abu Daud (2791), al-Tirmizi (1523), al-Nasaie (4361), Ibn Majah (3150) dan Ahmad (26654)

Berkenaan hadith ini, Imam al-Nawawi menukilkan bahawa Imam al-Syafi’i menyebut: “Dalil di atas menunjukkan bahawa hukum korban itu tidak wajib. Kerana dalam hadith digunakan lafaz ‘أَرَادَ’ (sesiapa yang mahu). Seandainya menyembelih korban itu wajib, maka cukuplah Nabi SAW menyatakan, “Maka hendaklah dia tidak memotong sedikit pun daripada rambut dan kukunya sehinggalah dia melakukan korban.” (Lihat al-Majmu’, 8/217)

Imam al-Nawawi kemudian menyebut: Menurut Mazhab Syafi’i dan mazhab majoriti ulama’, hukum korban adalah sunat muakkad bagi yang senang untuk melakukannya (mempunyai kelapangan rezeki) dan ia tidak wajib.” (Lihat al-Majmu’, 8/217) Di tempat yang lain, beliau turut menjelaskan: “Jika seseorang meninggalkannya tanpa uzur, dia tidaklah berdosa dan tidak perlu qadha’ (mengganti). (Lihat al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, 13/109)

Justeru, kami katakan dalam jawapan saudara, hukumnya adalah harus kerana konsep kemampuan di sini sifatnya bertangguh dalam pembayaran. Kalimah yang mengikat jawapan ini adalah hadith Nabi SAW yang menyebut: 

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ  

Yang memberi maksud “Barangsiapa yang memiliki kelapangan (rezeki)” di mana kalimah سَعَةٌ atau kelapangan berbeza antara seseorang dengan seseorang mengikut rezeki dan pekerjaannya. 

Saya melihat usaha seperti ini dengan yakin dan bersungguh-sungguh akan membawa kepada semangat untuk berkorban walaupun dilanda badai dan ujian. Ini kerana fadhilat dan besarnya kelebihan ibadat korban.

Saya akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H