Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya bertanya satu soalan? Saya musykil sekarang. Persoalannya, saya mendapat refund baki pinjaman kereta saya yang dah tamat 9 tahun tempohnya berjumlah 3K. Masalah di sini, saya hanya bayar bulan-bulan sepanjang 6 tahun. Bakinya disambung bayar oleh buyer baru tanpa dia membuat loan baru sebaliknya menggunakan nama saya sebagai peminjam bank yang asal. Dia sambung bayar tanpa mendapatkan keizinan daripada saya. Sebab mengikut perjanjian, dia akan membeli terus dan lunaskan semua baki-bakinya. Sebaliknya apa yang berlaku, apabila buyer degil meneruskan sambung bulan-bulan. Akibatnya, bank akan mencari dan mengganggu saya setiap kali buyer bermasalah dalam pembayaran berikutnya. Baru-baru ini bank bagi tahu hutang kereta sudah settle. Bank bagi refund. Nak tahu juga adakah duit refund itu milik saya? Terima kasih banyak ustaz. Mohon pencerahan
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, kita dilarang untuk menggunakan atau memakan harta seseorang secara batil. Hal ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”
(Surah al-Nisa’: 29)
Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).
Tambahan lagi, al-Maraghi menyatakan bahawa perkataan ‘batil’ bermaksud sia-sia. Namun, dari segi istilah agama pula ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau tanpa kerelaan pemiliknya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1168).
Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).
Selain itu, terdapat sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَحِلُّ مَالُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ إِلَّا بِطِيبِ نَفْسِهِ
Maksudnya: “Tidak halal mengambil harta seseorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya.”
Riwayat al-Daraqutni (2885)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, pertamanya kami tidak mengetahui sebab kepada refund tersebut. Adakah ia sama seperti rebate yang diberikan kepada peminjam kerana berjaya melangsaikan hutangnya lebih awal dari tempoh yang ditetapkan ataupun kerana sebab yang lain. Jika ia adalah kerana pelangsaian hutang yang lebih awal dari tempoh yang sepatutnya, maka kami berpendapat sebaik-baiknya berbincanglah secara baik dengan pembayar kedua.
Begitu juga, dilihat kepada jumlah bayaran daripada kedua-dua belah pihak. Di mana di sini tuan asal membayar selama 6 tahun dan tuan baru membayar 3 tahun. Alangkah baiknya jika ditanya kepada pihak bank duduk perkara sebenarnya duit tersebut kemudian dibahagikan mengikut peratusan pembayaran kepada kedua-duanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H