Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana cara untuk memujuk dan memberi kata-kata kepada rakan yang baru kehilangan insan tersayang? Beliau mengalami kesedihan dalam tempoh yang agak panjang kerana insan tersebut begitu bermakna kepadanya.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Kehilangan insan yang tersayang pastinya terasa berat bagi setiap individu, setelah banyak perjalanan yang dilalui bersama, pahit manis kehidupan yang dikongsi dalam sehari-hari, kemudian berakhir dengan pemergian salah seorang daripada kita yang selalu menemani.
Kesedihan ini adalah fitrah manusia yang Allah SWT ciptakan, bahkan junjungan kita Nabi SAW juga tidak terlepas daripada perasaan sedih atas pemergian anakandanya yang tercinta Ibrahim bersama isteri baginda Mariah binti Syam‘un al-Qibtiyyah. Sehinggakan orang ramai menyangka menyangka peristiwa gerhana matahari yang berlaku pada hari tersebut berlaku atas sebab pemergian anakanda Baginda Ibrahim. Lalu Nabi SAW bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha:
هُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ، لَا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلَا لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Gerhana matahari dan gerhana bulan adalah dua tanda daripada tanda-tanda kekuasaan Allah, kedua-duanya tidak berlaku disebabkan kematian seseorang dan tidak juga disebabkan kelahirannya. Jika kalian Nampak kedua gerhana ini maka keluarlah untuk melakukan solat gerhana.”
Riwayat al-Bukhari (1046), Muslim (901), Abu Dawud (1177), al-Tirmizi (561), al-Nasa’ie (1470), Ibn Majah (1263) dan Ahmad (24571)
Dikisahkan daripada Anas bin Malik R.A, ketika mana para sahabat bersama Nabi SAW menemui Abu Saif al-Qayn (keluarga susuan Ibrahim), Nabi SAW mengangkat Ibrahim yang sedang dalam keadaan nazak lalu menciumnya dan menghidu harumannya. Ketika itu air mata Baginda bercucuran, lalu Abdul Rahman bin ‘Auf R.A bertanya kepadanya: “Kamu juga menangis wahai Rasulullah?”. Lalu Baginda bersabda:
يا ابْنَ عَوْفٍ إنّها رَحْمَةٌ
Maksudnya: “Wahai Ibn ‘Auf, sesungguhnya tangisan adalah terbit dari sifat rahmat”
Kemudian Baginda SAW bersabda lagi:
إنّ العَيْنَ تَدْمَعُ، والقَلْبَ يَحْزَنُ، ولا نَقُولُ إلّا ما يَرْضى رَبُّنا، وإنّا بفِراقِكَ يا إبْراهِيمُ لَمَحْزُونُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya mata itu menangis, dan hati itu berduka, dan tidaklah kami katakan melainkan apa yang tuhan kami redhai. Dan sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahan kamu duhai Ibrahim.”
Riwayat al-Bukhari (1303) dan Muslim (2315)
Kata-kata Untuk Mereka Yang Ditimpa Ujian Kematian
Kematian merupakan satu bentuk musibah ujian yang menimpa, islam mengajarkan kita mengucapkan kalimah istirja‘ apabila ditimpa sebarang musibah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.”
(Surah al-Baqarah: 156)
Diriwayatkan daripada Ummu Salamah R.A katanya, dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: {إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ}، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu ia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah, “Innaa lillahi wainnaa ilaihi raaji’uun allahumma`jurnii fii mushiibati wa akhlif lii khairan minhaa (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala karena mushibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya).’ melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”
Riwayat Muslim (918)
Maka jelaslah melalui hadith ini bahawa setiap orang beriman digalakkan untuk menyebut lafaz istirja‘ ketika mana ditimpa musibah, sama ada musibah tersebut kecil ataupun besar (seperti kematian). Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa sunat hukumnya melafazkan istirja‘ kerana Rasulullah S.A.W disuruh melafazkannya, dan ayat al-Quran juga mengisyaratkan perkara yang sama, begitu juga persepakatan muslimin. (Lihat al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 6/220)
Kesimpulan
Kesedihan adalah fitrah manusia apabila ditimpa musibah, kita juga tidak dihalang untuk menangisi pemergian seseorang, bahkan ia merupakan satu Rahmat bagi kita kerana dapat meluahkan kesedihan tersebut dalam bentuk tangisan. Ia serba sedikit mampu meredakan rasa sedih yang terbuku di hati.
Kami nasihatkan, ambillah para sahabat Nabi SAW sebagai contoh dalam menghadapi kesedihan. Mereka merupakan orang yang paling sedih ketika kewafatan Baginda SAW. Akan tetapi ia bukan penghalang untuk meneruskan kehidupan dan memberikan yang terbaik untuk agama.
Saidina Abu Bakar R.A mengungkapkan kesedihannya ketika melihat wajah Rasulullah SAW yang telah wafat:
بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي، أَمَّا الْمَوْتَةُ الَّتِي كَتَبَ اللَّهُ عَلَيْكَ فَقَدْ ذُقْتَهَا، ثُمَّ لَنْ تُصِيبَكَ بَعْدَهَا مَوْتَةٌ أَبَدًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya aku kasihkanmu lebih daripada kasihku kepada ayah dan ibuku. Inilah kematian pertama yang Allah SWT wajibkan kepadamu yang kamu rasai. Kemudian selepas ini, kamu tidak akan merasai mati lagi untuk selama-lamanya.”
Saidina Umar juga ketika itu tidak mempercayai pemergian Rasulullah SAW, oleh kerana terlalu sedih beliau bertindak mengugut untuk memerangi mereka berkata bahawa Baginda telah wafat. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah, 4/1070)
Sekalipun mereka bersedih, ia tidak menghalang mereka untuk menjadi pemimpin Islam yang pertama selepas Rasulullah SAW. Bahkan antara sumbangan besar dalam kejayaan memimpin yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar dan Saidina ‘Umar R.Anhuma adalah pembukuan al-Quran yang kekal sehinggalah ke zaman kita.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H