#1877: Pengurusan Jenazah; Perlukah Dibuang IUD?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin tanya pasal mak saya. Mak saya pakai IUD lebih kurang 20 tahun yang lepas. Sekarang mak sakit dan tidak boleh bangun atau uruskan dirinya sendiri. Anak-anak sebelum ini tidak tahu mak pakai IUD. 

Nak jadi cerita, masa urus salin pampers mak, rasa macam ada benang dan objek tajam pada bahagian dalam faraj. Kami syak mak pakai IUD (dulu) dan sampai sekarang belum dibuang lagi. Kami tanya mak, tetapi dia kata sudah tidak ingat. Jadi persoalannya, kalau alat tu dah lama di dalam, perlu dibuang atau tidak jika mak meninggal di masa hadapan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Kami takrifkan terlebih dahulu maksud IUD. Peranti Intrauterine (IUD) telah diakui secara meluas sebagai salah satu kontraseptif atau kawalan kelahiran yang paling berkesan yang disediakan untuk wanita, alternatif yang hebat untuk kondom yang biasa digunakan. Kontraseptif telah dipromosikan secara meluas dalam kehidupan semua orang terutamanya untuk perancangan keluarga yang berkualiti, kerana ia dianggap sebagai salah satu asas dalam perkahwinan. Malah, melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerajaan Malaysia telah memulakan usaha perancangan keluarga dengan penubuhan Akta Penduduk dan Perancang Keluarga Negara pada tahun 1966.

IUD bermaksud Peranti Intrauterine dan juga dikenali sebagai gegelung. Ia adalah kaedah kawalan kelahiran dalam bentuk peranti berbentuk T kecil yang diperbuat daripada plastik, dengan rentetan nipis yang dipasang pada bahagian bawah. 

Walaupun penampilannya yang menakutkan, semakin ramai wanita dan profesional kesihatan menyatakan minat mereka terhadap penggunaan ID. Sebab utama adalah kerana kadar kejayaan yang tinggi lebih daripada 99% dalam mencegah kehamilan jangka panjang. 

memasang peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Kaedah ini diharuskan denga syarat-syarat:

  • Iktikad bahawa jika Allah ingin mengurniakan anak juga, tiada siapa yang boleh menghalang dan wajiblah pasangan memelihara kandungan dan menjaga maslahatnya.
  • Tidak mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya isteri.
  • Dilakukan dengan kebenaran dan persetujuan kedua-dua suami isteri.

Ini berdalilkan athar daripada Jabir RA:

كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالقُرْآنُ يَنْزِلُ

Maksudnya: “Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan al-Quran sedang turun.”

Riwayat Imam al-Bukhari (5209)

Ertinya, tiada larangan daripada al-Quran tentang perkara itu kerana jika ia dilarang nescaya al-Quran akan menyatakan larangan. Dalam riwayat Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya tentang `azal, maka baginda menjawab:

مَا عَلَيْكُمْ أَنْ لاَ تَفْعَلُوا، فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ كَتَبَ مَنْ هُوَ خَالِقٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Apa yang baik atas kamu agar kamu tidak melakukannya, kerana Allah telah menulis siapakah yang menjadi Pencipta (bagi setiap sesuatu) sehingga Hari Kiamat.”

Dalam riwayat Abu Said RA menyebut:

لَيْسَتْ نَفْسٌ مَخْلُوقَةٌ إِلَّا اللَّهُ خَالِقُهَا

Maksudnya: “Tiada suatu nyawa pun yang diciptakan melainkan Allahlah Penciptanya.”

Riwayat Imam al-Bukhari (7409)

Berdasarkan kepada takrifan di atas, kami berpendapat jika sekiranya ia mudah dibuang dan tidak memerlukan sebarang operation atau pembedahan, maka seelok-eloknya dibuang. Sebaliknya, jika ianya sukar dibuang dan kedudukannya adalah di dalam rahim atau di pangkalnya, maka tidak mengapa untuk ditinggalkan di dalamnya. Ini kerana kita hanya membasuh yang zahir dan kewajipan mandi berlaku pada zahir tubuh badan sahaja. Wallahua’lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H