#1879: Korban dengan Alpaka

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seseorang itu melakukan ibadah korban dengan alpaka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Definisi alpaka

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, alpaka ialah sejenis haiwan mamalia di Amerika Selatan yang rupanya seakan-akan llama dan bulunya yang panjang dapat dijadikan bahan pakaian.[1]

 

Gambar di atas: Alpaka

Secara umumnya, alpaka ialah haiwan ragut di Amerika Selatan yang berkaitan dengan unta. Dari segi pengelasan saintifik, alpaka tergolong dalam famili Camelidae. la diternak untuk bulunya yang halus. Kadangkala anaknya disembelih untuk dagingnya, alpaka hidup di kawasan pergunungan di Peru dan Bolivia, la hidup biak pada ketinggian dari 4000 hingga 5000 meter di atas aras laut. Darah alpaka adalah efisien untuk membawa oksigen yang berkurangan di altitud tinggi. Alpaka menyerupai llama. Kedua-dua haiwan ini dipercayai berketurunan guanako, sejenis haiwan liar di Pergunungan Andes. Alpaka tidak lagi mempunyai bulu yang lebih panjang dan jauh lebih baik mutunya daripada llama. Alpaka juga adalah saudara dekat vikuna liar yang berbulu yang hidup di Andes.

Tinggi alpaka kurang sedikit daripada 1.2 meter pada paras bahu. la mempunyai bulu tebal berwarna hitam, putih atau perang yang tumbuh dari 20 hingga 60 sentimeter panjangnya. Bulunya lebih lurus dan lebih halus lagi daripada bulu biri biri. la membekalkan salah satu serat terbaik untuk membuat kain yang panas dan lembut. Pemilik alpaka biasanya menggunting bulu alpaka setiap tahun. Mereka mendapat sebanyak tiga kilogram bulu daripada sesetengah alpaka. Bolivia dan Peru menjadi pengeluar bulu alpaka yang terpenting di dunia. la mengeksport sebahagian daripadanya ke Amerika Syarikat dan Eropah untuk dibuat kain. Selebihnya ditenun di rumah dan sering kali dibuat sebai. Orang Asli di Peru menternak alpaka dan membuat kain daripada bulunya sejak beratus-ratus tahun sebelum orang Eropah tiba di Amerika Selatan. Banyak kain yang dinamakan alpaka sebenarnya mengandungi bulu biri-biri dan kapas dan mempunyai sedikit sahaja atau tiada bulu alpaka. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 1/332-333).

Alpaka tergolong dalam jenis haiwan herbivor. Ia meragut rumput segar di ladang, jerami, dan kadang-kadang kulit kayu atau daun pokok. Petani kadang-kadang menambah rumput kering dengan bahan tambahan pemakanan yang direka untuk situasi khas, seperti kehamilan dan menyusui. Selain itu, alpaka juga dikenali sebagai haiwan yang mudah dijaga kerana ia tidak makan banyak.[2]

Berkenan hukum memakannya, kami telah membahaskannya dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #806: Memakan Alpaka.[3]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, aturan dalam pelaksanaan ibadah korban telah pun ditetapkan oleh syariat dengan jelas. Bagi pelaksanaan ibadah korban, telah diletakkan syarat haiwan-haiwan tertentu dalam melaksanakan ibadah ini iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy) serta jenis-jenisnya. Selain daripada tiga jenis haiwan tersebut, tidak pernah dinukilkan pula daripada Nabi SAW dalam melakukan ibadah korban.

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy).

Allah SWT berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimatul an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Imam al-Syaukani pula menyebutkan, ini mengisyaratkan bahawa haiwan korban hanya berupa binatang ternakan, tidak yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/535). Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Tambahan pula, hal ini telah dinukilkan wujudnya ijma‘ (kesepakatan) dalam perkara ini oleh Imam al-Nawawi, Ibn  ‘Abd al-Bar, Ibn Hazm dan selainnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama. Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

 

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa disyaratkan haiwan korban itu berupa ‘haiwan ternakan’, dan haiwan ternakan yang dimaksudkan ialah kambing, lembu dan unta serta termasuklah jenis-jenisnya sahaja. Justeru, kami berpendapat bahawa boleh berkorban dengan alpaka kerana ia termasuk daripada jenis unta dan tergolong dalam keluarga Camelidae.

Begitu juga sebahagian negara telah menjadikannya sebagai haiwan ternakan yang berkurun-kurun lamanya. Selain itu, alpaka juga menjadi makanan bagi sesetengah tempat, di samping memanfaatkan bulunya.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=alpaka. Diakses pada 30 Mac 2022.

[2] Lihat https://a-z-animals.com/animals/alpaca/. Diakses pada 30 Mac 2022.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/806-memakan-alpaka/. Diakses pada 12 Jun 2023.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H