Soalan :
Assalamualaikum Dato Seri, saya nak tanya bagaimana saya sebagai anak hendak membayarkan fidyah puasa orang tua tetapi tidak diketahui bilangan hari yang ditinggal dan bila ia ditinggalkan. Adakah saya perlu membayarkan fidyah mereka?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Definisi Fidyah
Fidyah ialah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.
Dalil Pensyariatan Fidyah
Firman Allah SWT:
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”
(Surah al-Baqarah: 184)
Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212)
Hadith daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا
Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.”
Riwayat al-Tirmizi (718) dan Ibnu Majah (1757)
Untuk mengetahui perbahasan yang lebih lanjut berkaitan fidyah bolehlah merujuk artikel kami yang bernombor 1747: Gandaan Fidyah.[1]
Menjawab bagi persoalan di atas dalam isu ini kami nyatakan bahawa perlu menanyakan sendiri sekiranya ibu bapa yang masih hidup dan sekiranya dia telah meninggal dunia kita perlu bertanya kepada orang yang banyak menjaga mereka contohnya bertanya dikalangan adik beradik yang banyak bersamanya ketika masih hidup dan bincangkan hal yang demikian.Jadi disini kami cadangan supaya kita lakukan tiga anggaran.Yang pertama adalah anggaran yang paling banyak contohnya 25 hari, yang kedua paling sedikit 10 hari dan yang ketiga adalah pertengahan.Di sini kita tengok julat perbezaan antara yang paling banyak dan yang paling sedikit adalah 15 hari. Maka di situ kita letakkan kiraan dalam 15 hari. Namun,sebaiknya kita lebihkan kiraan tersebut contohnya 20 hari jadi itulah kiraan yang kita anggarkan.Dalam bab ini saya lebih suka menggunakan perkara yang disebut sebagai ihtiyat (الاحْتِيَاط) (langkah berjaga-jaga) .Sekiranya kiraan tersebut lebih dari anggaran maka kita anggaplah fidyah yang lebih itu sebagai sedekah.
Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
[1] https://maktabahalbakri.com/1747-gandaan-fidyah/
Disemak pada 12 Jun 2023.
Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H