Soalan :
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, apakah hukum mendengar lagu cinta?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
Firman Allah Taala:
وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ
Maksudnya: “Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.”
(Surah Luqman, 31:6)
Imam al-Ghazali Rahimahullah mengkategorikan nyanyian dan lirik yang diharamkan oleh Syarak sebagai nyanyian dan lirik yang merangsang syahwat dan membawa kepada maksiat seperti zina dan arak.
“Faktor (yang membuatkan sesebuah lagu itu haram) ialah susunan suara itu iaitu liriknya. Jika terdapat dalamnya kata-kata yang kotor, keji, cercaan atau pendustaan terhadap Allah Taala dan Rasul-Nya SAW, atau ke atas para sahabat R.Anhum – sepertima mana yang diratibkan golongan Rafidhah dalam makian mereka terhadap para sahabat dan selain daripada mereka, maka mendengar lirik berkenaan adalah haram sama ada dilagukan atau tidak dilagukan, kerana orang yang mendengar bersubahat dalam dosa sama seperti orang yang melantunkannya.
Begitu juga (haramnya) jika dalam lagu itu diceritakan sifat-sifat peribadi perempuan yang khusus, maka hal ini tidak dibolehkan kerana menceritakan peribadi wanita yang khusus di hadapan ramai lelaki.Adapun ke atas orang yang mendengar, maka jangan dikhayalkan sifat-sifat berkenaan bagi wanita tertentu. Sekiranya dikhayalkan jua, maka khayalkan pada yang halal baginya seperti isteri atau hamba perempuannya. Maka jika dikhayalkan akan perempuan ajnabi maka dia melakukan maksiat dengan khayalan dan fikiran itu. Sesiapa yang memiliki sifat sebegini maka hendaklah dia menjauhkan terus diri daripada mendengar lagu.”
Rujuk Ihya’ Ulum al-Din (2/282)
Menjawab bagi persoalan di atas, pertama kali kata ulama tidak menjadi satu kesalahan untuk mendengar lagu cinta tetapi ada beberapa yang perlu diperincikan sama ada pada lagu,alat dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.Dalam isu ini, mendengar lagu cinta ini saya pecahkan kepada dua.Yang pertama apa hasil atau natijah yang diperolehi selepas mendengar lagu tersebut ? Adakah seseorang apabila mendengar lagu tersebut akan membawanya melakukan kemaksiatan atau terangan-angan dan berada dalam khayalannya sahaja? Maka yang demikian tidak dibolehkan.Namun, sekiranya natijahnya membawa kepada cinta kepada Allah SWT dan Rasul SAW atau kepada sesama manusia maka ia diperbolehkan.Sebagai contoh, kita menghayati lagu atau ucapan para sahabat kepada Rasulullah SAW
طَلَعَ الْبَدْرُ عَلَيْنَا مِنْ ثَنِيَّاتِ الْوَدَاعِ
وَجَبَ الشُّكْرُ عَلَيْنَا مَا دَعَا لِلَّهِ دَاعٍ
Lagu tersebut merupakan tanda betapa cintanya sahabat kepada Nabi Muhammad SAW.Mengikut pandangan ulama ucapan tersebut dizahirkan ketika Nabi SAW dan para sahabat pulang daripada perang tabuk.Kita melihat bahasa-bahasa yang digunakan para sahabat menunjukkan kecintaan yang amat kepada Rasulullah SAW.
Di sini kami sertakan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membincangkan mengenai Hukum Nasyid dan Pancaragam. Muzakarah telah memutuskan
- Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
- Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
- Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
- Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat; senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
- Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
Justeru, kami katakan jika menepati syarat-syarat dan tidak melaghakan maka hukumnya adalah harus untuk mendengarnya.
Wallahua’lam
Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H