#189 Hutang Dengan Bukan Islam

Soalan

Adakah wajib membayar hutang orang bukan Islam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Hutang menurut Kamus Dewan Edisi Keempat[1] ialah wang dan lain-lain yang dipinjam daripada orang lain.

Hutang adalah hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/82; Mughni al-Muhtaj, 2/117; al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Buyu’, hlm. 45)

Dalam bahasa Arab ia disebut sebagai al-qardh (القَرضَ). Al-Qardh dari segi bahasa bermaksud potong. Menurut kamus al-Misbah al-Munir (2/497): ‘قَرَضْتُ الشَّيْءَ قَرْضًا’ bermaksud saya memotong sesuatu. Kata nama perkataaan ini pula membawa maksud satu barangan yang diberikan kepada seseorang sebagai hutang. Perkataan ini digunakan dalam bahasa Arab kerana ia  (hutang) memotong hak pemilik terhadap barangan tersebut.

Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. Dalam bahasa Arab, proses ini dinamakan qardh kerana proses ini menyebabkan tuan punya barangan memotong sebahagian hak miliknya untuk diberikan kepada kepada penghutang. Ini sesuai dengan makna qardh dari segi bahasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/121-122).

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Hutang juga merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib,Hutang merupakan satu bentuk perjanjian antara pemiutang dan penghutang, yang telah diperintahkan oleh Allah SWT agar dipatuhi dan dipenuhi. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Sighah (lafaz) perintah dalam ayat ini agar memenuhi setiap perjanjian yang dibuat adalah berbentuk mutlaq dan umum, mencakupi perjanjian sesama Muslim atau dengan bukan Islam.

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mu’min yang sejati:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mu’min itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mukminin: 8)

Selain itu terdapat banyak hadith yang memberi ancaman terhadap sesiapa yang tidak membayar hutang, antaranya ialah:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ

Maksudnya:Diampuni dosa bagi seorang syahid, kecuali dosa tidak membayar hutang.”

Riwayat Muslim (1886)

Terdapat juga riwayat yang menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berjual beli secara hutang dengan seorang Yahudi. Saidatina ‘Aisyah R.Anha berkata:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم طَعَامًا مِنْ يَهُودِيٍّ بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعًا لَهُ مِنْ حَدِيدٍ‏

Maksudnya:Rasulullah SAW pernah membeli bijiran barli dari seorang Yahudi secara bayaran tertangguh (salam / nasi’ah), dan Baginda mencagarkan perisai besi Baginda sebagai jaminan.”

Riwayat al-Bukhari (2251) dan Muslim (1603)

Begitu juga Baginda pernah berhutang dengan seorang Yahudi yang bernama Zaid bin Sa’nah, dan Baginda segera membayarnya apabila dituntut, meskipun waktu pembayarannya masih belum tiba:

أَنَّ زَيْدَ بْنَ سَعْنَةَ، كَانَ مِنْ أَحْبَارِ الْيَهُودِ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَقَاضَاهُ، فَجَبَذَ ثَوْبَهُ عَنْ مَنْكِبِهِ الْأَيْمَنِ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّكُمْ يَا بَنِي عَبْدِ الْمُطَّلِبِ أَصْحَابُ مَطْلٍ، وَإِنِّي بِكُمْ لَعَارِفٌ، قَالَ: فَانْتَهَرَهُ عُمَرُ فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا عُمَرُ أَنَا وَهُوَ كُنَّا إِلَى غَيْرِ هَذَا مِنْكَ أَحْوَجَ، أَنْ تَأْمُرَنِي بِحُسْنِ الْقَضَاءِ، وَتَأْمُرَهُ بِحُسْنِ التَّقَاضِي، انْطَلِقْ يَا عُمَرُ أَوْفِهِ حَقَّهُ، أَمَا إِنَّهُ قَدْ بَقِيَ مِنْ أَجَلِهِ ثَلَاثٌ فَزِدْهُ ثَلَاثِينَ صَاعًا لِتَزْوِيرِكَ عَلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Zaid bin Sa’nah – seorang pendeta Yahudi- telah mendatangi Nabi Muhammad SAW dan menuntut pembayaran hutang dari Baginda dan menarik baju Baginda pada bahagian bahu kanan lalu berkata: “Sesungguhnya kalian Bani Muthalib merupakan golongan yang melengah-lengahkan pembayaran hutang, dan aku sangat arif akan hal ini”. Umar RA berasa marah kepadanya, lalu Rasulullah SAW bersabda kepada Umar: “Wahai Umar, antara aku dan dia ada urusan, janganlah engkau masuk campur. Sebaiknya kamu menasihati aku supaya membayar hutang dengan baik, dan menasihati dia supaya menuntut bayaran hutang dengan baik. Pergilah wahai Umar dan tunaikan haknya, walaupun sebenarnya masih berbaki tiga hari sebelum tiba tempoh untuk aku membayar hutang; dan tambahlah 30 saa’, kerana engkau telah menakutkannya.”

Riwayat al-Hakim di dalam al-Mustadrak (2237) dan (6547), dan Ibn Hibban (288). [2]

Bahkan para ulama turut menjelaskan bahawa hutang dan perjanjian dengan golongan kafir harbi juga wajib ditunaikan. Imam al-Ramli menyebut keadaan jika seorang kafir menjadi tawanan perang dan diambil sebagai hamba, dan ada Muslim yang berhutang dengannya, Muslim itu tetap wajib membayar hutang tersebut. (Lihat Fatawa al-Ramli, 3/216).

Maka jika hak golongan kafir harbi dan tawanan perang kafir pun wajib dihormati dan dipenuhi, maka terlebih patut lagi kita menghormati dan memenuhi perjanjian dengan golongan bukan Islam yang bertaraf warganegara dan hidup dengan aman damai dalam kalangan kita.

Kami menyimpulkan bahawa hutang walaupun dengan sesiapa sahaja wajib dibayar sekalipun dia bukan Islam. Hal ini kerana setiap orang mempunyai hak dalam hartanya walaupun akidahnya berbeza. Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang baik dalam agama ini.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=hutang

[2] Menurut al-Hakim, isnad riwayat ini adalah sahih, namun tidak diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim.