Soalan:
Assalamualaikum Dato Seri. Semasa saya sekolah dahulu saya selalu mencuri makanan di kantin dan barang di koperasi sekolah. Soalan saya, bagaimana untuk saya menebus dosa saya tersebut? Saya tak tahu nak cari orang yang saya curi barangnya itu sebab tidak kenal dan pemilik kedai pun mungkin telah bertukar.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mencuri merupakan perbuatan maksiat yang dikategorikan sebagai dosa besar dalam agama Islam. Hukuman bagi pelakunya tidak sekadar dijanjikan di akhirat, bahkan diperuntukkan juga di dunia kerana mencuri merupakan perbuatan yang zalim. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran,
وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah kedua-dua tangannya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Maidah :38)
Pencuri lelaki dan pencuri perempuan, potonglah tangan mereka – wahai penguasa yang berkuasa- berdasarkan syariah. Ini adalah hukuman bagi mereka yang mengambil harta orang lain tanpa hak sebagai pembalasan dan juga sebagai peringatan agar orang lain tidak melakukan perbuatan yang serupa. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dalam kerajaan-Nya dan Maha Bijaksana dalam urusan-Nya.(Lihat Tafsir Muyassar,1/114)
Diriwayatkan daripada A’isyah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :
لَا تُقْطَعُ يَدُ سَارِقٍ إِلَّا فِي رُبُعِ دِينَارٍ فَصَاعِدًا
Maksdunya: Tidaklah dipotong tangan pencuri kecuali dia mencuri seperempat dinar atau lebih.
Riwayat Muslim(1684)
Menjawab bagi persoalan di atas, kami nyatakan bahawa wajib dipulangkan kembali apa yang telah diambil tanpa keiizinan tuannya sama ada barang atau nilaian barang tersebut sekiranya empunya barang itu masih hidup. Sekiranya dia telah meninggal dunia maka wajib diserahkan kepada warisnya.
Ini sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya : Sekiranya pemilik asal tidak diketahui nama dan kedudukannya, para ulama memberikan beberapa penyelesaian. Pandangan ini disebutkan oleh Imam al-Nawawi di mana beliau menukilkan fatwa Imam al-Ghazali seperti berikut: Sekiranya seseorang memiliki suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mencarinya, maka wajib menyalurkan harta tersebut untuk keperluan umat Islam yang bersifat umum, seperti jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam. (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 9/351)
Dalam kitab Syarh Riyadh al-Solihin, pengarangnya berkata : Boleh juga harta yang dicuri tersebut disedekahkan atas nama pemilik harta dengan ikhlas kerana Allah SWT, juga disertakan niat pahala kepada tuannya (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, 1/89)
Dengan kemudahan yang ada pada masa kini kami cadangkan tuan menggunakan kemudahan seperti media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Tiktok dan sebagainya bagi mencari kembali tuan empunya barang tersebut atau warisnya.
Disamping itu kami katakan barangsiapa yang pernah melakukan perbuatan mencuri makan hendaklah baginya bertaubat dengan taubat nasuha dan mestilah berazam tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Di sini kami nyatakan juga cara-cara bertaubat dengan betul.
Cara Bertaubat
Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:
- Menjauhi dan meninggalkan maksiat.
- Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
- Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.
Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.
Namun, sekiranya maksiat itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):
- Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan.
(Lihat: Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)
Wallahua’lam
Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H