#1901: Menghadiri Pengebumian Rakan Yang Bukan Islam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, nak bertanya bolehkah kita seorang muslim melawat kematian dan seterusnya menghadiri pengebumian rakan non-Muslim kita?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Mumtahanah: 8)

Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan:  Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berhubungan baik (silaturahim), memberi balasan dengan kebaikan, dan berlaku adil terhadap orang-orang musyrik baik mereka dari kalangan kerabatmu atau yang lain selama mereka tidak memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari tempat tinggalmu. Oleh itu, tidak ada dosa bagimu untuk berbuat baik kepada mereka dan berhubungan baik dengan mereka dalam keadaan seperti ini. Tidak ada larangan atau keburukan dalam hal yang demikian. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 856)

Disebutkan dalam sebuah hadith Ali bin Abi Talib telah bertemu Rasulullah SAW dan beliau mengkhabarkan tentang kematian Abu Talib. Baginda SAW bersabda:

اذْهَبْ فَوَارِهِ. قَالَ: إِنَّهُ مَاتَ مُشْرِكًا. قَالَ: اذْهَبْ فَوَارِهِ. فَلَمَّا وَارَيْتُهُ رَجَعْتُ إِلَيْهِ، فَقَالَ لِي: «اغْتَسِلْ»

Maksudnya: “Pergilah dan kebumikannya” Aku berkata: “Sesungguhnya dia mati dalam keadaan musyrik.” Nabi berkata: “Pergilah dan kebumikannya” Setelahmana aku mengebumikannya, aku kembali kepada Baginda. Maka Baginda berkata kepadaku, “Mandilah.”

Riwayat al-Nasa’ie (190) dan Ahmad ( 759 )

Dalam isu ini imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya al-Majmu’ : Dibolehkan bagi kaum muslimin mengiringi jenazah keluarganya yang kafir. Ini juga merupakan pendapat kebanyakan ulama. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,5/144).

Al-Buhuti juga menyebut  bahawa diharuskan untuk menziarahi kubur orang kafir dan berdiri disisi kuburnya (Lihat Kassyaf al-Kina’,2/150).

Berbalik kepada persoalan di atas, setelah meneliti perbahasan para ulama dapat kami nyatakan di sini bahawa diharuskan untuk menghadiri pengebumian orang yang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam. Namun perlu diingat, kita sebagai orang Islam diharamkan menghadiri upacara -upacara yang berkaitan dengan keagamaan mereka sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Ibn Umar bahawa  Rasulullah SAW bersabda :

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031) dan al-Tabarani (8327)

Syeikh Nasiruddin menyebutkan: “Agama Islam telah pun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidak harus meniru atau mencontohi orang-orang bukan Muslim seluruhnya sama ada dari segi peribadatan, perayaan dan perhiasan yang khusus yang tertentu hanya kepada kalangan mereka sahaja.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H