#1902: Ibadah Korban Untuk Anak Atau Isteri?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya Ada berniat untuk membuat ibadah korban. Saya cuma mampu untuk melaksanakan 2 bahagian. Soalan saya:

  1. Boleh ke saya niatkan dua-dua bahagian Itu untuk anak-anak. Seorang lelaki (belum baligh) dan seorang perempuan (sudah baligh)? Tetapi isteri saya belum pernah melaksanakan ibadah korban. Atau adakah sebaik-baiknya saya laksanakan untuk isteri satu bahagian dan satu bahagian untuk salah seorang anak saya?
  2. Bolehkah saya sedekahkan salah satu bahagian (bahagian pertama) itu kepada anak-anak yatim (Bedaya Kulim) dan satu bahagian (bahagian ke-2) lagi untuk jiran tetangga saya? Dan hanya sedikit untuk ahli keluarga saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.

Hadith riwayat al-Bukhari (5233)

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/478)

Menjawab persoalan di atas, saya noktahkan kepada beberapa bahagian agar mudah difahami. 

  • Kami katakan bahawa anda boleh mengambil dua bahagian daripada seekor lembu. Ini kerana, lembu boleh dikongsi bahagian sebanyak tujuh bahagian. Hal ini berdasarkan hadith Jabir RA:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُهِلِّينَ بِالْحَجِّ: «فَأَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَشْتَرِكَ فِي الْإِبِلِ وَالْبَقَرِ، كُلُّ سَبْعَةٍ مِنَّا فِي بَدَنَةٍ

Maksudnya: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW dalam keadaan berihram haji lalu Baginda menyuruh kami bersekutu dalam menyembelih korban unta dan lembu, tujuh bahagian korban dibahagi tujuh orang.”

Riwayat Imam Muslim (1318)

  • Pembahagian korban kepada kedua-dua anak lelaki dan perempuan yang belum baligh dan sudah baligh adalah dibolehkan.
  • Untuk isteri, pada pendapat saya lebih aula didahulukan dan bolehlah satu bahagian diberi kepada isteri dan satu bahagian diberi kepada salah seorang anak. Ini lebih baik.
  • Untuk sedekah sebahagian yang pertama dibolehkan dan bahagian yang kedua untuk jiran tetangga sebagai hadiah dan sedekah juga baik. Begitu juga, mengambil sebahagian untuk ahli keluarga adalah satu perbuatan yang baik. 

Bagi mengukuhkan jawapan ini, kami nyatakan Dalam sebuah hadis Aisyah R.anha yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 1967) dalam Sahihnya, bahawa Rasulullah SAW berkorban dua ekor kibasy dan bersabda:

بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.”

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa dapat mendirikan syiar Allah SWT dengan melakukan ibadat korban termasuk juga ahli keluarga kita. Amin.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H