#1907: Musafir Setiap Minggu Dan Menginap Di Hotel; Boleh Jamak Dan Qasar?

Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
Original price was: RM70.00.Current price is: RM49.00.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bekerja di Melaka tetapi mempunyai rumah di Selangor bersama keluarga. Setiap minggu saya harus ke Melaka sekurang-kurangnya 2 hari seminggu. Maka saya biasanya akan menetap di hotel (tidak tetap) untuk hari yang saya perlu hadir ke pejabat sahaja. Adakah saya dikira musafir dan boleh melakukan solat jamak setiap kali saya ke Melaka dan tidur 1 atau 2 malam atas urusan kerja?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُواْ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن يَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓاْۚ إِنَّ ٱلۡكَٰفِرِينَ كَانُواْ لَكُمۡ عَدُوّٗا مُّبِينٗا 

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.”

Surah al-Nisa (101)

Ungkapan فَلَيۡسَ عَلَيۡكُمۡ جُنَاحٌ yang bermaksud “maka tidaklah berdosa” difahami oleh para ulama ia digunakan bagi menunjukkan keharusan. (Lihat al-Majmu’, 4/339)

Ada tiga syarat sah solat musafir yakni jamak dan qasar berkaitan dengan perjalanan:

  • Perjalanan yang jaraknya hingga 81 km dan lebih. Oleh itu, tidak diambil kira perjalanan yang kurang daripada jarak tersebut. Dia juga hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Apabila berniat menetap selama empat hari jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja.
  • Perjalanan yang tentu tempat tujuannya. Oleh itu, orang yang merayau-rayau tanpa tujuan ke tempat yang tertentu, dan orang yang mengikut ketuanya tanpa mengetahui ke mana hendak di bawanya, perjalanan mereka tidak mengharuskan qasar kecuali setelah menjangkau jarak perjalanan yang jauh. Ini kerana telah diyakini jauh perjalanannya.
  • Perjalanan tersebut tidak bertujuan maksiat. Justeru, tidak diambil kira perjalanan musafir untuk berniaga arak, mengamalkan riba’ atau menyamun. Ini kerana qasar merupakan keringanan yang disyariatkan untuk menunaikan sesuatu tanggungjawab, dan ia tidak boleh terkait dengan sebarang maksiat.

Berdasarkan syarat di atas, anda telah menepatinya dan layak bagi anda untuk qasar dan jamak. Ini kerana anda telah bermukim hanya 2 hari sahaja. 

Daripada Ya’la bin Umayyah (يَعلَى بن أُميَّة), beliau berkata:

“Aku pernah bertanya kepada ‘Umar bin al-Khattab RA dengan berkata: “(Firman Allah yang bermaksud:)  “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.” (al-Nisa: 101). Bukankah Allah SWT telah memberi keamanan (tiada lagi kebimbangan diserang musuh) kepada kita sekarang? Jawab ‘Umar bin al-Khattab kepadaku:

عَجِبْتُ مِمّا عَجِبْتَ مِنْهُ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ عَنْ ذَلِكَ فَقَالَ: صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: “Aku juga pernah hairan sepertimana kamu hairan. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perkara itu dan baginda bersabda: “Ianya (solat Qasar) adalah sedekah dari Allah untuk kamu semua, terimalah sedekah daripada Allah tersebut.” 

Riwayat Muslim (686)

Hadis ini menunjukkan solat secara Qasar disyariatkan ketika dalam permusafiran sebagai satu pemberian kasih-sayang dan memberi keringanan kepada manusia. Namun ia bukanlah satu kemestian atau wajib dilakukan oleh orang yang bermusafir kerana kesemua para ulama telah bersepakat, pihak yang dikurniakan sedekah tidak menjadi kewajipan ke atasnya menerima sedekah yang diberikan kepadanya itu. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal, 2/10)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H