#1909: Ulang Alik Ke Tempat Kerja Lebih Dari Dua Marhalah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimana status solat jamak dan qasar bagi seseorang yang setiap hari berulang alik ke tempat kerja yang jauhnya lebih 2 marhalah? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang…”

(Surah al-Nisa: 101)

Antara rahmat yang Allah SWT berikan kepada umat ini adalah boleh melakukan solat secara qasar iaitu memendekkan solat daripada empat rakaat menjadi dua rakaat dan juga boleh menggabungkan antara dua waktu solat. Menggabungkan antara Solat Zohor dengan Solat Asar dan juga menggabungkan antara Solat Maghrib dengan Solat Isyak. Ia dipanggil sebagai solat Jamak. Kedua-dua kemudahan ini dibenarkan untuk dilakukan khususnya ketika bermusafir.

Berkenan dalil solat jamak ketika musafir, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjama’kan solat Zuhur dengan Asar ketika perjalanan (yakni bermusafir) dan menjama’kan solat Maghrib dengan Isya’.”

Riwayat al-Bukhari (1056)

Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ بِنْ جُبَيْرٍ فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya: Nabi SAW menjama’kan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjama’kan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.

Riwayat Muslim (705)

Menjawab bagi persoalan di atas,di sini kami nyatakan terlebih dahulu  syarat-syarat Jama’ dan qasar yang perlu dipenuhi antaranya ialah :

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 80 km.
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Berdasarkan keterangan di atas, kami dapat nyatakan di sini seseorang yang ulang alik ke tempat kerja labih dari dua marhalah dibolehkan baginya melakukan jama’ dan qasar kerana telah memenuhi syarat-syarat yang telah dinyatakan di atas.Namun perlu diingat solat jama’ dan qasar hanya boleh dilakukan ditempat kerja atau dalam perjalanan.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H