#1915: Bayaran Fidyah Sekarang Setelah Mampu; Adakah Fidyah Berganda?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya pernah mengganti puasa. Tetapi masa itu student masih belajar. Jadinya saya tiada duit nak bayar fidyah ketika itu. Kalau saya nak bayar sekarang, adakah fidyah berganda? Dan adakah saya kena ganti balik puasa tu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain,”

Surah al-Baqarah (184)

Menjawab persoalan di atas, saya katakan sebab-sebab dikenakan fidyah:

  • Uzur menunaikan puasa wajib

Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

  • Perempuan hamil

Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

  • Ibu yang menyusukan Anak

Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

  • Orang yang telah meninggal dunia

Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

  • Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan

Musafir dan Pesakit yang tidak mengqadhakan puasa pada tahun ia ditinggalkan wajib mengqadhakan puasanya dan membayar fidyah mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

  • Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)

Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan.

Saya cuba gambarkan, jika saudari tinggal puasa. Maka, saudari hanya qadha puasa sahaja kecuali melangkah tahun. Sebagai contoh, Ramadhan 1440 H saudari meninggalkan puasa 5 hari dan tidak qadha sebelum Ramadhan 1441 H. Kemudian, selepas Ramadhan barulah saudari qadha. Maka, di situ dikenakan satu cupak fidyah bagi setiap hari kerana telah melangkaui tahun beserta dengan qadha yang ditinggalkan. 

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Hutang Allah lebih berhak untuk ditunaikan.

Riwayat al-Bukhari (1953)

Dalam mazhab Syafi’i yang masyhur ia digandakan selama mana melangkah tahun. Sebagai contoh: Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM 4.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 36.00.

Menjawab persoalan adakah kena ganti puasa jawapannya ya dan berkenaan dengan gandaan fidyah itu, seperti yang saya jawab di atas. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita untuk mengikuti dan mematuhi segala syariat-Nya. Amin.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H