Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Nama anak saya Muhammad Aus Asytar bin Mohd Hazwan. Saya ada dapat makluman ada seorang kawan kepada adik saya menyatakan bahawa maksud asytar tu merupakan salah seorang raja yang memerintah pada zaman Nabi Yunus AS dan merupakan penyembah berhala. Betul ke? Kalau betul, perlu ke saya menukar nama anak saya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Antara keunikan bagi manusia adalah mereka diberi nama. Hal ini tidak sepertimana makhluk yang lain, yang hanya diberi nama umum seperti pokok, haiwan, kambing, lembu dan lain-lain.
Nama yang dipilih pula hendaklah nama yang diredhai dan disukai oleh Allah. Itulah yang sepatutnya. Sabda Rasulullah SAW:
تَسَمَّوْا بأسماءِ الأنبياءِ، وأَحَبُّ الأسماءِ إلى اللهِ تعالى عبدُ اللهِ وعبدُ الرحمنِ، وأَصْدَقُها حارثٌ وهَمّامٌ، وأَقْبَحُها حَرْبٌ ومُرَّةٌ.
Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”
Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)
Berkenaan dengan persoalan di atas, memang terdapat sebuah hadis daripada Samurah bin Jundub, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
لا تُسَمِّينَّ غُلامَكَ يَسارًا ولا رَباحًا ولا نَجيحًا، ولا أفلَحَ؛ فإنَّك تقولُ: أثَمَّ هو؟ فيقول: لا، إنَّما هنَّ أربَعٌ؛ فلا تَزيدُنَّ عَلَيَّ
Maksudnya: “Jangan kamu menamakan anak-anakmu dengan nama Yasar, Rabah, Najih, Aflah. Kerana sesungguhnya apabila kamu berkata, adakah dia di sana? Maka jika tiada, kamu akan jawab: ‘Tiada.’ Sesungguhnya mereka adalah nama yang empat, maka jangan kamu tambah ke atasku.”
Riwayat Muslim (2137) Abu Daud (4958) al-Tirmizi (2836) dan Ahmad (20078)
Dr Aidh al-Qarni berkata: Makna hadis ini adalah apabila kamu menamakan dengan nama-nama ini, sebagai contoh, kamu kata, adakah di rumah terdapat Yasar (memberi maksud mudah), lantas dijawab: ‘Tiada.’ Maka di situ, boleh membawa kepada maksud berlaku kesusahan atau kesukaran. Atau kamu tanya, adakah Rabah (memberi maksud keuntungan) ada di rumah? Lalu dijawab: ‘Tiada,’ maka bertukarlah tempat rabah (keuntungan) kepada kerugian. Begitulah juga yang seumpamanya. (Lihat Mulhim al-‘Alam, hlm. 166-167)
Berkenaan nama yang dicadangkan Aus Asytar adalah mungkin merujuk kepada qabilah Aus dari golongan Ansar Madinah dan Asytar pada asalnya memberi maksud amat bijak atau cerdik. Ia juga merujuk kepada sebuah negeri yang terletak di Iran. Begitu juga, kemungkinan ia dinisbahkan kepada seorang yang bernama Malik bin al-Haris al-Nakhaie yang digelar dengan al-Asytar. Meninggal dunia pada tahun 37 Hijrah.
Beliau seorang pahlawan Arab yang pemberani. al-Imam Mizzi berkata diriwayatkan daripada Abdullah bin Salamah, katanya, “Kami masuk bertemu Umar ibn al-Khattab bersama sejumlah rombongan Mazhaj,” Saidina Umar lantas memandang kepada al-Asytar sedangkan dia memalingkan pandangannya ke lain.
Lantas, Umar berkata kepadaku, “Adakah di kalangan kamu orang ini?” Jawabku, “Ya,” Kata Saidina Umar, “Kenapa dia, semoga Allah binasakannya. Cukuplah Allah memelihara umat Muhammad dari kejahatannya. Demi Allah, sesungguhnya aku akan dikira dan dihitung terhadap orang-orang Islam pada hari yang amat sukar. ”
Gelaran Asytar kerana beliau telah dipukul dalam peperangan Yarmuk oleh seorang lelaki pada kepalanya sehingga keluar darah yang bernanah sampai ke matanya. Ini menyebabkan kelopak matanya jatuh. Beliau adalah orang yang hampir dengan Saidina Ali. Dalam peperangan al-Jamal beliaulah yang menetang Abdullah bin al-Zubair bin al-Awwam.
Saidina Ali pernah melantiknya menjadi gabenor di Mesir. Itulah serba sedikit kisahnya. Justeru, saya katakan, mengikut apa yang anda maksudkan dan niatkan dengan makna cerdik sahaja tanpa menisbahkan kepada mana-mana orang. Semoga anak tuan menjadi seorang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H