#1919: Pembahagian Barang Kemas Pusaka Secara Sama Rata

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum difaraidhkan barang kemas si mati secara sama rata dengan persetujuan tanpa dinilai mengikut harga emas semasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”                

Surah al-Nisa’ (7)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Begitu juga hadith-hadith Nabi SAW berkenaan isu ini. Antaranya ialah, Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (3/284-286), antara lain menyebut: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan.

Menjawab persoalan di atas, kami tegaskan bahawa apa yang Allah putuskan sudah tentu mempunyai hikmah tersendiri. Terkadang-kadang tercapai oleh akal kita dan kadang-kadang di luar jangkauan akal kita. Justeru, amat perlu seseorang memahami apa yang telah diputuskan oleh Allah. Seafdalnya dan sewajarnya bahagikanlah harta pusaka mengikut hukum faraidh. Kecualilah semuanya redha.

Antara cara yang terbaik ialah, sebelum membahagikan secara sama rata, hendaklah dilakukan secara faraid terlebih dahulu, dan kemudian masing-masing berhak untuk tanazul atau mengurangkan haknya dengan pembahagian secara sama rata. Ini kerana selepas dimiliki, maka menjadi milik sepenuhnya oleh seseorang itu. Justeru, berhaklah ia untuk bertindak membahagikan kepada kaum keluarganya yang lain.

Justeru, terjawablah sudah soalan di atas, sama ada dikira nilai mengikut harga semasa atau tidak, yang penting mendapat keredhaan dan kerelaan semua pihak. Kmai akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H