#1925: Was-was Dalam Ganti Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekarang saya macam ada sedikit penyakit was was. Lepas tu, tiba-tiba saya terfikir, “Aku ni dah ganti ke puasa masa tingkatan 1 dahulu.” Padahal sekarang saya dah 25. Dan selama ini saya tidak pernah terfikir benda ini. 

Bila saya fikir balik, dulu saya sekolah agama. Walaupun saya ini tidaklah baik sangat tetapi macam tidak logik saya tidak ganti puasa. Adakah ini hanya permainan syaitan? Apa patut saya buat? Perlukah saya mengganti puasa sebulan dan membayar fidyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Saya mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‎﴿١﴾‏ مَلِكِ النَّاسِ ‎﴿٢﴾‏ إِلَٰهِ النَّاسِ ‎﴿٣﴾‏ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ‎﴿٥﴾‏ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ ‎﴿٦﴾‏

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia

Surah al-Nas (1-6)

Menjawab persoalan di atas, saya katakan hal ini telah kami jawab, antaranya di dalam artikel #764: Cara Atasi Was Was (https://maktabahalbakri.com/764-cara-atasi-was-was/).

Saya tegaskan di sini bahawa ini adalah permainan syaitan serta tipu dayanya yang cuba melemahkan kita daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

الشَّيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ ، فَإِذَا ذَكَرَ اللهَ خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ

Maksudnya: “Syaitan itu duduk bercangkung di atas hati manusia, apabila manusia menyebut nama Allah, dia (syaitan) akan mengundurkan diri dan apabila manusia lalai, dia (syaitan) akan membisikkan kejahatan.”

Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (35919), Abu Daud dalam al-Zuhd (337). Hadith ini isnadnya dinilai sahih oleh pengarang Takhrij Misykat al-Masabih (2221)

Al-Tibi menjelaskan: Lafaz ini merupakan majaz iaitu tipu daya syaitan dan bisikannya berjalan pada manusia sebagaimana darah berjalan pada salurannya. Syaitan ini sentiasa memperdayakan jiwa manusia, dan sentiasa meniupkan bisikan dan was-was pada hati dan jiwa manusia dengan menggunakan kemarahan dengan menggunakan darah (dalam diri manusia) dan menggunakan kekuatannya. Cara merawatnya adalah dengan lapar dan berpuasa kerana ianya dapat menghalang hawa nafsu dan juga syahwat yang merupakan senjata syaitan. Kekenyangan membawa kepada dosa, kekurangan iman dan juga gangguan fikiran. (Lihat al-Kasyif ‘an Haqa’iq al-Sunan, 2/521)

Justeru, janganlah anda layan fikiran berkenaan semasa tingkatan 1 anda sama ada tinggal atau tidak puasa. Ini kerana satu kaedah yang masyhur menyebut:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya: Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu)

Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan. (Lihat Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah, hlm. 45)

Yang penting teruskan istiqamah dengan melaksanakan sebaik mungkin fardhu yang ditaklifkan kepada anda. Di samping memperbanyakkan ibadat sunat. Semoga Allah SWT jauhkan kita dari sifat was-was dan terus istiqamah dengan ibadah serta keyakinan yang teguh kepada Allah SWT. Amin.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H