Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mempunyai masalah air mazi yang sukar atau lama untuk berhenti. Jika selepas terangsang. Walaupun melakukan hubungan di malam hari, air mazi akan keluar keesokannya sehingga melewati waktu subuh atau zohor – berjam-jam sehingga saya terpaksa memakai penutup getah bagi menakung air tersebut.
Soalan:
- Ada ketikanya saya pakai penutup kepala di bahagian kepala zakar, selepas solat saya sedari air mazi masih ada di takungan tersebut. Bagaimana sahnya solat setelah menyedari mazi keluar selepas solat?
- Bagaimanakah saya hendak melakukan ibadah seperti solat (bagi mengelak terlepas waktu solat) atau tawaf jika saya ada masalah ini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan 2 hadith iaitu:
- Hadith riwayat Saidina Ali R.anhu di mana beliau berkata:
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ صلى الله عليه وسلم أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku telah menceritakan perkara ini kepada Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Apabila kamu mendapati air mani yang keluar dari kemaluan kamu maka diwajibkan kepada kamu mandi.”
Riwayat Abi Daud (206)
Sehubungan dengan itu, air mazi menurut istilah fiqh pula adalah air jernih yang melekit keluar ketika timbulnya syahwat. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 36/315)
Manakala Imam al-Nawawi di dalam kitabnya menyatakan perbezaan antara mani dan mazi adalah, air mani keluar ketika kemuncak syahwat serta mengakibatkan kepenatan. Adapun mazi keluar ketika bersyahwat tidak mengakibatkan kepenatan. (Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 2/141)
- Sahl bin Hunaif berkata:
قَالَ كُنْتُ أَلْقَى مِنَ الْمَذْىِ شِدَّةً وَعَنَاءً فَكُنْتُ أُكْثِرُ مِنْهُ الْغُسْلَ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَقَالَ ” إِنَّمَا يُجْزِئُكَ مِنْ ذَلِكَ الْوُضُوءُ ” . فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ بِمَا يُصِيبُ ثَوْبِي مِنْهُ قَالَ ” يَكْفِيكَ أَنْ تَأْخُذَ كَفًّا مِنْ مَاءٍ فَتَنْضَحَ بِهِ ثَوْبَكَ حَيْثُ تَرَى أَنَّهُ أَصَابَ مِنْهُ
Maksudnya: “”Saya merasa letih dan susah kerana sering mandi disebabkan keluarnya mazi, lalu saya adukan hal itu kepada Rasulullah SAW, kemudian Baginda bersabda, “Cukuplah engkau dengan berwudhu.” Saya bertanya, Wahai Rasulullah, bagaimana dengan mazi yang terkena pada pakaian saya? Baginda menjawab, “Cukuplah engkau mengambil air sebanyak satu tapak tangan, lalu engkau siramkan pada pakaian yang engkau lihat pada bahagian yang terkena itu.”
Riwayat al-Tirmizi (115)
Kenyataan di atas jelaslah bahawa air mazi yang keluar wajib dibersihkan dengan air secukupnya. Kerana ia dianggap sebagai najis. Pakaian, tempat tidur yang terkena air mazi wajib dibersihkan dengan cara yang betul.
Berdasarkan hadith di atas, anda dikira sebagai seperti salis al-bau (kencing tak tus) hukumnya, sama. Kecuali mengikut hadith Sahl, ambillah sedikit air lalu renjis pada pakaian kamu di tempat terkenanya mazi. Anda berhak untuk solat selepas membasuh zakar anda serta berwudhuklah sebagaimana berwudhuk untuk solat, dan solatlah.
Justeru, kami katakan sekali lagi wajib segera menunaikan solat selepas berwudhu’ untuk mengurangkan hadas namun tidaklah memudaratkan solat jika dilewatkan solat tersebut disebabkan oleh maslahah seperti mendengar azan dan iqamah, menunggu jemaah yang lain bagi yang solat berjemaah, mencari kiblat, menuju ke masjid, mencari sutrah. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wudhu’ meskipun dalam tempoh tersebut menitis air kencing atau mazi.
Begitu juga, saya nasihatkan perlulah dibersihkan dahulu bahagian kemaluan dan kemudian ikhtiarkan dengan sesuatu yang boleh menutup bahagian kemaluan tersebut seperti membalutnya dengan kapas, ditutup dengan bandage, memakai pampers atau apa cara sekalipun agar titisan air kencing atau mazi itu dapat dihalang dari terus menitis atau keluar.
Semoga Allah SWT memberi afiyat kepada saudara dan istiqamah dalam melaksanakan ibadat. Amin.
Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H