Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya baru-baru ini travel ke Korea. Penerbangan saya bertolak pukul 2.30 pagi Malaysia. Di atas sana, bagaimana saya boleh tentukan waktu solat subuh dengan melihat langit? Boleh gambarkan secara grafik supaya mudah faham? Terima kasih ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Solat merupakan ibadah agung dalam agama Islam. Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal solat fardhu walau di mana berada dan keadaannya. Kewajipannya mesti ditunaikan dalam apa jua keadaan apabila mencukupi syarat wajib. Namun, agama memberikan ruang-ruang keringanan sekiranya berlaku kesukaran.
Sebagaimana firman Allah SWT:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”
Surah al-Baqarah (185)
Imam Jalaluddin al-Suyuti ketika menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa kalimah kesenangan itu merujuk kepada keringanan berbuka puasa, manakala yang dimaksudkan kesukaran itu adalah perbuatan musafir tersebut. Lalu beliau mendatangkan hadith daripada Mihjan bin Adra’. (Lihat al-Dur al-Mansur, 1/385)
Solat lima waktu sama Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak pada asalnya dilakukan pada waktunya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا
Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”
Surah Al-Nisa (103)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi menyebut bahawa Allah SWT menjadikan waktu solat itu ada waktu yang khusus untuk ditunaikan. Ini bermakna bahawa hukum Allah ini adalah kefardhuan yang mesti dilaksanakan dalam tempoh yang tertentu dengan segera yang mungkin. Antara hikmahnya ialah jika tiada tempoh waktu yang khusus maka manusia pasti tidak akan melakukannya ataupun melakukan dalam keadaan cuai dan leka. (Lihat Tafsir Al-Maraghi, 5/143-144)
Waktu Solat Lima Waktu
Daripada Abdullah bin Amr RA, Rasulullah SAW bersabda:
وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغِبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ.
Maksudnya: “Waktu solat zuhur adalah jika matahari telah tergelincir dan bayangan seseorang seperti panjangnya selagimana belum tibanya waktu solat Asar. Waktu solat Asar selagimana matahari belum menguning. Waktu solat maghrib selagimanwa warna merah (syafaq) belum menghilang. Waktu solat isya` sehingga tengah malam, dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar selagimana matahari belum terbit, jika matahari terbit, maka tahanlah daripada melakukan solat, kerana ia terbit di antara dua tanduk syaitan.”
Riwayat Muslim (612)
Menentukan Waktu Solat dalam Penerbangan
Musafir dengan kapal terbang pada masa kini mempunyai suasana khususnya yang tersendiri dan sering menimbulkan pertanyaan kepada mereka yang mencari dan menentukan bilakah mula dan berakhirnya sesuatu waktu solat itu.
Walaubagaimanapun suasana musafir sebegini bukan alasan untuk dijadikan faktor keuzuran untuk tidak berusaha mencari dan menentukan waktu solat. Hal ini kerana setiap penerbangan itu tetap tertakluk kepada suasana siang dan malam dan tetap berada di bawah pancaran sinar matahari, sama ada bayangan atau cebisan cahayanya. Maka, oleh itu adalah tetap wajib bagi setiap muslim yang sedang bermusafir dalam penerbangan, mencari dan menentukan waktu solatnya.
Berdasarkan persoalan di atas, antara perkara yang boleh menjadi rujukan dalam penentuan waktu solat ialah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berkenaan waktu solat. Jika perjalanan tersebut pada waktu malam sehingga melangkaui waktu siang, waktu untuk solat subuh boleh diketahui melalui terbitnya fajar dengan kemunculan cahaya semasa keberadaan seseorang itu di dalam kapal terbang.
Saya juga mengesyorkan agar saudara merujuk kepada alat bantuan moden seperti jam al-Fajr atau yang mempunyai waktu solat dari pelbagai jenis. Begitu juga, dengan bertanyakan kepada pramugara dan pramugari mengikut waktu tempatan. InsyaAllah, mereka boleh membantu berdasarkan pengalaman ketika menaiki kapal terbang. Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
Surah Ibrahim (40)
Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H