#1928: Hutang Perlu Ditolak Dalam Taksiran Zakat?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hutang perlu ditolak dalam taksiran zakat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat.”

Surah al-Baqarah (43)

Oleh kerana perintah mendirikan solat adalah wajib, begitu juga menunaikan zakat adalah wajib. Ini kerana perintah dan arahan menunaikan zakat dengan sighah fi’il amar atau suruhan. Perintah mengeluarkan zakat disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran pada 23 tempat.

Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda kepada Mu’az R.A ketika Baginda mengutusnya ke Yaman:

فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لِذَلِكَ فَأَعْلِمْهُمْ أَنَّ اللهَ افْتَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ فِي فُقَرَائِهِمْ

Maksudnya: “Jika mereka mematuhi perkara itu, beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan solat ke atas mereka lima waktu sehari semalam. Jika mereka mematuhi perkara itu zakat ke atas mereka yang diambil daripada orang kaya lalu diagihkan-agihkan kepada orang fakir di kalangan mereka.”

Riwayat Muslim (130)

Dr Yusuf al-Qaradawi telah menegaskan bahawa di antara syarat wajib zakat hendaklah lebih daripada keperluan asas, maka lazim daripada itu nisab zakat hendaklah bebas daripada hutang. Jikalau pemilik harta zakat menanggung hutang melebihi nisab atau mengurangkan kadar nisab zakat, maka zakat ketika itu tidaklah diwajibkan lagi ke atasnya.

Namun begitu, sebenarnya para fuqaha’ berbeza pendapat berhubung dengan perkara di atas, khususnya yang berkaitan dengan hutang harta- harta zahir. Justeru, perbezaan itu adalah berpunca daripada perbezaan pandangan mereka terhadap kedudukan zakat tersebut, apakah ia suatu ibadat atau hak yang ditetapkan ke atas harta untuk orang-orang miskin.

Menurut Ibn Rusyd, mereka yang berpendapat bahawa zakat itu hak fuqara’ (orang-orang fakir) dan masakin (orang-orang miskin) mengatakan tidak wajib zakat ke atas harta mereka yang menanggung hutang, kerana hak tuan hutang perlu diutamakan ke atas hak orang miskin, sedangkan sebenarnya harta yang ada di tangannya itu adalah harta si tuan hutang bukan hartanya lagi. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, hlm. 238.)

Sementara mereka yang berpendapat zakat itu suatu ibadat berkata: Zakat diwajibkan ke atas mereka yang memiliki harta. Justeru itulah syarat taklif dan petanda yang menunjukkan wajib zakat ke atas orang yang mukallaf, sama ada ia menanggung hutang atau tidak. Apatah lagi di sana terdapat pertembungan dua hak iaitu hak Allah dan hak anak Adam, sedangkan hak Allah lebih perlu ditunaikan. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, hlm. 238)

Berikut adalah pendapat fuqaha’ mazhab terhadap pengaruh hutang ke atas zakat:

Mazhab Syafi’i Ada tiga pendapat:

  • Pertama: Qaul Jadid berpendapat bahawa hutang tidak menghalang kewajiban zakat dan tidak boleh ditolak daripada taksiran zakat. 
  • Kedua: Qaul Qadim berpendapat hutang menghalang daripada kewajiban zakat tanpa membezakan di antara harta zahir dan batin.
  • Ketiga: Ulama’ Syafi’iyyah dari kalangan ulama’  Kharasan berpendapat bahawa hutang menghalang wajib zakat pada harta-harta batin sahaja.” 

Tarjih

Pendapat yang rajih dalam mazhab Syafi’i ialah Qaul Jadid iaitu hutang tidak menghalang atau menggugurkan kewajiban berzakat atau mengurangkan nisab zakat, sama ada hutang itu tunai mahupun bertangguh, daripada jenis harta yang berada di tangan al-madin atau tidak, daripada hutang yang berkaitan dengan hak Allah seperti zakat, kaffarah dan nazar atau yang berkaitan dengan manusia. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/411)

Alasannya kerana dalil-dalil wajib zakat adalah umum tanpa membezakan antara orang yang berhutang atau tidak, yang pentingnya apabila harta yang ditangan mereka itu cukup nisab. Lagipun sebab wajib zakat itu memiliki harta yang cukup nisab dan ia ada di tangan pemiliknya. Adapun hutang ke atasnya itu adalah berkaitan dengan tanggungannya (zimmahnya) bukan dengan harta yang dia milikinya kerana itulah ia bebas bertindak ke atas hartanya itu. Dalam pada itu, hutang juga tidak menghalang kewajiban al-‘Usyr (zakat) pada harta tanaman ke atas pemiliknya, maka demikianlah hutang yang ada pada zimmah tidak menghalang kewajiban berzakat ke atas harta orang yang berhutang.

Kesimpulan

Kami katakan sekali lagi bahawa kami lebih cenderung kepada pendapat qaul jadid dalam mazhab Syafi’i. Walaupun begitu, dalam situasi keadaan seseorang yang sukar untuk meneruskan kesinambungan kehidupan, maka perlu diambil kira penolakan hutang. Justeru, ditolak hutang tersebut sebelum dibayar zakat iaitu hutang segera yang mesti dilangsaikan dan bukan hutang bertangguh.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H