Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon Dato’ Seri berikan pencerahan kepada umum berkaitan melabelkan para suami yang mengizinkan isteri mereka bersalin dengan doktor lelaki sebagai suami yang dayus.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Pada asalnya, bidan adalah perempuan sebagai mana yang disebut dalam bahasa Arab sebagai qabilah atau qawabil. Kemudian, mutakhir ini dengan perubahan zaman apabila wanita bersalin, hampir kebanyakannya di hospital, maka timbullah isu doktor atau bidan dari kalangan lelaki.
Hal ini terutamanya di hospital-hospital kerajaan. Bahkan juga di hospital atau klinik swasta, kecuali beberapa klinik yang mengendalikan rawatan bersalin yang semua bidannya dari kalangan wanita. Antaranya, Hospital Andorra (Hospital Wanita dan Kanak-Kanak).
Umumnya, Islam sangat menitikberatkan soal penjagaan aurat, bukan sahaja di dalam solat, bahkan juga di luar solat yang melibatkan interaksi sesama manusia dalam kehidupan seharian. Firman Allah SWT:
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”
Surah al-Nur (30)
Ayat di atas merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka. Begitu juga memelihara kemaluan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT seperti zina, liwat, mendedahkan aurat dan lain-lain. Demikian itu adalah lebih suci bagi mereka. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 353.)
Aurat dari segi syarak bermaksud semua anggota yang wajib ditutup atau yang haram dilihat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124.) Oleh itu, syarak tidak membenarkan orang lelaki untuk melihat kepada aurat wanita ajnabi — atau sebaliknya — melainkan terdapat suatu keperluan dan darurah (keperluan mendesak) untuknya. Antara bentuk pengecualian ialah rawatan al-fasdu (venesection, venipuncture, phlebotomy), berbekam, dan rawatan am. Ini kerana jika diharamkan akan mendatangkan haraj — yakni kesukaran — sedangkan haraj dihilangkan oleh syarak. Justeru, boleh bagi seorang lelaki merawat wanita dan wanita merawat lelaki. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/50) Selain itu, perkara ini juga bertepatan dengan kaedah:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَات
Maksudnya: “Mudarat mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Qawaid wa al-Dhawabit al-Fiqhiyyah al-Mutadhamminah li al-Taisir, 1/287)
Tiada khilaf dalam kalangan ulama berkenaan keharusan seorang doktor melihat aurat pesakitnya ketika merawat, sekiranya ada keperluan mendesak sebagaimana syarat-syarat yang telah digariskan oleh syarak seperti ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (dipercayai), tidak boleh berdua-duaan yang berlainan jantina antara pesakit dan perawat, dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, kaedah ini juga mestilah diikat dengan kaedah lain yang menyatakan bahawa:
الضَّرُورَات تُقَدَّرُ بِقَدْرِهَا
Maksudnya: “Mudarat (hanya diambil) cukup sekadar yang perlu sahaja.” (Lihat Mausu‘ah al-Qawaid al-Fiqhiyyah, 6/264)
Dapat difahami daripada kaedah di atas, seorang doktor hanya boleh melihat aurat pesakitnya, memegang atau lain-lain perkara, hanyalah ketika adanya keperluan mendesak, bagi tujuan merawatnya dan menolak kemudaratan. Perbuatan tersebut hanya dibenarkan setakat yang perlu sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu. Contohnya, sekiranya bagi merawat pesakit cukup dengan hanya mendedahkan pehanya, maka tidak boleh membuka auratnya sehingga lebih daripada itu atau sekiranya cukup dapat dikenalpasti sakitnya hanya dengan memegangnya secara berlapik, maka tidak boleh memegangnya tanpa berlapik dan lain-lain.
Termasuk juga dalam perkara ini adalah mengutamakan doktor lelaki bagi pesakit lelaki, doktor perempuan bagi pesakit perempuan kerana ini lebih selamat dan jauh daripada fitnah. Manakala ketika perlu melihat kepada aurat pesakit perempuan utamakan dahulu doktor perempuan Muslim, kemudian barulah doktor perempuan bukan Muslim, kemudian doktor lelaki Muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki bukan Muslim. Jika tiada keperluan dan cukup hanya dengan doktor perempuan Muslim — yakni yang bukan pakar — maka tidak boleh sama sekali menyingkap aurat pesakit perempuan tadi di hadapan doktor lelaki sekalipun dia adalah doktor pakar — yakni bagi sakit berkenaan.
Kami noktahkan di sini beberapa isu:
- Kepakaran ada pada doktor lelaki dan tiada pada wanita di satu-satu hospital dalam bidang gynaecology. Sedangkan ketika itu kelahiran bukan bersifat biasa tetapi mempunyai risiko dan implikasi. Kami katakan hendaklah melihat kepada maslahat yang lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa ibu dan anak daripada membiarkan kepada bukan pakar untuk mengendalikannya. Ini termasuk kaedah:
ارْتِكَابِ أَخَفِّ الضَّرَرَيْنِ
Maksudnya: “Mengambil yang lebih ringan di antara dua kemudharatan”
- Waktu tugasan perawat atau doktor di hospital biasanya mengikut syif. Memaksa mereka untuk mengendalikan isu kelahiran isteri kita adalah kurang manis dan bukan berdasarkan prinsip kerajaan. Hal seperti ini perlu diambil kira.
- Mereka yang merawat wanita terutamanya dalam mengendalikan hal yang sensitif atau tempat-tempat yang sulit biasanya mempunyai etika dan garis panduan yang mesti dipatuhi. Hal ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya.
- Antara kod etika tersebut ialah Kod Etika dan Tatakelakuan, Kementerian Kesihatan Malaysia, yang telah termaktub dan wajib dipatuhi oleh semua doktor dan kakitangan perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Dan sebarang pelanggaran terhadap panduan dan kod etika ini, mereka boleh dikenakan tindakan disiplin dan tatatertib.
- Para doktor dan pegawai kesihatan juga terikat dengan Akta Perubatan 1971 yang mana salah satu fungsinya menentukan dan mengawal perilaku dan tata etika pengamal perubatan yang berdaftar.
Dalam isu ini, al-Bulqini berpendapat diutamakan doktor perempuan Muslim bagi merawat pesakit perempuan, kemudian doktor perempuan kafir, kemudian mahramnya yang Muslim, kemudian mahramnya yang kafir, kemudian barulah doktor lelaki Muslim dan akhir sekali barulah doktor lelaki kafir. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 12/137)
Selain itu, al-Lajnah al-Daimah juga pernah ditanya berkenaan bolehkah seorang perempuan pergi mendapatkan rawatan daripada seorang doktor lelaki pakar sakit puan yang beragama Kristian? Mereka menjawab, bagi seorang pesakit perempuan sepatutnya ialah mendapatkan rawatan daripada doktor wanita pakar sakit puan yang beragama Islam. Sekiranya tiada, barulah boleh beralih kepada doktor wanita Kristian. Sekiranya tiada juga dan keadaan mendesak bagi mendapatkan rawatan boleh pergi mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki Muslim dengan syarat bersamanya mahram. Sekiranya tiada juga barulah boleh mendapatkan rawatan daripada doktor lelaki Kristian. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 17/260)
Mantan Mufti Besar Arab Saudi, Ibn Baz juga pernah ditanya berkenaan yang manakah patut didahulukan antara doktor wanita kafir dengan doktor lelaki Muslim sekiranya pesakit seorang wanita? Beliau menjawab dengan berpendapat bahawa doktor wanita kafir lebih didahulukan berbanding doktor lelaki Muslim kerana ia melibatkan aurat wanita dan ini lebih selamat. Secara peringkatnya (jika pesakit seorang wanita), dahulukan doktor wanita Muslimah, kemudian doktor wanita kafir, kemudian doktor lelaki Muslim dan barulah doktor lelaki kafir sekiranya perlu — yakni adanya keperluan mendesak. Seboleh-bolehnya elakkan daripada mendapatkan khidmat doktor-doktor kafir, sebaliknya dahulukan khidmat daripada doktor-doktor Muslim. Akan tetapi tidak mengapa menggunakan khidmat doktor-doktor kafir jika ada keperluan mendesak serta kekurangan doktor-doktor Muslim dan Muslimah dengan syarat mereka tidak memudaratkan orang Islam dan mengajak kepada agama mereka.
Akhir kalam, saya teringat satu kisah yang berlaku pada zaman Imam al-Akbar Syeikh al-Maraghi yang menjadi Syeikhul Azhar sekitar 1930-an di mana beliau mempunyai seorang sahabat yang juga ulama Azhar. Beliau terkenal dengan syadidnya (ketegasan yang melampau). Satu hari isterinya ingin bersalin di hospital dan didapati yang merawatnya doktor lelaki.
Maka, ulama tersebut selesai sahaja bersalin telah menceraikan isterinya. Hal ini tidak disenangi oleh Syeikh al-Maraghi dengan berhujahkan nyawa dan keselamatan isteri jauh lebih penting. Alhamdulillah, selepas sekian lama, akhirnya syeikh tersebut telah tersedar dari kesilapannya dan merujuk kembali kepada isterinya serta menerima pandangan Syeikh al-Maraghi yang terkenal dengan jauhnya pandangan.
Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan dengan sebaik mungkin. Kami kahiri dengan doa agar keluarga kita sentiasa dikurniakan kebahagian.
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H