#193: Minum Semasa Khutbah

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum jika seorang jemaah yang dahaga, meminum air ketika khatib masih sedang menyampaikan khutbah Jumaat? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara umumnya, salah satu perkara yang menjadikan seseorang itu dianggap lagha dalam solat jumaatnya adalah sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan.

Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.”

Riwayat Muslim (857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Hukum Minum ketika Khutbah

Dalam menjawab persoalan ini, kami nyatakan seperti berikut:

Pada asasnya, terdapat beberapa hadis yang menunjukkan larangan terhadap perkataan dan perbuatan yang menyebabkan hilangnya fokus dalam mendengar khutbah Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: “Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha.”

Riwayat al-Bukhari (934)

Begitu juga sebuah hadis yang turut diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang bermain-main dengan batu kecil (semasa khutbah Jumaat) sesungguhnya dia telah lagha.”

Riwayat Muslim (857)

Kedua-dua hadis di atas ini merupakan larangan ke atas dua perkara semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung. Iaitu larangan berkata-kata dan juga larangan bermain batu kecil semasa khutbah. Dapatlah kita fahami hikmah larangan tersebut adalah kerana keduanya mengganggu seseorang itu untuk mendengar khutbah yang sedang disampaikan.

Berikut kami sertakan beberapa pendapat yang disebutkan oleh para ulama berkenaan maksud lagha yang terdapat dalam kedua hadis di atas. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Ada pendapat yang menyatakan lagha bermaksud: Batal fadhilat Jumaat kamu. Manakala pendapat lain menyebut: Jumaat kamu berubah menjadi zohor. (Lihat Fath Al-Bari, 2/414).

Meskipun para ulama berbeza pendapat akan kesan ancaman lagha tersebut terhadap implikasi hukum, dalam erti kata sebahagian fuqaha mazhab menyatakan hukum bagi kedua perbuatan itu (bercakap dan bermain batu kecil semasa khutbah) adalah makruh manakala pendapat fuqaha mazhab yang lain menyatakan keduanya adalah haram. Namun apa yang pasti ianya adalah perbuatan yang dilarang, kerana mengganggu tumpuan dalam mendengar khutbah Jumaat yang sedang disampaikan.

Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, kami nukilkan kata-kata Imam al-Nawawi yang menyebut:

يُسْتَحَبُّ لِلْقَوْمِ أَنْ يُقْبِلُوا عَلَى الْخَطِيبِ مُسْتَمِعِينَ وَلَا يَشْتَغِلُوا بِغَيْرِهِ حَتَّى قَالَ أَصْحَابُنَا يُكْرَهُ لَهُمْ شُرْبُ الْمَاءِ لِلتَّلَذُّذِ ولا بأس يشربه لِلْعَطَشِ لِلْقَوْمِ وَالْخَطِيبِ

Maksudnya: Disunatkan kepada kaum (orang ramai) untuk menghadap ke arah khatib dalam keadaan mendengar (khutbah yang disampaikan) dan tidaklah mereka itu sibuk dengan perkara lain. Sehinggakan para ashab kami telah berkata: Dimakruhkan bagi kaum (para jemaah) untuk meminum air bagi tujuan talazzuz (bersedap-sedap), tetapi tidak mengapa untuk jemaah dan juga khatib untuk meminum air sekiranya disebabkan dahaga. (Lihat al-Majmu’, 4/529).

Demikian juga disebutkan oleh Imam al-Syafi’i: Sekiranya seseorang lelaki itu dahaga (semasa khutbah Jumaat) maka tidak mengapa untuk dia meminum air dalam keadaan imam sedang berada di atas mimbar. Namun sekiranya dia tidak dahaga, tetapi hanya untuk bersedap-sedap dengan minuman itu, maka yang lebih aku sukai adalah dia menahan dirinya dari melakukan perbuatan tersebut. (Lihat al-Umm, 1/234).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perbuatan minum ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung sama ada yang meminum itu adalah jemaah mahupun khatib, perlu dilihat kepada keperluan peminum tersebut. Sekiranya ada hajat dan bertujuan menghilangkan dahaga serta kehausan, maka hukumnya adalah dibolehkan.

Seafdhalnya, air minuman diletakkan berhampiran dengan tempat duduk semasa khutbah. Ini supaya jika berlaku keperluan untuk meminum air, maka tidak perlu untuk seseorang itu berjalan jauh sehingga kadangkala menyebabkan gangguan kepada para jemaah yang lain.

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H