Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, apakah hukum bekerja di kedai pakaian yang menjual pakaian yang tidak menutup aurat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pada asalnya, bekerja di kedai menjual pakaian adalah harus berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ
Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”
Imam al-Syafi‘i mengatakan bahawa asal kepada semua jenis jualan adalah harus jika ia dilakukan dengan redha kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) pada apa yang mere berdua jual belikan, kecuali jenis jualan yang dilarang oleh Rasulullah SAW. (Lihat al-Umm, 3/3)
Hukum keharusan ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا ۚ
Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, kami membahagikan keadaan pekerja di kedai pakaian tersebut kepada 3 keadaan:
Keadaan Pertama: Sekiranya penjual mengetahui atau mempunyai sangkaan kuat bahawa pakaian ini akan digunakan dengan cara yang dibenarkan, dan tidak akan digunakan dengan cara yang dilarang, maka tidak ada salahnya bekerja di kedai pakaian ini. Ini berdasarkan dalil-dalil yang telah kami sebutkan di atas.
Keadaan Kedua: Sekiranya penjual mengetahui atau mempunyai sangkaan kuat bahawa pakaian ini akan digunakan dengan cara yang haram, iaitu ia akan dipakai oleh wanita dan berhias dengannya di hadapan lelaki bukan mahram, maka bekerja di kedai pakaian ini adalah haram.
Hal ini kerana Allah SWT melarang tolong-menolong pada perkara yang boleh membawa kepada perbuatan yang dilarang oleh-Nya. Firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Kaedah usul fiqh Sadd al-Zari‘ah (سَدُّ الذَّرِيعَةِ) boleh digunakan di sini sebagai langkah pencegahan untuk menutup pintu-pintu yang akan membawa kepada kemudharatan yang lebih besar. Sebagai contoh, pakaian mencolok mata yang diketahui akan digunakan di khalayak umum seperti leggings dan seluar jeans paras paha, sekiranya wanita membelinya dan memakainya berkemungkinan akan memikat lelaki bukan mahram dan menyebabkan mereka terjerumus ke kancah zina. Sedangkan Allah SWT telah melarang mendekati zina seperti dalam firmannya:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Surah al-Isra’: 32)
Keadaan Ketiga: Sekiranya penjual merasa sangsi dan ragu-ragu sama ada pakaian ini akan digunakan dengan cara yang dibenarkan atau dilarang, kerana pakaian itu sesuai untuk kedua-dua kegunaan, dan tidak ada bukti yang memberatkan salah satu daripada dua kemungkinan ini, maka bekerja di kedai pakaian ini tidak dilarang. Ini kerana kaedah asal bagi suatu jualan adalah diharuskan dan tidaklah dilarang seperti yang kami nyatakan di atas.
Hal ini kerana Allah SWT tidak akan menghukum hambanya melainkan atas apa yang mereka kerjakan, dan bukanlah atas apa yang orang lain kerjakan. Firman Allah SWT:
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”
(Surah al-Najm: 39)
Fatawa al-Lajnah al-Da’imah ada menyebutkan bahawa tidak boleh menjual pakaian jika peniaga mengetahui bahawa sesiapa yang membelinya akan menggunakannya untuk apa yang diharamkan Allah SWT, kerana itu adalah tolong-menolong dalam dosa dan maksiat. Tetapi jika dia mengetahui bahawa pembeli akan menghiasi diri dengannya untuk suaminya, atau penjual tidak mengetahu apa yang akan dilakukan dengan pakaian tersebut, maka dibolehkan baginya untuk menjual pakaian tersebut. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 13/67)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan bahawa setiap pakaian yang dengan sangkaan kuat akan digunakan untuk berbuat dosa, maka tidak boleh dijual atau dijahitkan kepada mereka yang akan menggunakannya untuk berbuat dosa dan zalim. (Lihat Syarh ‘Umdah al-Fiqh, hlm. 386)
Imam al-Syaukani menyebutkan, segala sesuatu yang berkaitan dengan kemaslahatan yang dibolehkan oleh syarak, maka hukum menjualnya adalah dibenarkan. Dan segala sesuatu yang tidak ada manfaatnya, atau manfaat itu tidak dibenarkan, maka menjualnya tidak boleh kerana menjual perkara yang haram adalah dilarang. (Lihat al-Sail al-Jarrar al-Mutadaffiq ‘ala Hada’iq al-Azhar, hlm. 485)
Kesimpulan
Selepas meneliti perbincangan di atas, terdapat dua hukum yang terkait dengan pekerjaan di kedai menjual pakaian yang tidak menutup aurat.
Jika diketahui dengan pasti bahawa pakaian yang dijual itu akan digunakan untuk tatapan umum, dan dengan sengaja memakainya untuk menaikkan syahwat mereka yang melihatnya serta tertarik dengan bentuk tubuhnya, maka hukum bekerja di kedai tersebut adalah haram.
Jika tiada kepastian sama ada pakaian tersebut akan digunakan dengan cara yang dilarang atau dengan cara yang dibenarkan, maka diboehkan bekerja di kedai tersebut.
Kami menasihatkan, sebaiknya jika diketahui kedai tersebut menjual pakaian yang tidak menutup aurat, maka tinggalkanlah dan carilah pekerjaan yang tidak mempunyai syak wasangka pada keharusannya menurut syara‘. Nescaya Allah SWT akan menggantikannya dengan pekerjaan yang lebih baik dan diberkati.
Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah dan Abu al-Dahma’, kata mereka bahawa seorang Badawi telah datang dan mengatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadanya apa yang telah diilhamkan oleh Allah SWT, seraya Baginda bersabda:
إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا اتِّقَاءَ اللهِ إِلَّا أَعْطَاكَ اللهُ خَيْرًا مِنْهُ
Maksudnya: “Sesunguhnya kau tidak meninggalkan sesuatu kerana takutkan Allah, melainkan akan Allah berikan (sebagai ganti) sesuatu yang lebih baik dari sebelumnya.”
Hadith riwayat Ahmad (20738)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H