#195: Sendawa Ketika Solat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang sendawa ketika melakukan solat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji (1/306) menyebut: Secara mutlaq (على الإطلاق), solat merupakan ibadah badaniyah yang paling utama. Ini berdasarkan peristiwa seorang lelaki telah bertanya Nabi SAW tentang amalan yang afdhal. Nabi SAW bersabda:

الصَّلاَةُ، قَالَ: ثُمَّ مَهْ؟ قَالَ: ثُمَّ الصَّلاَةُ، قَالَ: ثُمَّ مَهْ ؟ قَالَ الصَّلاَةُ، ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: “Solat. Dia terus bertanya: Kemudian apa pula? Nabi bersabda: “Kemudian solat. Dia bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda bersabda: Solat. Baginda telah mengulangi jawapan ‘solat’ sebanyak tiga kali.”

Riwayat Ibn Hibban (258). [1]

Pada asasnya, antara perkara yang membatalkan solat ialah: Berdehem, tertawa, menangis dan mengerang jika terkeluar dengan jelas bunyi dua huruf daripada setiap perbuatan tersebut. Ukuran yang membatalkan solat bagi empat perkara tersebut adalah apabila berlaku dengan sengaja hingga ternyata bunyi dua huruf walaupun tidak difahami. Tetapi solat tidak batal sekiranya perkara itu sedikit sahaja dan hanya terdengar satu huruf atau tiada apa-apa huruf yang terkeluar.

Begitu juga solat tidak batal apabila ia berlaku secara terdesak seperti terbatuk secara tiba-tiba atau tidak dapat menahan ketawa. Dalam hal ini, tersenyum tidak membatalkan solat. Sebaliknya zikir dan doa akan membatalkan solat apabila ditujukan kepada seseorang seperti menyebut (يَرحَمْكَ الله) yang bermaksud: “Semoga Allah merahmatimu” kerana ia dianggap percakapan sesama manusia yang tidak wajar dicampurkan dalam solat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/306 dan 427).

Selain itu, perlu juga menjaga adab semasa solat kerana semasa dia melakukan solat, sebenarnya dia sedang bermunajat dan berbicara dengan Allah SWT. Dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ فِي صَلاَتِهِ فَإِنَّهُ يُنَاجِي رَبَّهُ

Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu bangkit mengerjakan solat, maka dia sebenarnya sedang bermunajat kepada Tuhannya.”

Riwayat al-Bukhari (405)

Maksud Sendawa

Abu al-Abbas ‘Ali al-Fayyumi mendefinisikan sendawa sebagai: Suara berserta angin yang keluar dari mulut disebabkan kekenyangan. (Lihat al-Misbah al-Munir, 1/102). Manakala dalam kitab al-Tanwir, sendawa disebut sebagai: Angin yang keluar dari perut ketika ia penuh (kenyang). (Lihat al-Tanwir Syarah al-Jami’ al-Saghir,  8/152). Dalam istilah bahasa Melayu, sendawa bermaksud bunyi seperti meneguk yang keluar dari kerongkongan kerana kekenyangan dan lain-lain.[2]

Secara asasnya, sendawa itu sendiri merupakan satu perbuatan yang pernah ditegur oleh Rasulullah SAW. Tanpa mengira sama ada sendawa itu di dalam solat mahupun di luar solat. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata:

‎تَجَشَّأَ رَجُلٌ عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏‏ كُفَّ عَنَّا جُشَاءَكَ فَإِنَّ أَكْثَرَهُمْ شِبَعًا فِي الدُّنْيَا أَطْوَلُهُمْ جُوعًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Seorang lelaki sendawa di sisi Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda: Jauhilah sendawa kamu dari kami kerana sesungguhnya mereka yang paling banyak kenyangnya di dunia adalah mereka yang paling lapar pada hari kiamat.”

Riwayat al-Tirmizi (2478)

Imam al-Munawi apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Larangan sendawa merupakan larangan ke atas sebabnya iaitu kekenyangan yang berlebihan dan ia merupakan sesuatu yang tercela dari sudut perubatan dan juga syarak. (Lihat Faidh al-Qadir, 5/11).

Namun ini hanyalah merujuk kepada sendawa yang terhasil dari perbuatan makan secara berlebihan. Ia sebenarnya merupakan suatu perbuatan yang tidak baik kerana biasanya kekenyangan yang berlebihan akan membawa kepada perbuatan perbuatan negatif yang lain seperti malas dalam beribadat dan mendorong untuk melakukan maksiat.

Adapun sendawa yang terhasil bukan secara sengaja, seperti faktor badan berangin dan seumpamanya maka ini tidaklah menjadi suatu kesalahan. Namun di antara adab adalah seseorang itu tidak sendawa dengan sengaja di hadapan orang lain.

Sendawa Dalam Solat

Isu ini mempunyai perbahasannya yang tersendiri di sisi para fuqaha dari sudut adakah sendawa itu menyebabkan terbatalnya solat seseorang atau tidak.

Secara asasnya, sendawa tidaklah termasuk dalam perkara yang membatalkan solat seperti yang dijelaskan dalam beberapa riwayat yang sahih. Ini bermakna, tidak terdapat petunjuk syarak yang menyatakan bahawa sendawa itu menyebabkan solat pelakunya terbatal.

Namun, ada sebahagian fuqaha melakukan qiyas dengan mengatakan bahawa sekiranya di luar solat pun Rasulullah SAW menegah perbuatan sendawa maka apatah lagi di dalam solat.

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, sendawa tidaklah membatalkan solat. Namun ia adalah satu perbuatan yang kurang adab di dalam solat, bahkan boleh membawa kepada hukum makruh sekiranya menghasilkan bau-bauan yang mengganggu para jemaah.  Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H

[1] Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa isnad hadis ini hasan.

[2] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sendawa