#1950: Bekerja Sebagai Agen Insurans

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya ingin bertanya tentang satu kemusykilan mengenai kerja sebagai agent insurance, apakah hukumnya? Sebab ada yang kata haram, betulkah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu di antara kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya).”

(Surah al-Nisa’: 29)

Syeikh al-Sa‘di ketika membahaskan mengenai ayat ini, menyebutkan bahawa Allah melarang para hamba-Nya yang beriman daripada memakan harta-harta di antara mereka dengan cara yang batil. Hal ini merangkumi harta yang dirampas, dicuri dan dengan cara perjudian. Malah boleh jadi termasuk juga dalam hal ini memakan harta sendiri dengan sombong dan berlebih-lebihan, kerana hal itu adalah termasuk dalam perkara yang batil dan bukannya daripada perkara yang hak. Setelah itu, Allah membolehkan bagi mereka memakan harta dengan cara perniagaan dan pendapatan yang tidak terdapat padanya penghalang-penghalang, dan memenuhi syarat-syaratnya seperti saling meredhai dan sebagainya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/175).

Tambahan lagi, al-Maraghi menyatakan bahawa perkataan ‘batil’ bermaksud sia-sia. Namun, dari segi istilah agama pula ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau tanpa kerelaan pemiliknya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1168).

Begitu juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa maksud ‘memakan harta dengan cara batil’ ialah dengan pelbagai cara perolehan yang tidak syar‘i seperti riba, judi, rampasan dan menipu dalam timbangan jual beli. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 5/31).

Pertamanya, kami andaikan insurans di atas merujuk kepada insurans konvensional kerana kebiasaannya apabila dinyatakan agen insurans sahaja, maka ia merujuk kepada selain daripada agen takaful. Seterusnya, kami nyatakan terlebih dahulu definisi dan takrif insuran, konvensional dan takaful.

  • Insuran bermaksud satu bentuk pengurusan risiko bagi menjamin risiko kemungkinan kerugian kewangan.
  • Konvensional pula bermaksud amalan lazim yang bukan berasaskan sistem syariah Islam (non-syariah compliant).
  • Takaful bermaksud satu skim berdasarkan persaudaraan dan saling bantu membantu yang menyediakan pertolongan kewangan pada waktu yang diperlukan. (Akta Takaful Malaysia (1984), Seksyen 2) 

Justeru, dapat difahami di sini bahawa Takaful secara umumnya ialah insuran yang mengamalkan prinsip Islam, manakala insuran konvensional merupakan insuran yang tidak mematuhi undang-undang syariah yang merangkumi tiga elemen: Riba (unsur faedah), gharar (ketidakpastian) dan maisir (perjudian).

Oleh itu, jelaslah insurans konvensional hukumnya adalah haram. Hal ini selari dengan keputusan yang diputuskan oleh Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-16 yang bersidang pada 15-16 Feb 1979, di mana mereka telah membincangkan mengenai insurans. Persidangan telah memutuskan bahawa insuran nyawa sebagaimana yang dikendalikan oleh kebanyakan syarikat insuran yang ada pada hari ini adalah haram dan sebagai suatu muamalah yang fasad kerana aqadnya tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam iaitu:

  1.     Mengandungi gharar (ketidak-tentuan) 
  2.     Mengandungi unsur judi. 
  3.     Mengandungi muamalah riba.[1]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, hukum insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar (ketidak-tentuan) dan unsur judi. Oleh itu, apa-apa perkara yang membawa kepadanya juga dihukumkan sebagai haram seperti mempromosikan produknya dan seumpamanya. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

مَا أَدَّى إِلَى الْحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap yang membawa kepada haram, maka hukumnya juga adalah haram.

Begitu juga kaedah fiqh yang lain turut menyatakan: 

مَا حَرُمَ أَخْذُهُ حَرُمَ إِعْطَأُوهُ

Maksud: “Sesuatu yang haram untuk mengambilnya, maka diharamkan juga untuk memberinya.”

Dalam erti kata lain, kaedah di atas menjelaskan bahawa apa sahaja perkara yang diharamkan untuk diambil, maka memberikannya kepada orang lain juga hukumnya adalah diharamkan. Hal ini kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan.

Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Selain itu, perkara ini juga adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 – 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah. Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.[2]

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat seseorang Muslim dilarang untuk berkerja sebagai agen insurans konvensional kerana jelas insurans konvensional hukumnya adalah haram disebabkan oleh elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar (ketidak-tentuan) dan unsur judi. Maka, berkerja sebagai agen yang mempromosikannya juga turut dihukumkan sebagai haram kerana ia termasuk dalam perbuatan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.

Kami menasihatkan kepada orang Islam yang terlibat sebagai agen insurans konvensional untuk berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih suci pendapatannya dan lebih diredhai oleh Allah SWT. Pendirian ini sangat penting bagi mengelakkan tergolong dalam kalangan mereka yang disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai golongan yang tidak mengambil peduli daripada mana dia memperoleh harta.

Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتي على النّاسِ زَمانٌ، لا يُبالِي المَرْءُ ما أخَذَ منه، أمِنَ الحَلالِ أمْ مِنَ الحَرامِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak lagi mempedulikan daripada mana dia ambil; apakah daripada yang halal atau haram.

Riwayat al-Bukhari (2059)

Apatah lagi, kini terdapatnya alternatif lain dalam sektor pekerjaan yang sama iaitu sebagai agen takaful yang mempromosikan produk-produk takaful yang patuh syariah. Sekali gus lebih terjamin dari sudut kehalalan dan kesucian pendapatannya.

Walau bagaimanapun, jika yang dimaksudkan di dalam soalan di atas merujuk kepada pekerjaan sebagai agen insurans (takaful), maka bekerja sebagai agen takaful adalah diharuskan. Hal ini kerana takaful menjalankan konsep secara tolong-menolong serta pemberian wang secara sukarela (tabarru‘).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/artikel/148-menyertai-polisi-insurans-konvensional-halal-atau-haram. Diakses pada 15 Jun 2023.

[2] Lihat https://e-muamalat.islam.gov.my/en/bahan-ilmiah/artikel/148-menyertai-polisi-insurans-konvensional-halal-atau-haram. Diakses pada 15 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H