#1951: Membeli Pakaian yang Tidak Menutup Aurat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah dikira berdosa sekiranya wanita membeli pakaian yang tidak menutup aurat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُل لِّأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِن جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَن يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا ‎

Maksudnya: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah al-Ahzab: 59)

Allah SWT di dalam kedua ayat di atas memerintahkan para isteri-isteri Nabi SAW agar menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram dan apabila keluar daripada rumah. Meskipun ia ditujukan kepada isteri-isteri Baginda, akan tetapi maksudnya adalah umum kepada semua wanita agar menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram dan apabila keluar daripada rumah.

Membeli Pakaian yang Mendedahkan Aurat

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, sekiranya wanita tersebut membeli pakaian yang tidak menutup aurat dan memakainya hanya di rumah, maka ia tidak menjadi masalah. Ia juga diharuskan selagi mana wanita tersebut tidak memakainya di hadapan lelaki ajnabi.

Adapun sekiranya pakaian yang dibeli itu dengan tujuan memikat hati suami, maka ianya sangat digalakkan. Ini kerana kecantikan dan keindahan rupa paras isteri tidak lain hanyalah untuk suaminya sahaja.  Diriwayatkan daripada Zainab binti ‘Umar al-Khattab R.Anhuma katanya:

نَزَلَ بِي حَمَوِيٌّ ‌فَمَسِسْتُ ‌طِيبًا ثُمَّ خَرَجْتُ فَأَرْسَلَتْ إِلَيَّ حَفْصَةُ إِنَّمَا الطِّيبُ لِلْفِرَاشِ

Maksudnya: “Telah datang menziarahiku bapa mertuaku, lalu aku mengenakan wangian, kemudian aku pun keluar. Maka Hafsah mengutuskan seseorang kepadaku (lalu mengatakan): ‘Sesungguhnya wangian itu hanya untuk pemilik tempat tidur sahaja (yakni suami)’.”

Hadith riwayat Ibn Abi Syaibah (28026) dan Abdul Razzaq (8113)

Dan tidaklah Allah SWT menjadikan pasangan suami isteri itu melainkan agar mereka merasakan ketenangan dan kecintaan antara satu sama lain. Firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Bahkan niat seorang wanita yang membeli pakaian tersebut dengan tujuan mengeratkan kemesraan bersama suaminya akan dikurniakan ganjaran menurut syara‘, ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Zarr al-Ghifari R.A bahawa Rasulullah SAW ketika ditanya berkenaan orang yang mendatangi syahwatnya (menggauli isterinya) sama ada bagi mereka ganjaran, lalu Baginda SAW bersabda:

أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ؟ فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلَالِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Adakah kalian fikir jika dia melakukannya dengan cara yang dilarang, maka dia akan menanggung dosa? Jadi jika dia melakukannya secara halal, maka dia akan mendapat ganjaran.”

Hadith riwayat Muslim (1006)

Marilah kita merenung sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A katanya, Rasulullah SAW ditanya tentang wanita yang terbaik. Baginda SAW menjawab:

خَيْرُ النِّسَاءِ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ، وَتُطِيعُهُ إِذَا أَمَرَ، وَلَا تُخَالِفُهُ فِي نَفْسِهَا وَلَا مَالِهَا بِمَا يَكْرَهُ

Maksudnya: “Sebaik-baik wanita ialah yang menggembirakan suaminya apabila dilihat, dan mentaati suaminya apabila diperintah, dan tidak menyelisihi suaminya pada perkara yang tidak disukainya pada dirinya hartanya dalam perkara yang tidak disukainya.”

Hadith riwayat al-Nasa’ie (7421) dan Ahmad (3231)

Menjaga penampilan diri untuk suami juga dituntut agar hati menjadi lebih sayang. Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَخَلْتَ لَيْلًا، فَلَا تَدْخُلْ عَلَى أَهْلِكَ، حَتَّى تَسْتَحِدَّ الْمَغِيبَةَ، وَتَمْتَشِطَ الشُّعْثَةُ

Maksudnya: “Jika salah seorang di antara kamu pulang pada waktu malam, maka janganlah kamu mendatangi isteri kamu sehinggalah dia dapat mencukur bulu kemaluannya dan menyisir rambutnya yang kusut.”

Hadith riwayat al-Bukhari (5246) dan Muslim (715)

Syeikh Ahmad al-Qastalani menyebutkan satu faedah daripada hadith ini, kata beliau hadith ini adalah dalil makruh bagi seorang suami mendatangi isterinya dalam keadaan isterinya belum membersihkan diri. Hal yang demikian agar ia tidak menjadi punca terbitnya perasaan ingin menjauhkan diri daripada isteri. (Lihat Irsyad al-Sari li Syarh Sahih al-Bukhari, 8/123)

Manakala jika dia membeli pakaian tersebut dengan tujuan memperagakannya di hadapan lelaki yang bukan mahram atau keluar berjalan-jalan dengan pakaian tersebut, maka perbuatan ini adalah berdosa dan dilarang.

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”

(Surah al-Ahzab: 33)

Syeikh al-Si‘di berkata dalam tafsirnya mengenai ayat ini: “Janganlah kaum wanita banyak keluar rumah dengan bercantik-cantik dan berwangi-wangian sebagaimana orang jahiliyyah terdahulu, yang mereka tidak punya ilmu di sisi mereka dan tiddak pula agama. Ini semua bertujuan mencegah keburukan dan sebab-sebab yang menjadi factor keburukan.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 663)

Bahkan Nabi SAW mengancam wanita yang sengaja mendedahkan aurat dengan tidak dapat masuk syurga dan juga tidak mencium baunya. Ini berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda berkenaan 2 golongan wanita yang belum pernah Baginda SAW lihat:

وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٍ عَارِيَّاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٍ، رُؤُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ، لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ، وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi seakan-akan bertelanjang, yang berjalan dengan berlenggang lenggok (melentikkan tubuhnya), yang kepalanya terhuyung-hayang laksana kelana unta yang bergoyang-goyang, wanita-wanita itu tidak akan memasuki syurga, sedangkan bau syurga itu akan tercium dalam jarak sekian dan sekian.”

Hadith riwayat Muslim (2128)

Kesimpulan

Membeli dan memakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan tujuan yang dibenarkan oleh syara‘ adalah dibolehkan. Sebagai contoh, wanita yang memakai pakaian tersebut bagi tatapan suami.

Akan tetapi, jika wanita tersebut membeli dan memakai pakaian tersebut dengan tujuan yang tidak betul dan dilarang oleh syara‘, makan hukumnya adalah haram.

Akhir kata, hukum bagi sesuatu perbuatan tersebut kembali kepada niat asal pelakunya. Ini berdasarkan sebuah hadith yang masyhur riwayat ‘Umar bin al-Khattab R.A bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat.”

Hadith riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H