Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya, bolehkah kalau saya solat sorang-sorang di bilik, tetapi bacaan al-Fatihah dan surah saya baca kuat, tidak kira waktu solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Salahkah perbuatan saya itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, disunatkan bagi imam dan orang yang bersolat sendirian menyaringkan bacaan ketika solat Subuh, dua rakaat yang pertama solat Maghrib, Isyak, solat Jumaat, solat dua Hari Raya, solat Gerhana Bulan, solat Terawih dan solat Witir pada bulan Ramadhan, sementara solat yang lainnya sunat memperlahankan bacaan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/149). Terdapat banyak hadith yang menunjukkan bahawa Baginda SAW menyaringkan atau menguatkan suaranya ketika solat jahriyyah. Di antaranya, riwayat daripada Jubair bin Mut‘im R.A, beliau berkata:
سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ الـمَغْرِبَ بِالطُّوْرِ
Maksudnya: “Aku mendengar Rasulullah SAW membaca surah al-Tur ketika mendirikan solat Maghrib.”
Riwayat al-Bukhari (765) dan Muslim (463)
Seterusnya dalam hadith Ibn Abbas R.Anhuma tentang kehadiran jin yang mendengar al-Quran daripada Nabi SAW ada menyatakan:
وَهْوَ يُصَلِّى بِأَصْحَابِهِ صَلاَةَ الْفَجْرِ، فَلَمَّا سَمِعُوا الْقُرْآنَ اسْتَمَعُوا لَهُ
Maksudnya: “Baginda mendirikan solat Subuh bersama-sama para sahabatnya. Tatkala para sahabat mendengar al-Quran, jin-jin turut mendengarnya.”
Riwayat al-Bukhari (773) dan Muslim (449)
Manakala dalil memperlahankan bacaan pada tempat-tempatnya pula adalah berdasarkan hadith, daripada Khabbab R.A, seseorang bertanya kepadanya:
أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِى الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ؟ قَالَ: نَعَمْ. قُلْنَا: بِمَ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ ذَاكَ؟ قَالَ: بِاضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ
Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW membaca sesuatu ketika mendirikan solat Zuhur dan Asar? Beliau menjawab: ‘Ya.’ Kami bertanya lagi: ‘Bagaimanakah kamu tahu perkara tersebut?’ Khabbab menjawab: ‘Melalui pergerakan janggut Baginda.’”
Riwayat al-Bukhari (746)
Kemudian, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, disunatkan untuk menguatkan bacaan bagi seseorang yang solat secara bersendirian bagi solat-solat yang dibaca kuat (iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak) di sisi ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan jumhur. Malah, al-‘Abdari menyebutkan bahawa ini merupakan pendapat ulama keseluruhannya kecuali Abu Hanifah yang berpendapat bahawa menguatkan suara dan memperlahankannya bagi orang yang solat secara bersendirian adalah sama sahaja.
Hujah ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i ialah seseorang yang mendirikan solat secara bersendirian sama halnya seperti imam, yang berhajat kepada menguatkan bacaan untuk mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Oleh yang demikian, disunatkan baginya — yakni orang yang solat bersendirian — untuk menguatkan bacaannya seperti mana imam. Bahkan lebih utama lagi kerana dia lebih banyak dapat menghayati dan mentadabbur bacaannya (berbanding seorang imam) disebabkan oleh tiadanya perkaitan dengan orang lain. Begitu juga dia boleh membaca dan menguatkan bacaan tersebut bagi menghayati dan mentadabburnya sebagaimana yang dia kehendaki. Tambahan lagi, orang yang solat bersendirian juga berbeza halnya dengan makmum. Hal ini kerana makmum diperintahkan untuk mendengar bacaan imam supaya tidak mengganggu imam. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/389-390).
Seterusnya, maksud menguatkan bacaan dan memperlahankannya adalah sebagaimana yang ditakrifkan oleh para fuqaha seperti pengarang al-Hawi iaitu bacaan secara kuat (jahar) adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada orang di sebelahnya. Manakala bacaan secara perlahan (israr) pula adalah dengan memperdengarkan bacaan kepada dirinya sendiri. (Lihat Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 2/64; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390).
Tambahan lagi, al-Khirasyi menyebutkan, serendah-rendah tahap bacaan perlahan adalah dengan menggerakkan lidahnya ketika membaca bacaan dalam solat. Jika dia tidak menggerakkan lidahnya maka tidak sah bacaannya itu kerana perkara tersebut tidak dikira sebagai membaca. Manakala tahapnya paling tinggi pula adalah ia didengari oleh dirinya sahaja. Adapun serendah-rendah tahap bacaan kuat adalah ia didengari oleh dirinya dan orang yang berada di sekelilingnya, sedangkan tiada had bagi tahap suaranya yang paling tinggi. (Lihat Syarh Mukhtasar Khalil, 1/275).
Seterusnya, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan dalam kitabnya, jika seseorang itu menguatkan atau menyaringkan suaranya pada tempat yang sepatutnya diperlahankan suara ataupun sebaliknya (yakni memperlahankan suara pada tempat yang sepatutnya dinyaringkan) maka solatnya tidak terbatal dan tidak perlu juga sujud sahwi. Akan tetapi dia telah melakukan suatu perkara yang makruh. Inilah pendapat dalam mazhab Syafi‘i, al-Auza‘i dan Ahmad dalam riwayatnya yang paling sahih. Manakala Imam Malik, al-Thauri dan Abu Hanifah pula berpendapat, orang tersebut perlu sujud sahwi. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/390-391). Dalil mazhab Syafi‘i adalah berdasarkan hadith daripada Abu Qatadah, beliau berkata:
كانَ النبيُّ ﷺ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ الأُولَيَيْنِ مِن صَلاةِ الظُّهْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ، وسُورَتَيْنِ يُطَوِّلُ في الأُولى، ويُقَصِّرُ في الثّانِيَةِ ويُسْمِعُ الآيَةَ أَحْيانًا، وكانَ يَقْرَأُ في العَصْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ وسُورَتَيْنِ، وكانَ يُطَوِّلُ في الأُولى، وكانَ يُطَوِّلُ في الرَّكْعَةِ الأُولى مِن صَلاةِ الصُّبْحِ، ويُقَصِّرُ في الثّانِيَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW selalu membaca surah al-Fatihah dan dua surah dalam dua rakaat yang pertama solat Zuhur. Baginda memanjangkan bacaan dalam rakaat pertama dan memendekkan bacaan dalam rakaat kedua, dan terkadang memperdengarkan beberapa bacaan ayat. Baginda membaca surah al-Fatihah dan dua surah dalam solat Asar. Baginda memanjangkan bacaan dalam rakaat pertama dan memanjangkan bacaan dalam rakaat pertama solat Subuh dan memendekkan bacaan dalam rakaat yang kedua.”
Riwayat al-Bukhari (759)
Kesimpulannya
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa seseorang yang mendirikan solat secara sendirian boleh, bahkan disunatkan untuk menguatkan suara dalam solat jahriyyah iaitu solat Maghrib, Isyak dan Subuh sebagaimana halnya imam kerana ia termasuk dalam perkara sunnah. Lebih-lebih lagi, perkara tersebut membolehkan orang yang solat secara bersendirian itu lebih dapat menghayati dan mentadabbur ayat-ayat al-Quran yang dibaca. Apatah lagi, dia langsung tidak berkait dengan sesiapa (sebagaimana imam yang berkait dengan makmum) lalu membolehkannya membaca bacaan ayat-ayat al-Quran sama ada panjang mahupun pendek atau menguatkannya sebagaimana yang dikehendaki tanpa mengambil kira keadaan orang lain — seperti mana imam yang perlu mengambil kira keadaan makmum.
Akan tetapi dia tidak disunatkan untuk menguatkan suara dalam solat sirriyyah iaitu solat Zuhur dan Asar. Sekiranya dia tetap menguatkan suara dalam solat sirriyyah, maka solatnya tetap sah dan tidak terbatal serta tidak perlu juga sujud sahwi berdasarkan pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Akan tetapi, dia telah melakukan suatu perkara yang makruh dan menyalahi perkara sunnah.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H