Soalan:
Assalamualaikum Dato saya ingin bertanya, sebelum saya pergi tawaf saya kencing sekejap selepas itu mengambil wuduk. Waktu ini memang saya yakin air kencing sudah tidak keluar dan sudah suci daripada najis.
Selepas saya selesai melakukan tawaf, saie dan tahalul saya balik kebilik dan check memang ada bau hancing tapi saya tidak pasti bila air kencing itu keluar disebabkan tidak menyedarinya.
Adakah tawaf saya sah atau perlu ke saya kembali ke mekah balik untuk selesai masalah ini? Saya betul-betul ingin mengetahui jawapan disebabkan selalu overthinking tentang hal ini.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT :
إنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesungguhnya zhan (sangkaan) tidak menandingi kebenaran walau sedikit pun.”
(Surah Yunus: 36)
Imam al-Tabari dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini menyebutkan: Sesungguhnya syak tidak memberi nilaian walau sedikit pun ke atas keyakinan. Dan syak sedikit pun tidak menggantikan kedudukan keyakinan serta tidak memberi sebarang manfaat kerana sesuatu itu berhajat kepada keyakinan.(Lihat al-Jami’ al-Bayan, 15/89)
Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang atau tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu. Maka sesuatu itu kekal di atas apa yang telah dipastikan. (Lihat Syarah Al-Qawa’id Al-Fiqhiyyah,Hlm. 45).
Kembali kepada persoalan di atas, dapat kami nyatakan disini , setelah meneliti pandangan para ulama mengenainya, kami berpendapat bahawa tawaf yang dilakukan tersebut adalah sah dan tidak perlu mengulanginya semula ini kerana dia hanya mendapati kesan bau hancing tersebut baru ada setelah satu tempoh yang lama seperti semasa di hotel dan setelah selesai ibadah umrah atau seumpamanya, maka dalam situasi ini ada kemungkinan ia terkeluar selepas selesai ibadah tawaf. Hal ini bertepatan dengan Kaedah fiqh :
الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: “Suatu hukum yang dibina dengan keyakinan tidak akan dihilangkan hanya kerana keraguan.”( Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 50.)
Begitu juga kaedah :
الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ والْيَقِينُ لَا يَزُولُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: “Asal (hukum) sesuatu perkara adalah kekal mengikut keadaan sebelumnya dan perkara yang sudah diyakini tidak boleh dihilangkan oleh keraguan.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair, hlm. 47-49)
Justeru, kami nyatakan di sini supaya meninggalkan keraguan dan mengambil sikap tidak peduli terhadapnya. Diriwayat daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”
Riwayat al-Tirmizi (2708)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H