#1955: Meminta Dalil

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Bolehkah seseorang yang bertanya hukum kepada seseorang alim memohon dalil?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Amat baik bagi seseorang bahkan itulah sepatutnya apabila tidak mengetahui bertanya kepada mereka yang mengetahui terutamanya ulama yang thiqah dengan keilmuannya. Hal ini berdasarkan nas Ilahi firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Mengenai tafsir bagi ayat di atas, Abu Hayyan menukilkan daripada al-Zajjaj, katanya: “Ahli Zikri adalah umum pada setiap orang yang  disandarkan dengannya ilmu.” (Lihat al-Bahr al-Muhit, 6/533)

Tanpa dinafikan bahawa pensyariatan Islam berkenaan dengan satu-satu ibadat atau perintah mahu pun larangan mempunyai dalil dan hujahnya. Dan hukum syarak sentiasa diikat dengan ‘illah atau sebab dan berakhir dengan maslahat yang akan diperolehi, sama ada diketahui atau pun tidak. Benarlah kaedah menyebut:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالمصَالِحِ

Maksudnya: “Hukum-hukum syarak itu di’illahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.”

Dalam menjawab persoalan di atas, saya nukilkan pandangan Ibn Hamdan yang berkata: Tidak sepatutnya bagi seorang awam untuk meminta hujah ke atas fatwa yang telah diberikan oleh seorang mufti kepadanya. Dia tidak boleh berkata kepada mufti “Kenapa?” dan “Bagaimana?”

Sekiranya dia mahu menenangkan jiwanya dengan mendengar hujah terhadap fatwa tersebut, hendaklah dia bertanya berkenaannya di dalam majlis yang lain. Dan pada majlis tersebut, setelah menerima fatwa yang terasing (tidak disertakan) dengan hujah. (Lihat Sifat Mufti al-Mustafti, hlm. 248)

Pendapat lain menyebut: Dia berhak meminta dalil kepada seorang mufti, dengan tujuan untuk lebih berhati-hati buat dirinya. (Lihat al-Qawati’, 3/1253 dan Adab al-Mufti, hlm. 171)

Adalah menjadi kelaziman untuknya (mufti) menyebutkan dalil kepadanya (mustafti) sekiranya ia bersifat qath’ie. Manakala sekiranya ia bersifat zhanni tidak perlu untuk disebutkan, kerana ia berhajat kepada ijtihad yang tidak mampu dilakukan oleh orang awam. (Lihat Adab al-Mufti, hlm. 171; Muqaddimah al-Majmu’, 1/124; al-Musawwadah, 2/974 dan Manar Usul al-Fatwa, hlm. 256).

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dan sentiasa memelihara adab dalam berinteraksi terutamanya apabila bertanya kepada para ulama.  Ini amat penting agar kita mendapat banyak kelebihan kerana memahami adab yang perlu dihiasi bagi diri kita.

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H