#1961: Bertatu Warna Hitam Bagi Menutup Parut di Kepala

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Dato’ Seri. Saya ada satu kemusykilan. Harapnya pihak tuan dapat membantu menyelesaikannya. Saya ada kesan parut di kepala dan kesan parut itu jelas kelihatan sekiranya rambut dipotong pendek dan mendatangkan aib kepada saya. Bagi menghilangkan kesan parut yang tidak berambut itu, saya biasanya akan menggunakan marker pen hitam supaya tidak kelihatan. Namun dakwat marker pen biasanya tidak bertahan lama dan perlu diulang kembali. Soalan saya, adakah boleh sekiranya saya menggunakan kaedah kekal contohnya seperti tatoo berwarna hitam bagi menutup kawasan parut tersebut? Mohon pencerahan dan penjelasan mengikut hukum syarak. Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan mengemukakan di sini terlebih dahulu takrif tatu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik dan mencucuk dan memasukkan warna, cacah.[1]

Manakala Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, tatu adalah lukisan atau tanda kekal di atas kulit yang dibuat dengan menggunakan dakwat pigmen atau pewarna yang dimasukkan ke kulit melalui tusukan jarum ke lapisan dermis (lapisan kedua kulit). Dakwat dimasukkan ke dalam lapisan dermis kerana sel kulit di bahagian ini adalah stabil, oleh itu tatu akan menjadi kekal. Selain itu, tatu boleh dilakukan secara manual (menggunakan tangan) atau dengan menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan sistem tiub dan jarum. Biasanya dengan menggunakan peralatan elektrik ini, jarum akan mencucuk kulit lebih kurang 3 mm dalam dan dakwat yang disimpan dalam tiub tersebut akan dimasukkan ke dalam lubang tusukan jarum tersebut. Biasanya, proses pembuatan tatu ini tidak menggunakan bius, oleh itu orang yang sedang ditatu mungkin akan berasa sakit semasa prosedur itu dijalankan. Begitu juga berkemungkinan akan berlaku pendarahan kecil di kawasan tusukan jarum tersebut.

Selain daripada itu, membuat tatu juga mempunyai risiko kesihatan. Di antaranya:

  • Jangkitan kuman: Memandangkan proses membuat tatu melibatkan kelukaan pada kulit, maka ia boleh menyebabkan jangkitan setempat pada luka tersebut. Gejala yang biasa berlaku adalah bengkak, sakit dan bernanah di kawasan tersebut.
  • Reaksi alahan: Alahan biasa berlaku di kawasan tatu terutamanya jika tatu tersebut menggunakan pewarna merah. Gejala yang mungkin berlaku adalah ruam gatal dan bengkak merah.

Walau bagaimanapun gejala yang lebih teruk mungkin berlaku seperti sukar bernafas, pengsan, bengkak mata dan sebagainya.

  • Pembentukan “granuloma” iaitu terdapat pembengkakan kronik berlaku pada kawasan yang telah mengalami jangkitan kuman.
  • Pembentukan keloid iaitu keadaan di mana parut tebal timbul di kawasan tusukan jarum tatu.
  • Jangkitan kuman bawaan darah:

Sekiranya peralatan yang digunakan untuk membuat tatu itu dicemari oleh darah yang telah dijangkiti virus Hepatitis C, Hepatitis B dan HIV, maka anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tersebut. Anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tetanus (kancing gigi) dari peralatan yang tercemar.[2]  

Seterusnya, kita hendaklah mengetahui bahawa termasuk dalam perkara yang diharamkan adalah membuat tatu pada badan. Hal ini kerana, terdapat hadith yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya:Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.

Riwayat al-Bukhari (4886)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, tatu akan mencacatkan muka dan kedua tangannya (yakni tubuh badannya) dengan warna-warna seperti biru dan lukisan-lukisan yang hodoh. Sebahagian masyarakat Arab terutamanya wanita meminta dibuatkan tatu pada sebahagian besar badan mereka. Begitu juga sebahagian penganut agama tertentu meminta dibuatkan tatu pada badan mereka yang melambangkan sembahan dan syiar agama mereka sebagaimana penganut agama nasrani membuat tatu lambang salib pada tangan dan dada mereka.

Tambahan lagi, membuat tatu adalah proses yang menyakitkan apabila dicucuk jarum pada bahagian tubuh yang mahu ditatu. Semua perkara tersebut mengundang laknat kepada sesiapa yang membuat tatu dan sesiapa yang meminta supaya dibuatkan tatu pada badannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 86).

Malah, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menukilkan daripada pendapat para fuqaha yang menyebutkan bahawa tempat yang ditatu adalah najis, disebabkan darah beku yang tersekat di situ. Ia wajib dihilangkan sekiranya boleh dengan rawatan. Sebaliknya, jika tidak boleh kecuali dengan pembedahan, dia tidak wajib menghilangkannya sekiranya dibimbangi berlaku kemudharatan atau kecacatan yang teruk pada anggota zahir, seperti muka, dua tapak tangan dan lain-lain. Dalam hal ini, memadailah bertaubat daripada segala dosa dan perbuatannnya itu. Namun, jika tiada kebimbangan tersebut, dia wajib menghilangkannya dan berdosa melengah-lengahkannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/102).

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bil 1/2017-1438H yang bersidang pada 15 Februari 2017 bersamaan 18 Jamadil Awwal 1438H telah bersetuju memutuskan untuk menerima keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Kali Ke-86 berkenaan Hukum Bertatu Mengikut Pandangan Islam dengan pindaan sighah seperti berikut:

  1. Muzakarah telah memutuskan bahawa di dalam Islam hukum bertatu iaitu pembuat tatu dan orang yang meminta dibuat tatu adalah haram.
  2. Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa orang yang telah bertatu wajib bertaubat dan menyesal serta menghilangkannya dengan menggunakan kaedah teknologi yang sedia ada kerana tempat yang ditatu itu adalah najis jika tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
  3. Walau bagaimanapun, sekiranya ia mendatangkan kemudaratan pada diri dan nyawa, maka ia boleh dibiarkan dan dimaafkan. Bagi orang yang bertatu dan tidak sempat menghilangkannya setelah meninggal dunia, maka tatu tersebut tidak wajib dihilangkan kerana ianya akan menyeksa mayat tersebut.
  4. Muzakarah juga berpandangan bahawa pihak berkuasa yang meluluskan lesen membuka premis membuat tatu perlu mengenakan syarat iaitu pemilik dan pekerjanya mestilah bukan beragama Islam di samping orang Islam dilarang sama sekali mencacah tatu di premis tersebut.

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa membuat tatu adalah haram dan dilarang dalam agama sekalipun tujuannya untuk menutup aib pada jasad disebabkan parut kerana pengharaman dan larangan membuat tatu telah sabit berdasarkan kepada hadith yang sahih.

Lebih-lebih lagi, perbuatan mencacah tatu sebenarnya bukanlah dapat merawat atau menutup parut, tetapi pada hakikatnya ia adalah mencacatan kulit dan kawasan yang dicacah. Sehinggakan sebahagian ulama ada berpendapat bahawa tempat atau kawasan yang dicacah (untuk dibuat tatu atau disulam nama) sebagai najis. Selain itu, perbuatan mencacah untuk membuat tatu atau sulam nama pada kulit terdedah kepada risiko jangkitan dan memudaratkan pelakunya.

Apatah lagi, di sana terdapat alternatif lain yang dapat digunakan bagi melindungi parut di kepala seperti dengan menyimpan rambut yang panjang bagi melindunginya daripada kelihatan atau menghilangkan parut tersebut dengan melakukan pembedahan kosmetik (plastik). Perbuatan tersebut tidak termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT yang diharamkan, sebaliknya bertujuan bagi menghilangkan keaiban pada jasadnya atau kepalanya dengan mengembalikannya semula kepada kejadiannya yang asal (normal) — sebelum berparut. Perbahasan lanjut berkenaan perkara ini, kami telah bahaskannya secara panjang lebar dalam  artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Membuang Tahi Lalat pada Wajah.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tatu. Diakses pada 6 April 2023.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/tatu/. Diakses pada 6 April 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H