#1968: Perempuan Keluar Di Waktu Malam

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum seorang perempuan keluar sehingga lewat malam dengan alasan mengikuti kelas trading? Kadang-kadang tidak balik ke rumah kerana tidur di rumah kawannya. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَىٰ ۖ وَأَقِمْنَ الصَّلَاةَ وَآتِينَ الزَّكَاةَ وَأَطِعْنَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا ‎

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlul Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).

Surah al-Ahzab (33)

Ini menunjukkan asal perempuan lebih baik tinggal di rumah kerana lebih aman dan selamat baginya. Walaupun begitu, perempuan Muslimah boleh keluar rumah sama ada waktu malam atau siang kerana tujuan tertentu seperti membeli makanan atau urusan pekerjaan dan juga menziarahi suami dan kaum keluarga serta rakan taulan.

Daripada Safiyyah binti Huyay R.Anha, beliau berkata:

 كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُعْتَكِفًا فَأَتَيْتُهُ أَزُورُهُ لَيْلًا، فَحَدَّثْتُهُ ثُمَّ قُمْتُ فَانْقَلَبْتُ، فَقَامَ مَعِي لِيَقْلِبَنِي، وَكَانَ مَسْكَنُهَا فِي دَارِ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ، فَمَرَّ رَجُلاَنِ مِنَ الأَنْصَارِ، فَلَمَّا رَأَيَا النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَسْرَعَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّةُ بِنْتُ حُيَيٍّ» فَقَالاَ: سُبْحَانَ اللَّهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: “إِنَّ الشَّيْطَانَ يَجْرِي مِنَ الإِنْسَانِ مَجْرَى الدَّمِ، وَإِنِّي خَشِيتُ أَنْ يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا سُوءًا، أَوْ قَالَ: شَيْئًا”

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah beriktikaf lalu aku datang untuk mengunjungi Baginda pada malam hari. Aku berbicara dengan Baginda, kemudian aku bangun dan pulang. Baginda bangun bersamaku untuk menghantarku — adapun tempat tinggalnya di rumah Usamah bin Zaid – lalu datang dua orang lelaki daripada golongan Ansar. Ketika kedua-duanya melihat Nabi SAW, mereka pun bergegas pergi. Nabi SAW bersabda: “Tetaplah sebagaimana keadaan kamu, sesungguhnya dia ialah Safiyah binti Huyay.” Mereka berkata: “Maha suci Allah, wahai Rasulullah.” Baginda SAW bersabda: “Sesungguhnya syaitan berjalan dalam diri manusia melalui saluran darah dan aku khuatir ia mencampakkan keburukan dalam hati kamu berdua.” atau Baginda bersabda: (mencampakkan) sesuatu.”

Riwayat al-Bukhari (3281) dan Abu Daud (4994)

Tetapi jika sekiranya dia keluar berstatus musafir maka hendaklah dielakkan keluar seorang diri berdasarkan hadith: Nabi Muhammad SAW bersabda:

لا تُسافِرِ المَرْأَةُ ثَلاثَةَ أيّامٍ إلّا مع ذِي مَحْرَمٍ

Maksudnya: “Janganlah seseorang wanita itu bermusafir selama tiga hari melainkan bersama-sama dengan mahramnya.”

Riwayat al-Bukhari (1086), Muslim (1338)

Justeru, menjawab persoalan di atas, saya menyatakan boleh, makan dan tidur di rumah kawannya juga dibolehkan tetapi perlulah dijaga dari sudut adab dan kepatuhan syariatnya. Jika perempuan tersebut bersama ibu bapanya, maka minta izinlah terlebih dahulu. Kalau dengan suaminya, begitu juga minta izinlah terlebih dahulu. Ini kerana wanita tersebut di bawah tanggungan ibu bapanya atau suaminya selepas dia berkahwin. 

Seperkara lagi, tempat yang dia pergi selamat daripada fitnah atau yang memberi mudarat terhadap dirinya, sama ada agamanya mahupun fizikalnya. Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita akhlak yang baik dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Riwayat al-Tirmizi (3591), Ibn Hibban (960), al-Tabarani (19/19) dan al-Bazzar (9/155)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H