#1969: Ketenangan Hati dan Dimurahkan Rezeki

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah caranya untuk kita hidup tenang dan rapat dengan Allah SWT dan apakah amalan untuk kita dimurahkan rezeki? Suami saya tidak bekerja selepas diberhentikan 5 tahun yang lalu. Saya kesian dengan dia kerana dia mempunyai kelulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang system engineering.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

Surah al-Ra’d (28)

Sebagai seorang Muslim yang beriman, kita harus sentiasa mengingati Allah SWT untuk mendapatkan ketenangan hati yang sejati.

Dalam usaha untuk dimurahkan rezeki dan mencari pekerjaan, perlu dimulakan dengan niat yang betul iaitu untuk mencari rezeki yang halal lagi baik. Bolehlah untuk berdoa dengan doa berikut:


اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Riwayat Ibn Majah (925)

Syeikh Sa’id bin Ali bin Wahf al-Qahtani menyebut: “Rezeki yang baik adalah rezeki yang halal.” (Lihat Syarh Hisn al-Muslim min Azkar al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 129)

Kita juga diajar supaya mencari rezeki dan memakan dari sumber yang halal. Hal ini berbetulan dengan sebuah hadis yang masyhur, daripada Abi Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إلَّا طَيِّبًا، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ فَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا”، وَقَالَ تَعَالَى: “يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ” ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلَى السَّمَاءِ: يَا رَبِّ! يَا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لَهُ؟”.

Maksudnya “Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Baik dan hanya menerima yang baik. Sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk (melakukan) perintah yang disampaikan kepada para nabi. Kemudian beliau membaca firman Allah, ‘Wahai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amalan yang soleh.’ Dan firman-Nya, ‘Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari makanan yang baik baik yang telah Kami anugerahkan kepadamu. ’Kemudian beliau menceritakan seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan?”

Riwayat Muslim (1015)

Kita juga perlu menginsafi diri dan muhasabah tentang mengapa ujian sukar mendapatkan pekerjaan ini ditimpakan ke atas kita. Mungkin ia satu bentuk ujian ke atas kita. Ini kerana, melakukan maksiat kepada Allah SWT mungkin salah satu sebab rezeki seseorang itu disekat. Firman Allah SWT:

وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ

Maksudnya: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

Surah al-Syura (30)

Dalam Tafsir al-Jalalayn (hal.643), kalimah “كَسَبَتْ” bererti dosa-dosa yang mereka lakukan. Ertinya dosa-dosa yang dilakukan adalah punca bagi bala yang menimpa kita. Manakala bagi orang yang tidak berdosa, bala yang ditimpakan Allah adalah menaikkan darjat mereka di Hari Akhirat (jika mereka bersabar dan reda).

Manakala Imam Ibn Kathir pula menyebut dalam tafsirnya bahawa bala yang ditimpakan itu sebagai ganti seksa yang sepatutnya berlaku di akhirat, maka Allah telah ampunkan di dunia dengan timpaan bala itu. Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (7/207).

Lalu beliau menyebut hadis berikut. Rasulullah SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَب وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزَن إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ عَنْهُ بِهَا مِنْ خَطَايَهُ حَتَّى الشَّوْكَةِ  يُشَاكُهَا

Maksudnya: “Demi Dia yang jiwaku di Tangan-Nya, tiada seorang mukmin yang ditimpa keletihan, kesakitan, kerisauan, dan kesedihan, melainkan Allah akan menjadikan musibah itu penebus kesilapan-kesilapannya, termasuklah duri yang mengenainya.”

Riwayat al-Bukhari (5641) dan Muslim (2573)

Maka sewajarnya kita sentiasa terus berusaha, memperbanyakkan ibadat, berdoa, dan bertaubat kepada Allah SWT agar hidup kita sentiasa dilimpahi dengan rahmat dariapda-Nya. 

Adapun jika kita sudah berusaha dan bertaubat tetapi masih berasa sempit daripada sudut rezeki, maka kita perlu faham tidak semestinya ia diakibatkan oleh musibat dosa. Akan tetapi, salah satu bentuk ujian daripada Allah SWT kepada hamba-Nya untuk mengampunkan dosa dan menaikkan darjat kita dan seterusnya memasukkan kita ke dalam syurga jika kita tergolong dalam golongan mereka yang sabar.

Kami akhiri dengan beberapa tips untuk dimurahkan rezeki berdasarkan nas-nas. Antaranya:

  • Sentiasa dan melazimi qiyamullail
  • Membanyakkan istighfar dan taubat
  • Bertawakkal kepada Allah SWT
  • Kerapkan bersedekah
  • Jaga hubungan silaturrahim
  • Banyakkan bacaan al-Quran
  • Sentiasa menolong rakan taulan dan saudara
  • Sentiasa melazimi solat berjemaah dan solat di awal waktu
  • Menghadiri majlis ilmu di masjid-masjid atau mana-mana tempat
  • Banyakkan selawat kepada Nabi SAW

Semoga Allah SWT kurniakan kita rezeki yang halal dan diberkati. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ ، وَقِنَا شَرَّ مَا قَضَيْتَ ، إِنَّكَ تَقْضِي وَلا يُقْضَى عَلَيْكَ ، وَإِنَّهُ لا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ

Maksudnya: ““Ya Allah berikanlah petunjuk kepadaku sebagaimana mereka yang telah Engkau beri petunjuk, Dan berilah kesihatan kepadaku sebagaimana mereka yang Engkau telah berikan kesihatan, Dan peliharalah aku sebagaimana orang yang telah Engkau peliharakan, Dan berilah keberkatan bagiku pada apa-apa yang telah Engkau kurniakan.