Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak mohon pandangan berkenaan dengan nama anak saya. Saya nak namakan anak saya dengan nama Khairul Mateen. Persoalannya adakah dibolehkan atau tidak boleh menggunakan 99 nama Allah (al-matin) yang digabungkan dengan nama khairul di depannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Antara keunikan bagi manusia adalah mereka diberi nama. Hal ini tidak sepertimana makhluk yang lain, yang hanya diberi nama umum seperti pokok, haiwan, kambing, lembu dan lain-lain.
Nama yang dipilih pula hendaklah nama yang diredhai dan disukai oleh Allah. Itulah yang sepatutnya. Sabda Rasulullah SAW:
تَسَمَّوْا بأسماءِ الأنبياءِ، وأَحَبُّ الأسماءِ إلى اللهِ تعالى عبدُ اللهِ وعبدُ الرحمنِ، وأَصْدَقُها حارثٌ وهَمّامٌ، وأَقْبَحُها حَرْبٌ ومُرَّةٌ.
Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”
Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)
Berkenaan dengan nama Khairul Mateen yang memberi maksud sebaik-baik yang kuat yang tidak terputus kekuatannya dan tidak dirasakan sebarang bentuk kesukaran dalam tindakannya. Tidak juga letih dan lemah tetapi sebaliknya mempunyai kekuatan yang kuat.
Al-Mateen (المَتِين) merupakan salah satu dari nama Allah SWT. Justeru, untuk keluar daripada khilaf, saya cadangkan dua perkara sama ada menamakan anak dengan Abdul Mateen atau yang kedua kita tukarkan tanpa ال pada mateen. Maka, jadilah Khairu Mateen. Ini kerana, salah satu makna mateen ialah kuat, teguh seperti dalam bahasa Arab menyebut:
- حَبْل مَتِين : قَوِيّ، صَلْب
Ia memberi maksud tali yang kuat lagi tahan
- رَأْيٌ مَتِينٌ : رَأْيٌ لَهُ وَجَاهَتُهُ، قَوِيٌّ
Ia memberi maksud pendapat yang baik, tajam lagi bernas
- أسلوب متين: جيّد السَّبك حسن الصِّياغة
Uslub yang baik dari segi susunan dan baik sighahnya.
Semoga Allah SWT jadikan anak saudara sebagai anak yang benar-benar berjaya dalam hidup sesuai dengan nama dan menjadi zuriat yang soleh. Akhir kalam, marilah kita berdoa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H