#1971: Lactobacillus Gasseri yang Diambil dari Susu Ibu

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Ada probiotik strain bernama Lactobacillus Gasseri yang diambil dari breast milk. Adakah ia halal untuk dimakan? Kapsulnya pula daripada tumbuh-tumbuhan. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif probiotik dan Lactobacillus Gasseri. Probiotik ialah mikroorganisma hidup dan sama dengan mikroorganisma yang terdapat dalam sistem pencernaan manusia. Probiotik, yang lebih dikenali sebagai “bakteria mesra” atau “bakteria baik,” membantu mengekalkan keseimbangan semula jadi organisma (mikroflora) dalam usus. Saluran pencernaan manusia biasa mengandungi kira-kira 400 jenis bakteria probiotik yang mengurangkan pertumbuhan bakteria berbahaya dan menggalakkan sistem pencernaan yang sihat. Probiotik dianggap berfungsi dengan menjajah usus kecil dan menyesakkan organisma penyebab penyakit, dengan itu memulihkan keseimbangan yang betul kepada flora usus. Mereka bersaing dengan organisma berbahaya untuk nutrien dan mungkin juga menghasilkan bahan, seperti ammonia, yang menghalang pertumbuhan organisma berbahaya dalam sistem pencernaan.[1]

Manakala Lactobacillus gasseri ialah spesies bakteria yang dipasarkan sebagai probiotik (bakteria baik). Bakteria “baik” seperti L. gasseri mungkin membantu badan memecahkan makanan, menyerap nutrien dan melawan organisma “jahat” yang mungkin menyebabkan penyakit. Bakteria ini kadang-kadang ditambah kepada makanan yang ditapai seperti yogurt dan juga terdapat dalam makanan tambahan. Selain itu, L. gasseri digunakan untuk pelbagai tujuan, tetapi tiada bukti saintifik yang baik untuk menyokong penggunaannya.[2]

Seterusnya, secara umumnya, susu badan atau susu ibu adalah suci. Berkenaan kesucian susu badan atau susu ibu itu, Mengenai kesucian susu ibu, Imam al-Nawawi ada menyebutkan bahawa susu badan adalah suci menurut mazhab al-Syafi‘i dan ia adalah pendapat yang diputuskan oleh para ashab (ulama mazhab Syafi‘i) kecuali pengarang kitab al-Hawi kerana beliau telah menukilkan satu pendapat daripada al-Anmati yang merupakan salah seorang daripada ulama mazhab Syafi‘i yang menyatakan, susu badan adalah najis, dan ia halal diminum oleh kanak-kanak kerana darurat (keadaan terpaksa).

Sebenarnya pendapat ini tiada apa-apa nilai, bahkan jelas kesilapannya. Akan tetapi beliau telah menukilkan pendapat seperti ini bertujuan supaya berhati-hati daripada ditipu dengannya (pendapat tersebut). Sesungguhnya Syeikh Abu Hamid telah menukilkan bahawa kaum Muslimin telah menyatakan ijma’ akan kesucian susu badan. Al-Ruyani menyebutkan, sekiranya kita berpendapat mengikut pendapat mazhab (al-Syafi‘i) bahawa manusia itu tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Jadi, apabila seorang wanita itu mati dan di dalam buah dadanya itu ada susu. Maka, susu tersebut adalah suci serta diharuskan untuk meminumnya dan dijual. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/569).

Selain itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menyatakan bahawa susu haiwan yang dimakan dagingnya seperti susu kuda, sekalipun ia telah melahirkan baghal adalah suci. Firman Allah SWT:

لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “(iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Kemudian beliau menambah, demikianlah juga susu manusia kerana tidak sesuai dengan kemuliaannya untuk dikatakan ia berasal (sumber) daripada najis. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/234). Begitu juga al-Mardawi turut menyatakan bahawa susu manusia dan susu haiwan yang dimakan adalah suci secara sepakat para ulama (tanpa perselisihan). (Lihat al-Insaf fi Ma‘rifah al-Rajih min al-Khilaf, 1/343).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, hukum asal bagi sesuatu dan makhluk adalah suci bersih serta tidak dihukumkan sebagai najis kecuali adanya dalil syar‘i yang menunjukkan kepada kenajisannya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya:

الْحَيَوَانُ كُلُّهُ طَاهِرٌ لِمَا مَرَّ إلَّا مَا اسْتَثْنَاهُ الشَّارِعُ

Maksudnya:Haiwan kesemuanya adalah suci melainkan apa yang didatangkan syarak akan kenajisannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226).

Justeru, bakteria[3] itu dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis. Kemudian, hendaklah dilihat pula dari mana ia diambil. Jika ia diambil dari tempat atau bahan bernajis, maka ia dihukumkan sebagai mutanajjis[4] dan tidak dihukumkan sebagai suci sehinggalah ia melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak. Namun, jika ia diambil dari tempat atau bahan yang suci, maka hukumnya kekal sebagai suci sebagaimana hukum asalnya.

Hal ini selari dengan keputusan yang diputuskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-62 yang bersidang pada 16 Mac 2004 telah membincangkan mengenai Hukum Menggunakan Bakteria Yang Diambil Daripada Najis Bayi Sebagai Agen Pemangkin Dalam Yogurt. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum menggunakan bakteria kultur yang dipencilkan daripada sebarang najis sebagai agen pemangkin dalam yogurt adalah harus dengan syarat telah melalui proses pengasingan dan penyucian yang sejajar dengan hukum syarak kerana bakteria yang terdapat di dalam najis bayi adalah mutanajjis.[5]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa probiotik strain bernama Lactobacillus Gasseri yang diambil dari susu ibu adalah halal untuk dimakan kerana bakteria “baik” itu sendiri dihukumkan sebagai suci dan begitu juga dengan susu ibu dihukumkan sebagai suci. Namun, keharusan tersebut terikat selagi mana kapsul atau bahan-bahan tambahan lain yang digunakan dalam pembuatannya adalah suci dan bukannya najis.  

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat http://www.myhealth.gov.my/en/probiotics/. Diakses pada 16 Jun 2023.

[2] Lihat https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-1675/lactobacillus-gasseri-%5Bfast-facts%5D. Diakses pada 16 Jun 2023.

[3] Bakteria ialah organisma seni yang hidup dalam tanah, air, bahan organik atau badan tumbuh-tumbuhan dan haiwan, dan sesetengahnya boleh menyebabkan penyakit. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bakteria. Diakses pada 16 Jun 2023)

[4] Sesuatu yang terkena najis.

[5] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/10255. Diakses pada 16 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H