#1973: Adakah Anak Lembam Menanggung Dosa Sendiri?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada seorang anak perempuan OKU kategori lembam berumur 18 tahun. Dia telah diajar sehingga boleh membaca, solat, puasa, mengurus diri sendiri dan menolong kerja-kerja di rumah. Tetapi ada juga perkara-perkara yang dia sukar untuk fahami, contohnya dia masih kurang pandai mengira walaupun perkara asas seperti tambah dan tolak, tidak pandai membaca jam jarum, dan kadang kala sukar memahami sesuatu perkara. Adakah anak seperti ini dikira dosa dan pahalanya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Lembam adalah sinonim kepada lembap, menurut Kamus Dewan bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ia bermaksud lambat atau kurang mencapai kemajuan dalam pelajaran, tidak cerdas, lemah dan lembam.

Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) secara umumnya terbahagi kepada 7 kategori:

  • Kurang Upaya Pendengaran.
  • Kurang Upaya Penglihatan.
  • Kurang Upaya Fizikal.
  • Masalah Pembelajaran.
  • Kurang Upaya Pertuturan.
  • Kurang Upaya Mental.
  • Kurang Upaya Pelbagai.

Mereka yang mempunyai masalah lembam termasuk di dalam kategori OKU Masalah Pembelajaran, kategori ini meliputi semua orang yang menghadapi masalah kecerdasan otak yang tidak selaras dengan usia biologikalnya. Mereka yang tergolong dalam kategori ini termasuklah down syndrome, kurang upaya intelektual, autisme, Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD), masalah pembelajaran spesifik (dyslexia, dyscalculia, dygraphia) dan lewat perkembangan global (global development delay).[1]

Anak lembam ini termasuklah di kalangan anak istimewa, sekalipun begitu mereka tetap rezeki Allah yang sangat besar buat pasangan suami isteri. Ini juga adalah salah satu bentuk ujian yang Allah SWT bagi mereka yang mampu.

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Mereka juga merupakan sebahagian nikmat dari banyak nikmat Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”

(Surah al-Nahl: 72)

Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412)

Anak-anak istimewa ini perlu diasuh dengan baik kerana mereka memerlukan perhatian yang lebih berbanding anak-anak yang normal. Kaedah pembelajaran juga mungkin berbeza terutamanya bagi anak-anak OKU Masalah Pembelajaran.

Prof Madya Dr Abdul Rahim Razalli berkata bahawa multisensory sesuai untuk kanak-kanak lembam. Kaedah ini memberikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran serentak yang menjurus kepada aplikasi visual, auditori dan kinestetik-taktil.[2]

Mereka yang menghidapi masalah lembam ini tidak ditaklifkan ke atasnya hukum syara‘. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنْ الْمَعْتُوهِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Telah diangkat pena dari tiga golongan; dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan daripada orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4402), al-Nasa’ie (7269), Ahmad (956), al-Tirmizi (1423) dan Ibn Majah (2042)

Syeikh Abu al-‘Ala’ al-Mubarakfuri berkata bahawa yang dimaksudkan dengan (الْمَعْتُوهِ) adalah (المَجْنُونُ) iaitu gila atau seumpama dengannya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jami‘ al-Tirmizi, 4/570)

Melihat kepada gila atau seumpamanya adalah suatu masalah yang terkait dengan akal, dan OKU Masalah Pembelajaran juga masalah yang terkait dengan akal, maka mereka yang menghidapi masalah ini akan mengambil hukum  mereka yang gila sehinggalah dia berakal atau faham tentang sesuatu ilmu.

Oleh yang demikian, selama mana anak tersebut masih dalam ruang lingkup yang dia boleh fahami, seperti boleh membaca, solat, puasa, mengurus diri sendiri dan menolong kerja-kerja di rumah, maka dia masih perlu menanggung dosa daripada kesalahan yang dilakukan.

Adapun jika anak tersebut masih dalam ruang lingkup yang luar dari kemampuannya untuk faham dan cerna dengan baik, maka kita berharap mereka ini tergolong dikalangan orang-orang yang diampunkan oleh Allah SWT seperti yang disebutkan di dalam hadith.

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.spa.gov.my/spa/panduan/kategori-orang-kurang-upaya-oku. Diakses pada 16 Jun 2023.

[2] Lihat https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2021/05/820506/teknik-pdpr-murid-oku. Diakses pada 16 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H