#1979: Wanita Menerima Hadiah Daripada Ajnabi/Kekasih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang perempuan menerima hadiah dari ajnabi, misalnya seperti kekasih memberi hadiah? Adakah dibolehkan dari segi hukum? Terima kasih

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan firman Allah SWT:

وَإِنِّي مُرْسِلَةٌ إِلَيْهِم بِهَدِيَّةٍ فَنَاظِرَةٌ بِمَ يَرْجِعُ الْمُرْسَلُونَ ‎﴿٣٥﴾‏ فَلَمَّا جَاءَ سُلَيْمَانَ قَالَ أَتُمِدُّونَنِ بِمَالٍ فَمَا آتَانِيَ اللَّهُ خَيْرٌ مِّمَّا آتَاكُم بَلْ أَنتُم بِهَدِيَّتِكُمْ تَفْرَحُونَ

Maksudnya: “Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita. Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang menghadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah).

Surah al-Naml (35-36)

Berdasarkan nas di atas, jelas menunjukkan manusia amat suka menerima hadiah. Keduanya, dikatakan raja perempuan ini yang dikenali sebagai Balqis telah memberi hadiah kepada nabi Sulaiman AS, sedangkan kedua-duanya tiada hubungan apa-apa. Semata-mata untuk melihat kepada sesebuah negara dalam membina hubungan.

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW pernah bersabda:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”

Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

Nas ini menunjukkan kepada kita agar kita saling memberi hadiah kerana ia mengikatkan perasaan kasih sayang serta penghormatan. Ia juga lambang sebuah persahabatan atau ikatan yang baik yang dibina sesama manusia mahupun kaum keluarga. Tidak pelik, Rasulullah SAW banyak memberi hadiah kepada sahabat-sahabatnya, sebagai contoh, nabi SAW memerdekakan semua hamba sahaya baginda SAW dan bersedekah 7 dinar yang ada dalam simpanannya. Baginda SAW membahagikan senjata-senjata kepada orang Islam. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 232)

Selepas pembukaan kota Khaibar, Rasulullah SAW telah dihadiahkan oleh seorang Yahudi perempuan peha kambing panggang. Wanita tersebut yang bernama Zainab binti al-Harith telah menghadiahkan daging kambing yang dipanggang kepada Rasulullah SAW. Zainab merupakan isteri Sallam bin Misykam. Sebelum itu, dia bertanya orang tentang bahagian kambing yang paling disukai oleh Rasulullah SAW. Lalu diberitahu kepadanya bahawa Rasulullah SAW menyukai bahagian paha kambing.

Zainab meletakkan racun yang banyak pada bahagian paha daging kambing itu dan melumurkan racun di seluruh bahagian daging yang lain. Kemudian dia pergi membawa daging itu dan meletakkannya di hadapan Rasulullah SAW. Baginda SAW lalu mencapai paha kambing dan menjamahnya dengan satu kunyahan, tetapi tidak menelannya, sebaliknya Baginda terus meludahnya. Kemudian Rasulullah SAW berkata:

إِنَّ هَذَا الْعَظْمَ لَيُخْبِرُنِي أَنَّهُ مَسْمُومٌ

Maksudnya: “Tulang ini memberitahuku bahawa ia dibubuh racun.”

Setelah Zainab dipanggil, dia pun mengaku meletakkan racun pada daging kambing itu. Rasulullah SAW bertanya, “Mengapa engkau melakukan begitu?” Zainab menjawab, “Saya berbicara sendiri sebelum melakukan perbuatan ini, bahawa jika dia (Nabi) ialah seorang raja, dapatlah saya berlapang diri daripadanya. Dan jika dia seorang Nabi, tentulah dia akan diberitahu.” Lalu Rasulullah SAW memaafkannya.

Ketika itu, yang duduk bersama-sama Rasulullah SAW ialah Bisyr bin al-Barra’ bin Ma’rur. Dia sempat memakan daging kambing itu, lalu meninggal dunia disebabkannya. Terdapat perbezaan riwayat sama ada Rasulullah SAW memaafkan Zainab atau membunuhnya. Namun, kesemua riwayat itu bersetuju mengatakan bahawa pada awalnya, Rasulullah SAW memaafkan Zainab. Namun, apabila Bisyr meninggal dunia kerana memakan daging kambing itu, maka wanita itu dibunuh sebagai pembalasan qisas terhadapnya. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/139; Fath al-Bari, 7/497; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/337; seperti dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 558-559)

Antara yang dapat kita ambil iktibar atau hukum dalam kisah di atas, bahawa Nabi SAW terima hadiah daripada seorang perempuan Yahudi. Justeru, kami katakan beri hadiah walaupun kepada tunang atau sesiapa pun adalah sifat yang baik. Cumanya, lebarkanlah pemberian kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada mereka yang memerlukan. Sesungguhnya, hubungan manusia menjadi utuh dan baik dengan sebab sikap suka memberi hadiah. Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan orang-orang soleh di sepanjang zaman. 

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H